fateh ULU KINTA, 15 FEBRUARI 2019 – Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Yayasan Ammar Al-Fatih telah menganjurkan Kursus Penerapan Modul Tarbiah Kepemimpinan Al-Fatih Peringkat Negeri Perak yang berakhir semalam. Ia diadakan selama 3 hari di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), Tanjung Rambutan. Kursus ini merupakan program berkala dan ia merupakan siri yang pertama untuk tahun ini.

Kursus ini diadakan untuk memberi penerapan modul kepimpinan yang telah dirangka kepada pemimpin-pemimpin peringkat sekolah menengah dalam negeri Perak untuk diaplikasikan di sekolah masing-masing. Ia juga bertujuan mempertingkatkan kemahiran, kebijaksanaan, kepemimpinan dan karismatik diri bagi merealisasikan keunggulan kepimpinan dalam membentuk khaira ummah di masa hadapan.

Seramai 90 orang peserta telah hadir menyertai kursus ini. Mereka terdiri daripada ketua pelajar, penolong ketua pelajar, serta pengawas dari sekolah-sekolah di Daerah Kinta Utara dan Perak Tengah. Para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti solat berjemaah, qiamullail, ice-breaking, latihan dalam kumpulan (LDK), riadah, permainan kepimpinan (war-games), serta mendengar kuliah dan ceramah oleh pakar.

Antara penceramah yang dijemput untuk kursus ini ialah Tuan Haji Ahmad Azam Bin Abdul Rahman dari Union of NGOs Of The Islamic World, Gombak, Tuan Haji Muhammad Bin Ismail dari Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), serta Ustaz Norhanizam Bin Mohamad Tajuddin mewakili Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Bagi memastikan kesan positif dan impak yang besar kepada pelajar dan sekolah, program susulan telah dirancang dan akan diadakan untuk peserta yang sama pada tahun ini juga.

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cetak Emel