fateh ULU KINTA, 28 MAC 2019 – Kursus Penerapan Modul Tarbiah Kepemimpinan Al-Fatih Peringkat Negeri Perak anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak telah diadakan dengan jayanya. Ia telah diadakan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), Tanjung Rambutan selama 3 hari dan berakhir semalam. Ia merupakan kursus siri yang kedua untuk tahun ini.

Objektif kursus ini ialah memberi penerapan modul kepimpinan yang telah dirangka kepada pemimpin-pemimpin peringkat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) untuk diaplikasikan di kampus masing-masing. Ia juga bertujuan mempertingkatkan kemahiran, kebijaksanaan, kepemimpinan dan karismatik diri bagi merealisasikan keunggulan kepimpinan di masa hadapan.

Seramai 68 orang peserta telah hadir menyertai kursus ini. Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar dari Persatuan Pendidikan Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim (UPSI), wakil pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Politeknik Ungku Omar (PUO). Para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti solat berjemaah, ice-breaking, latihan dalam kumpulan (LDK), sukan memanah, serta mendengar kuliah dan ceramah oleh pakar-pakar jemputan.

Antara penceramah yang dijemput untuk kursus ini ialah Tuan Haji Ahmad Azam Bin Abdul Rahman dari Union of NGOs Of The Islamic World Gombak, Tuan Haji Harith Fadzilah Bin Abd Halim, Timbalan Pengarah JAIPk dan Ustaz Mohd Dzohiri Bin Abdul Samad, Pegawai dari Bahagian Dakwah, JAIPk.

Diharapkan agar program ini dapat memberi kesan positif dan impak yang besar kepada para peserta seterusnya mereka dapat mengaplikasikan nilai-nilai kepemimpinan Islam dalam kampus IPTA dan IPTS negara ini.


 

 

 

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cetak Emel