|
SEGARI, 6 Jun - Gerhana Bulan Penumbra telah berlaku pada 14 Syawal 1441 H 6 Jun 2020 M bermula jam 1.45 pagi dan tamat pada jam 5.04 pagi. Kemuncak gerhana pula telah berlaku pada jam 3.25 pagi. Tempoh gerhana ialah 3 jam 18 minit. Gerhana Bulan Penumbra merupakan gerhana yang berlaku apabila bulan hanya memasuki bayang penumbra bumi. Gerhana Bulan Penumbra kali ini hanya berlaku pada magnitud penumbra 0.5683 ( magnitud umbra : - 0.4053 ). |
Berdasarkan fakta di atas, gerhana pada kali ini tidak dapat dilihat kerana kesan gelap pada permukaan bulan adalah sangat minimum. Dalam kajian terdahulu, magnitud penumbra kurang dari 0.6 tidak akan mampu dilihat atau dikesan dengan mata kasar atau peralatan optik. Ini menyebabkan solat sunat gerhana juga tidak perlu dilaksanakan. Namun magnitud penumbra ini masih perlu dikaji bagi mengesahkan kenampakan gerhana penumbra.
Oleh itu, pada 14 Syawal 1441 H 6 Jun 2020 M seramai 4 orang kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perak dan 3 orang AJK Persatuan Peminat Ilmu Falak Negeri Perak telah mengadakan cerapan. Cerapan telah dilakukan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Perak.
Cerapan telah dilakukan beberapa peralatan antaranya :
1. Teleskop Orion berserta kamera DSLR Canon 550 D.
2. Teleskop Vixen berserta kamera Sony.
3. Kamera DSLR Canon 1100.
4. Teropong.
5. Mata Kasar.
Senarai peserta yang terlibat :
BIL. |
NAMA |
JABATAN / INSTITUSI |
1 |
Mohamad Faizal Bin Jani |
Jab. Mufti Negeri Perak |
2 |
Fatimah Binti Ayoub |
Jab. Mufti Negeri Perak |
3 |
Nor Izwan Bin Hamdan |
Jab. Mufti Negeri Perak |
4 |
Mohd Tajudin Bin Che Din |
Jab. Mufti Negeri Perak |
5 |
Masrita Binti Mohd |
AJK Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak |
6 |
Hj. Hashim Bin Mat Salleh |
AJK Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak |
7 |
Abdul Halim Bin Din |
Ahli Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak |
LAPORAN AKTIVITI
Sehari sebelum cerapan, hujan telah turun. Namun pada hari cerapan cuaca agak baik dengan angin yang bertiup agak kuat dan berawan. Ombak juga agak kuat menghempas di sisir pantai dengan bunyi yang cukup jelas. Cuaca di sebelah petang juga baik dengan cahaya matahari dapat dilihat hingga hampir maghrib. Namun terdapat awan tebal berhampiran dengan ufuk yang menghalang matahari kelihatan ketika ia terbenam.
Bermula jam 2.00 pagi, cerapan telah dimulakan. Pada awal cerapan, awan agak tebal. Namun angin agak kuat dan ini menyebabkan pergerakan awan yang agak laju. Pada jam 2.49 pagi bulan telah kembali kelihatan. Cahaya bulan kelihatan penuh pada fasa bulan purnama namun tidak kelihatan kesan gerhana ketika ini. Permukaan bulan kadangkadang kelihatan berwarna putih dan kadang-kadang berwarna kuning. Ini disebabkan terdapat awan nipis yang menghalang permukaan bulan. Sepanjang tempoh ini angin terus bertiup dari timur (darat) ke barat (laut). Pada malam ini juga terdapat nyamuk yang aktif dan ia sedikit berbeza dengan cerapan sebelum ini di mana tiada nyamuk.
Pada kemuncak gerhana iaitu pada jam 3.25 pagi, bulan telah kelihatan pada magnitud penumbra 0.5. Ketika kemuncak gerhana, angin bertiup agak perlahan. Namun setelah itu angin bertiup kembali. Terdapat perubahan kelajuan angin yang dapat dilihat dan dirasai dengan ketara antara angin yang bertiup di bawah yang bertiup di atas. Ada saat angin dibawah bertiup kuat namun kelihatan awan menutupi bulan tidak langsung bergerak.
Sehingga 4.25 pagi awan bersilih ganti menutupi bulan dengan awan tebal dan nipis. Sekali -sekala planet Musytari dan Zuhal turut kelihatan. Namun selepas itu awan tebal terus menutupi langit sebelah barat dan menutupi bulan sehingga tamat gerhana. Hujan renyai juga telah turun selepas itu.
Berdasarkan laporan cuaca dari beberapa negeri yang lain, pada hari kejadian, kebanyakkan lokasi hujan dan mendung. Ini menyebabkan sebahagian lokasi tidak langsung dapat melakukan cerapan.
HASIL KAJI SELIDIK
Berdasarkan kaji selidik yang telah dilakukan pada pagi tersebut, kesemua 7 responden menyatakan bahawa tiada perubahan pada cahaya bulan yang menunjukkan bahawa bulan sedang gerhana.
Dapatan ini selari dengan teori sebelum ini. Malah ia juga selari dengan cadangan oleh Prof. Madya Dr. Abd. Halim Bin Abd. Aziz sebelum ini yang mencadangkan nilai magnitud penumbra 0.8 sebagai nilai yang lebih berhati-hati bagi magnitud kenampakan gerhana penumbra bagi perlaksanaan solat sunat gerhana.
Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.