IPOH, 26 FEBRUARI 2025 –Hari ketiga Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berlangsung pada hari Selasa, 26 Februari 2025 bersamaan 27 Syaaban 1446H dimulai dengan pembentangan kertas kerja 3 bertajuk al-Imam al-Nawawi: Kefaqihan dan Kesufian yang telah disampaikan oleh Syeikh Prof. Dr. Hussein Abed Awad al-Dalimi Mantan Ketua Jabatan Dakwah, Komunikasi dan Pemikiran, Fakulti al-Imam al-A'dzam, Universiti Anbar, Republik Iraq. Sesi seterusnya dilanjutkan dengan pembentangan kertas kerja 4 bertajuk Ketokohan Syeikh Nawawi al-Bantani Dari Sudut Disiplin Ilmu Fiqh Dan Tasawuf yang telah disampaikan oleh Syeikh H. Rohimuddin Nawawi al-Jahary al-Bantani, Ketua Umum Rabithah Masyaikh Sufiah Nusantara. Pembentangan kertas kerja 5 pula bertajuk Ahli Tasawuf dan Perjuangan Ummah yang disampaikan oleh Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan sendiri iaitu Sahibus Samahah Dato' Seri Hj. Wan Zahidi bin Wan Teh. Seterusnya program diteruskan dengan Muhadharah Eksklusif bertajuk Integrasi Antara Disiplin Ilmu Fiqh Dan Ilmu Tasawuf Merealisasikan Kehidupan Beragama Yang Benar yang telah disampaikan oleh Dr. Syeikh Ahmad Hussein al-Azhari, Felo TABAH Foundation, Republik Arab Mesir dan pembentangan Resolusi Muzakarah oleh Sahibus Sa’adah Ustaz Y.M. Engku Ahmad Fadzil bin Engku Ali, Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Sesi petang diteruskan dengan sesi terakhir iaitu sambungan Majlis Sama' Hadith dan Pengijazahan Kitab: Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah oleh Dr. Yahya Abdul Razak al-Ghawthani, Anggota Kesatuan Kejurulatihan dan Penasihatan Sedunia (INLPTA) dan majlis bersurai. |
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak.