KAHERAH, 28 APRIL – Delegasi Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dalam satu lawatan rasmi yang diketuai oleh Sahibus Samahah Dato' Seri Haji Wan Zahidi bin Wan Teh, Mufti Negeri Perak. Turut serta dalam delegasi ini ialah Timbalan Mufti Negeri Perak, Dato' Haji Zamri bin Hashim, Prof. Madya Dr. Lukman bin Abdul Mutalib dan YM Ustaz Engku Ahmad Fadzil bin Engku Ali, selaku Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak serta Encik Mohammad Tasyreef bin Mohd Tarmizi, Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak. Ketibaan delegasi telah disambut oleh Encik Amir Ikhwan bin Zaini selaku Setiausaha Pertama (Hal Ehwal Agama), sebelum dibawa untuk bertemu dengan Tuan Yang Terutama Dato' Mohd Tarid Sufian, Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir. Dalam pertemuan tersebut, delegasi membincangkan tujuan utama lawatan rasmi ke Mesir, termasuk pelaksanaan sesi temuduga Tauliah Mengajar (Agama Islam) kepada para pelajar anak negeri Perak yang sedang melanjutkan pengajian di Mesir. Delegasi turut memaklumkan bahawa mereka telah menerima jemputan rasmi daripada Menteri Waqaf Mesir, Dr. Osama Al Azhari ke pejabat beliau. Dalam pertemuan itu, Dr. Osama telah menyatakan persetujuan untuk menyediakan program Training of Trainers (TOT) di Akademi Wakaf Antarabangsa, Republik Arab Mesir kepada ahli Majlis Fatwa Negeri Perak, sebagai salah satu usaha memperkukuh kompetensi ilmuan agama dalam bidang penyampaian dakwah dan pengurusan wakaf. Sebagai tanda penghargaan, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak telah menyampaikan cenderahati kepada TYT Duta Besar Malaysia, diikuti dengan sesi bergambar kenangan bersama seluruh delegasi. Kunjungan hormat ini dilihat sebagai satu langkah positif dalam memperkukuh hubungan kerjasama antara institusi agama di Malaysia dan Republik Arab Mesir, khususnya dalam pembangunan modal insan Islam serta pemerkasaan institusi fatwa negeri Perak. |
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak.