SIPUTEH, 14 Januari - Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak telah menerima jemputan dari Sekolah Kebangsaan Siputeh untuk menganjurkan sesi ceramah ilmu falak dan cerapan matahari untuk semua pelajar sempena sambutan Isra’ dan Mikraj di sekolah berkenaan. Seramai lebih 500 orang pelajar beserta guru telah menyertai program ini dan memanfaatkan peluang untuk melihat matahari melalui beberapa jenis teleskop yang telah di pasang untuk sesi cerapan berkenaan.

Program seawal jam 8.30 pagi telah dimulakan dengan sesi ceramah berkaitan ilmu falak oleh Ustaz Mohamad Faizal bin Jani yang memakan masa kira-kira 1 jam. Selepas itu para pelajar berpeluang menyaksikan matahari dengan menggunakan beberapa jenis teleskop. Pelbagai reaksi para pelajar serta pelbagai soalan telah dikemukakan oleh para pelajar kepada para pegawai Bahagian Falak yang mengendalikan teleskop berkenaan. Mereka terdiri daripada Ustaz Nor Izwan bin Hamdan, Ustaz Mohd Tajuddin bin Che Din, Ustaz Zainuddin bin Muhammad, Ustaz Rasyidi dan Ustaz Umar. Turut dipamerkan adalah peralatan tradisional dalam keilmuan falak seperti astrolab dan mizwalah. Berkesempatan pada sesi berkenaan, ustaz Mohamad Faizal turut ditemu bual oleh wartawan cilik TV SK Siputeh. Turut hadir dalam program ini adalah Guru Besar SK Siputeh Encik Yusri Zainol Abidin. Moga program ilmiah ini akan terus berkembang pada masa yang akan datang.

Sila layari Facebook Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak untuk maklumat lanjut.


Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cetak Emel