 |
IPOH: Tindakan individu yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 boleh disifatkan sebagai perbuatan mungkar dan maksiat.Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, berkata ia boleh menjadi sebab melambatkan proses pemulihan dan penyelesaian keluar disebabkan melanggar ketetapan Allah SWT. "Justeru, integriti perlu diterapkan dalam diri setiap individu menurut kaedah fiqh 'la darar wala dirar' yang menekankan keperluan menghilang dan menghapuskan semua kemudaratan diperakui syarak. "Ia bersandarkan hadis Rasulullah SAW yang memberi amaran Allah SWT akan 'memudarat' urusan seseorang yang memberi mudarat dalam urusan orang yang lain. |
"Ia membawa erti kecuaian mematuhi integriti kendiri akan menimbulkan mudarat berangkai kepada banyak pihak," katanya. Beliau berkata dalam Seminar Kelestarian Integriti bertemakan 'Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP): Berintegritikah Kita?' disiarkan secara langsung di Facebook Setiausaha Kerajaan (SUK) Perak, hari ini. Turut menjadi panel seminar itu adalah Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid; Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, Khairul Ridzuan Mat Said; dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr Mohd Zamri Md Ali. Zamri berkata, sesuatu wabak yang menimpa manusia adalah satu bentuk balasan atau azab dari Allah SWT yang pernah memusnahkan umat terdahulu berdasarkan hadis diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid. "Banyak yang kita culas, justeru Allah SWT hantar 'signal' (isyarat) tertentu. Wabak akan datang pada suatu ketika dan akan pergi selepas suatu ketika dan barangkali ini 'signal' besar dari Allah SWT. "Konsep integriti atau amanah sebenarnya lebih halus di sisi Islam kerana kesemua perbuatan ada pencatat kiri dan kanan, walaupun tanpa kehadiran penguatkuasa. "Kesannya bukan di dunia seperti dibuang kerja dan lain-lain, namun membawa sehingga alam akhirat," katanya.
| Sumber daripada akhbar Berita Harian- Jun 29, 2021 @ 2:09pm seperti di pautan berikut:-
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/833506/covid-19-signal-dari-allah-timbalan-mufti-perak
 |
IPOH - Sikap tidak patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 boleh diibaratkan sebagai satu perbuatan kemungkaran. Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, ini kerana kesan kemungkaran itu boleh mendedahkan kepada jangkitan dan mendatangkan bahaya diri sendiri serta orang lain. Menurut beliau, perbuatan kemungkaran yang berterusan juga memberi kesan dalam melambatkan lagi proses pemulihan dan penyelesaian. |
"Ketidakpatuhan kepada SOP ini boleh diibaratkan sebagai satu bentuk kemungkaran kerana ia telah melanggar arahan pemerintah yang tidak bertentangan dengan al-Quran dan bertujuan untuk menyelamatkan nyawa. "Jadi patuhilah SOP, tinggalkan segala maksiat dan kemungkaran dan jangan lupa doa banyak-banyak kepada ALLAH. "Kalau kita dah jaga SOP tetapi masih dijangkiti (Covid-19), itu adalah salah satu bentuk ujian yang ALLAH berikan kepada kita, berubat dan bersabarlah, nescaya mendapat ganjaran, " katanya. Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Seminar Kelestarian Integriti bertemakan 'Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP): Berintegritikah Kita?' yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini pada Selasa. Seminar yang dikendalikan Pegawai Daerah Hulu Perak, Meor Shahibul Fadilah Zainuddin selaku moderator itu turut dibarisi panel Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid; Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, Khairul Ridzuan Mat Said dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr Mohd Zamri Md Ali. Mengulas lanjut, Zamri berkata, kelompongan nilai integriti dalam melaksanakan pematuhan SOP hanya menjadikan usaha dilakukan kerajaan ketika ini seperti sia-sia. Katanya, menerusi laporan-laporan media, digambarkan betapa kroniknya isu integriti yang melibatkan pelanggaran SOP hinggakan ada pengusaha kilang yang beroperasi dalam keadaan curi-curi, individu berpengaruh berpesta durian dan tidak terkecuali jemaah melanggar SOP dengan solat berjemaah di masjid dan surau. "Dalam Islam intepretasi integriti itu adalah lebih halus dan seni berbanding kefahaman biasa kita sebab kesannya bukan hanya di dunia, ia melibatkan dosa dan pahala yang akhirnya nanti menentukan kita sama ada syurga atau neraka. "Dalam hal ini, sepatutnya orang Islam lebih berintegriti daripada orang lain kerana tiada penguatkuasa pun, kita kena ingat ada malaikat Raqib dan Atid yang mencatit setiap dosa dan pahala, jadikanlah PKP ini peluang kita untuk Pulang Kepada Pencipta," katanya.
| Sumber daripada akhbar Berita Harian- Jun 29, 2021 seperti di pautan berikut:-
https://www.sinarharian.com.my/article/147040/BERITA/Semasa/Ingkar-SOP-satu-perbuatan-mungkar
 |
IPOH: STIGMA kepada perbuatan orang yang membunuh diri sebagai tidak waras adalah satu pandangan yang salah, dan ia tidak sepatutnya dinormalisasikan, kata Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim. |
Beliau berkata, masyarakat juga perlu berhati-hati dalam memberi pandangan mengikut hadis Rasulullah SAW, agar ia tidak menjadi pencetus seolah-olah membunuh diri itu adalah sesuatu yang dibenarkan.
| Sumber daripada akhbar The Malaysian Insight - 29 Jun 2021 9:54PM seperti di pautan berikut:-
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/324482?fbclid=IwAR269qx9OoEfij2bZiRYWRdhCmx877qh2yn8DbDyNQoaVaL9f9chCTGzf-o
 |
IPOH: Jabatan Mufti Perak mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengutus ucapan takziah berikutan pemergian Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, pihaknya juga mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang membantu menyelenggarakan jenazah Allahyarham sehingga selamat dikebumikan. |
“Jabatan Mufti juga mengucapkan terima kasih kepada para muslimin dan muslimat yang telah mengadakan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham,” katanya. Harussani, 82, meninggal dunia pada pukul 2.45 petang semalam setelah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kerana positif Covid-19. Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat di sini pada pukul 6.20 petang. Urusan pengebumian dijalankan oleh petugas barisan hadapan dan petugas kesihatan yang lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Sekitar kawasan pengebumian juga dikawal ketat oleh anggota polis yang menutup jalan berdekatan tanah perkuburan itu mulai pukul 5 petang. Jabatan Mufti Perak turut menganjur solat jenazah ghaib di rumah masing-masing dan bacaan Yasin secara dalam talian secara langsung di Facebook jabatan berkenaan.
| Sumber daripada akhbar Utusan Malaysia - 31 Mei 2021, 6:05 pm seperti di pautan berikut:-
https://www.utusan.com.my/berita/2021/05/jabatan-mufti-ucap-terima-kasih-perutusan-takziah-petugas-barisan-hadapan/?fbclid=IwAR0bbWv2wem_O7u77Bb40oI770D5CzmfSz57J--zp3Ngvede_rhuRpD0W-w
 |
Berkata Imam Hassan al-Basri rahimahullah :
موت العالم ثلمة في الإسلام لا يسدها شيء ما اختلف الليل والنهار
Bermaksud : “Matinya seorang alim laksana patahnya mercu tanda Islam yang tidak akan mampu ditampung sesuatu pun, walau silih berganti malam dan siang” ( Sunan al-Darimi : 333). Tarikh 30 Mei 2021 M bersamaan 18 Syawal 1442 H jam 2.45 petang akan terpahat dalam sejarah, pemergian insan mulia ke sisi Rabbnya setelah lebih separuh dari usianya telah diberikan untuk ummah ini. Kembalinya Allahyarham Tan Sri Dato Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria ke rahmatullah ketika usia 82 tahun, setelah 36 tahun memberikan khidmat kepada ummah sebagai seorang yang digelar Mufti. Sepanjang tempoh itulah tanpa mengenal jerih atau perih, siang atau malam, Allahyarham memberikan segalanya untuk mentarbiah ummah ini. |
Perwatakan tegas, berani dan teguh dalam memegang prinsip adalah wajah Allahyarham yang dilihat di paparan media. Penghujahan dan perdebatannya sentiasa berasaskan al-Quran dan al-Sunnah dengan logik qias yang cukup bernas. Namun ketika di pejabat bahkan di rumah, Allahyarham adalah ‘tok ayah’ yang sentiasa kaya dengan nasihat dan hikmah yang cukup mendamaikan. Deretan pengalaman melalui hidup zaman penjajahan dan kemerdekaan, bahkan bertemu langsung dengan nama-nama besar dalam sejarah negara dan dunia, membuatkan kita terlalu kerdil ketika berhadapan dengannya. Sepanjang hidupnya, tidak sedikit dugaan yang dihadapinya. Isu agama Islam dan bangsa Melayu adalah dua tunjang perjuangan yang kukuh dalam hati sanubarinya. Jangan sesiapa yang berani membuat onar dan duri dalam dua isu ini, akan diredah, ditegur dan dinasihati. Malah jika ada isu politik, ekonomi dan masyarakat yang pada pandangannya perlu diperbetulkan, Allahyarham akan bersuara, menegur dan menasihat dengan penuh keberanian tanpa mengira mereka pemimpin atau rakyat.
Namun, semua itu adalah kenangan. Kembalinya Allahyarham ketika ummah ini masih memerlukan nasihat dan pedoman terutama ketika ini kita masih berhadapan situasi getir dengan dugaan pandemik covid 19 ini. Jauh lebih menyedihkan, Allahyarham juga meninggalkan kita disebabkan jangkitan covid 19 ini. Walau terasa berat hati mahu menerima pemergian Allahyarham, namun memujuk hati ini, mungkin inilah masanya insan yang layak digelar murabbi ini berehat di sisi Rabbnya, bertemu Rasul yang sentiasa dirindukannya. Meninggalkan pejuangan untuk kita ‘anak-anaknya’ untuk diteruskan. Sesungguhnya, kami bersaksi bahawa air mata murabbi ini pernah menitis memikirkan nasib agama dan bangsanya. Moga dengan air mata itulah akan membajai benih perjuangan yang ditinggalkan untuk kita. Maka, duhai hati, relakanlah pemergian sang murabbi, untuk dirinya memasuki jannah firdhausi, dengan maghfirah dan redha Ilahi dan syafaat Rasul yang dicintai......Dengan linangan air mata, kami relakan dan ingin katakan, berehatlah wahai Murabbi...
Catatan..‘Anak-anak’ Warga JMNPk.
Kredit : AF Ustaz Mohamad Faizal bin Jani
 |
IPOH, 30 MEI 2021 - Mufti Perak, Tan Sri Dato' Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria telah meninggal dunia pada jam 2.45 petang ini. Allahyarham Tan Sri telah disahkan kembali ke rahmatullah disebabkan sakit akibat wabak Covid-19. Allahyarham dan isteri telah disahkan positif Covid-19 lebih seminggu yang lalu dan kemudian Allahyarham mendapat rawatan di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Manakala isteri Allahyarham telah pun pulih dan pulang ke rumah selepas itu.
|
Allahyarham telah menjawat sebagai Mufti Negeri Perak sejak tahun 1985. Allahyarham terkenal dengan keberanian dan ketegasan dalam menyatakan kebenaran khususnya dalam hal ehwal hukum syarak dan perpaduan umat. Allahyarham seorang yang komited dalam kerjaya dan sentiasa menjaga kebajikan para pegawai dan kakitangan beliau di Jabatan Mufti Negeri Perak. Allahyarham ibarat ayahanda kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perak.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Melayu Sungai Rapat. Jasa dan khidmat Allahyarham kepada Islam dan umat tidak terkira dan sentiasa di dalam ingatan. Didoakan agar Allahyarham ditempatkan di kalangan golongan yang beriman dan para solehin.
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak.
 |
IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang disahkan positif COVID-19 minggu lalu, sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi ( ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Anak kepada Mufti Perak, Datuk Ahmad Wafi ketika dihubungi memaklumkan secara ringkas status terkini kesihatan bapanya yang sedang dirawat. "Abah memang di ICU dan mak pula semakin pulih dan ada di rumah," katanya. |
Ahmad Wafi turut menafikan berita tular di media sosial yang mengatakan ibunya sudah meninggal dunia. "Berita tular isteri mufti Perak meninggal dunia itu adalah palsu," katanya. Sementara itu, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa setakat ini, Harussani sedang dirawat di pusat perubatan berkenaan. "Kami dimaklumkan bahawa Tan Sri (Harussani) masih sedang dirawat di HRPB, manakala isteri dan anaknya pula sudah 'discharged'. "Kita meminta marilah kita semua sama-sama mendoakan akan kesembuhan Mufti Perak," katanya ketika dihubungi di sini.
| Sumber daripada akhbar Berita Harian Online, Isnin - 24 Mei 2021 di pautan berikut:- https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/820319/covid-19-mufti-perak-sedang-dirawat-di-icu?fbclid=IwAR2Z4k-NcKpncMukSR4gtVYqUGM9Bs_mHsygbrDerrMc8R8bXfRfp0ylDis
*********************************************************************************************************************************************************************************************************************
| >> Titipan khas buat Tan Sri Mufti: Kami berdoa agar SS Tan Sri Dr Harussani Zakaria, segera kembali sembuh. Kami juga mendoakan ahli keluarga beliau berada dalam keadaan baik dan tabah menghadapi ujian ini. Kami, warga Jabatan Mufti Negeri Perak juga mendoakan agar diberi kekuatan dan terus dapat berkhidmat di bawah kepimpinan SS Tan Sri demi kemajuan Islam di Negeri Perak. Sama-sama kita berdoa untuk kesejahteraan semua. <<
.
 |
IPOH, 6 MEI 2021 - World #Quran Hour Peringkat Agensi Agama Islam Perak berjaya menghimpunkan seramai 52 peserta daripada pelbagai jabatan yang terlibat dalam penganjuran julung kali melibatkan agensi agama Islam di Kompleks Islam Darul Ridzuan. Bertemakan 'Bangsa Berbudi dan Penyayang' program World #QuranHour di masjid itu dimulakan dengan bacaan surah bacaan alunan Asmaul Husna diikuti bacaan surah al-Fatihah oleh Mohd Hafiz Sulaiman dari Jabatan Mufti Perak. Bacaan Surah al-Mulk kemudian diperdengarkan secara bergilir-gilir oleh setiap wakil jabatan yang terlibat dengan diselangi bacaan terjemahan. Tadabbur keseluruhan 30 ayat Surah al-Mulk kemudiannya disempurnakan Zamri. Surah Al-Mulk yang bermaksud kerajaan menjadi surah pilihan dan tema bagi World #QuranHour tahun ini dalam membina karakter orang berjaya di dunia dan akhirat. Dengan menghayati surah Al-Mulk, adalah diharapkan dapat membina kekuatan kerajaan di dalam diri, keluarga, organisasi dan komuniti dalam negara. |
Hadir sama pada program tersebut, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin; Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansur; Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Perak, Mohd Asri Ghazali dan Pengurus Besar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Rohizan Omar. Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, setiap individu mungkin boleh berperwatakan dan menampilkan diri seperti orang hebat tetapi hakikatnya ALLAH SWT maha mengetahui apa yang ada di dalam diri seseorang. Menurutnya, ALLAH SWT memberi bukti menerusi ayat 14 Surah al-Mulk bahawa Dia yang maha halus urusan pentadbiran dan maha mendalam pengetahuan-Nya. "Sebab itu, kita sebagai yang menjawat di dalam agensi agama ini, bos kita yang paling besar adalah ALLAH SWT, bukan tuan pengarah, bukan Yang Amat Arif bukan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), bukan ketua pendakwa tetapi ALLAH SWT. "Ini sangat penting supaya kerja kita berprinsip, khidmat kita nombor satu kepada ALLAH SWT. Kita berlakon, kita bermuka-muka, kita bodek sana sini, ALLAH SWT tahu sebab yang menciptakan kita adalah ALLAH SWT," katanya ketika mentadabbur 30 ayat Surah al-Mulk.
Inisiatif World #QuranHour adalah wadah permulaan memupuk pembudayaan al-Quran dalam kehidupan sama ada daripada segi bacaan, penghayatan dan amalan.
Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.
 |
SEGARI, 12 APRIL - : Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1442H / 2021M telah diadakan dengan jayanya di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Segari pada Isnin 29 Syabaan 1442H bersamaan 12 April 2021M. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah YDH Toh Seri Bijaya Leftenan Kol. (Bersara) Dato’ Shaharudin Bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, Tuan Sharul Azam Bin Shaari, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak dan S.F. Dato’ Haji Mohd Yusop bin Haji Husin, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak. |
Majlis bermula pada 5.30 petang dengan bacaan tahlil dan doa yang dibimbing oleh A.F. Ustaz Ahmad Khairul Nizam bin Ahmad Tarmizdi, Pegawai Bahagian Fatwa. Setelah selesai bacaan tahlil, majlis diteruskan lagi dengan ceramah khas yang telah disampaikan oleh A.F. Ustaz Muhammad Faris bin Muhammad Ismi, Ahli Jawatankuasa Penyelidikan dan Kajian Fatwa Negeri Perak. Kemudian Taklimat Kenampakan Hilal Ramadan 1442H telah disampaikan oleh A.F. Ustaz Mohamad Amri Alhusni bin Mohamad Dasuki, Penolong Pegawai Falak Jabatan Mufti Negeri Perak.
Setelah Taklimat Kenampakan Hilal selesai para tetamu dan Ahli Jawatankuasa Rukyah melaksanakan aktiviti rukyah iaitu melihat anak bulan dengan menggunakan peralatan teleskop yang telah disediakan oleh pihak Jabatan Mufti Negeri Perak dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri Perak. Apabila aktiviti rukyah hilal selesai setelah anak bulan terbenam, S.S. Dato’ Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti mewakili S.S. Mufti Negeri Perak telah mengumumkan bahawa hilal tidak kelihatan dan melaporkan kepada Penyimpan Mohon Besar Raja-Raja Malaysia. Majlis diteruskan dengan solat Maghrib, jamuan makan malam, solat Isyak secara berjemaah dan berakhir setelah para tetamu menikmati jamuan minum malam selepas solat sunat Tarawih secara berjemaah. Ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua urus setia dan tetamu yang terlibat menjayakan Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1442H pada kali ini.
Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.
 |
IPOH, 5 APRIL : Satu Bengkel Arah Kiblat telah dianjurkan oleh Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Perak bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Perak . Kursus yang berlangsung selama setengah hari itu melibatkan seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada para juru ukur dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Perak juga sebahagiannya terdiri dari ahli Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak (PPIFIP) . Kursus tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia S.S. Dato Hj.Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak. |
Pada jam 9.00 pagi bagi sesi yang pertama bertajuk Isu-Isu Fiqh dalam Penentuan Arah Kiblat telah disampaikan oleh S.F. Ustaz Mohamad Faizal bin Jani Pegawai Falak di Jabatan Mufti Negeri Perak yang telah mengupas secara ringkas berkaitan arah kiblat dalam perspektif Islam dan ilmu Falak yakni dari sudut kewajiban seseorang muslim itu menghadap kiblat dalam melakukan ibadah solat, penyembelihan dan juga ketika hendak mengebumikan jenazah di tanah perkuburan. Dan pada pukul 11.00 pagi pula bermula sesi yang kedua bertajuk Prosedur Penentuan dan Pengesahan Arah Kiblat yang telah dilaksanakan oleh Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Perak. Pada kali ini S.F. Ustaz Mohamad Faizal memberi penerangan kepada para peserta berkaitan prosedur permohonan arah kiblat sehinggalah selesai iaitu sehingga sijil dikeluarkan. Antara prosedur-prosedur permohonan tersebut ialah mendapatkan sokongan dari Pegawai Tadbir Daerah, surat kebenaran membina dan meroboh dari pihak Jabatan Agama Islam Perak dan pelan tapak sekiranya ada. Sesi yang kedua ini berakhir pada pukul 12.30 tengahari setelah selesai sesi soal peserta dan Ustaz Faizal bin Jani.
Majlis berakhir pada jam 12.30 tengahari dan para peserta bersurai setelah menjamu selera yang telah disediakan oleh pihak urusetia. Ucapan jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam Bengkel yang telah diadakan di Masjid Sultan Azlan Shah Jalan Diary, Ipoh.
Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.