• Utama
  • Arkib Berita Tahunan

Kenyataan Sebutharga

jata

Tawaran adalah dipelawa di kalangan pembekal yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia dalam bidang berkaitan untuk menyertai sebut harga seperti berikut:NO SEBUT HARGA: MN.PK.SH 01/2023 - PERKHIDMATAN MEMBEKAL, MENGHANTAR, MEMASANG, MENGUJI DAN MENTAULIAH PERKAKASAN DAN PERISIAN BAGI PEMBANGUNAN SISTEM EMUFTI, JABATAN MUFTI NEGERI PERAK. (FASA I eKiblat - 2023) dan (FASA II eFatwa - 2024)

Penyebut harga yang berminat untuk turut serta dalam tawaran sebut harga ini, dikehendaki mendapatkan dokumen sebut harga di Jabatan Mufti Negeri Perak, Tingkat 5, Kompleks Islam, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab 30000 Ipoh Perak Darul Ridzuan.

Bengkel dan Program Pengukuran Kiblat Di Rumah Kariah Masjid Abdul Rahman Auf

1 IPOH, 19 Januari 2022 – Bengkel dan Program Pengukuran Kiblat Di Rumah Kariah Masjid Abdul Rahman Auf telah diadakan dengan jayanya semalam. Ia merupakan program kerjasama antara Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk), Masjid Abdul Rahman Auf, Taman Rapat Koperasi (MAARUF) dan Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak (PPIFIP). Program ini bertujuan melatih ahli-ahli PPIFIP yang berminat untuk menjadi pengukur arah kiblat di rumah-rumah agar lebih berkemahiran dan berkelayakan dalam kerja-kerja pengukuran kiblat di lapangan.

Program dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan sesi taklimat kepada ahli-ahli PPIFIP yang hadir. Taklimat telah disampaikan oleh AF. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Ketua Bahagian Falak, JMNPk. Para peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan yang diketuai oleh 3 orang fasilitator iaitu Yang Di Pertua PPIFIP dan pegawai-pegawai Falak JMNPk. Pengukuran kiblat telah dilakukan di 10 buah rumah sekitar kariah tersebut yang telah membuat permohonan iaitu:

  • (1) 3 buah rumah Taman Rapat Koperasi
  • (2) 1 buah rumah Taman Gunung View
  • (3) 2 buah rumah Taman Rapat Permai
  • (4) 4 buah rumah Taman Ampang
  • Program berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari setelah jamuan makan tengah hari. Adalah diharapkan program ini dapat memberi pengalaman yang berguna dan dapat mempertingkat kemahiran pengukuran arah kiblat di kalangan ahli PPIFIP sekaligus merancakkan lagi aktiviti pengukuran arah kiblat PPIFIP di Negeri Perak ini.

    1 2 3

    Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

    Berita Keratan Akhbar: 'Usah biar golongan antivaksin bunuh ilmu sains'

    1 KUALA LUMPUR, Februari 15, 2021 - Kalangan ahli agama menjelaskan rakyat perlu mentaati arahan pemerintah termasuk dalam urusan vaksinasi umum bagi mengekang penyakit COVID-19 kerana ia demi kebaikan umum susulan penularan jangkitan semakin membimbangkan. Walaupun bagi mereka keharusan penggunaan vaksin bukan bersifat mutlak berdasarkan syarat-syarat tertentu, tidak salah jika mentaati arahan pemerintah kerana ia perkara yang dituntut oleh syarak. Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, langkah kerajaan untuk mendapatkan bekalan vaksin bagi rakyat adalah satu usaha yang sangat murni dalam situasi sekarang yang semakin membimbangkan.

    "Sekiranya arahan pemerintah itu adalah suatu kemakrufan, kebaikan serta mendatangkan maslahah kepada rakyat, sama ada arahan itu disukai oleh kita atau tidak, selagi bukan bukan maksiat, maka wajib dipatuhi. Ini bertepatan kaedah fiqh yang masyhur iaitu urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah," katanya. Selain ayat al-Quran, Rasulullah SAW juga akan bersabda bahawa: "Dengar dan taat (kepada pemerintah) itu adalah suatu perkara yang hak (kemestian), selama mana mereka tidak memerintahkan kepada maksiat". Timbalan Presiden Ikatan Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Dr Azizi Ayob, berkata walaupun ulama sepakat penggunaan vaksin COVID-19 sebagai harus, dalam keadaan lain vaksin wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan berdasarkan keperluan semasa sebagai barisan hadapan melawan penularan COVID-19.

    "Ini satu ketetapan berdasarkan alasan syarak jika tiada vaksin alternatif yang suci tetapi keadaan semasa bersifat darurat seperti mana berlaku sekarang demi menyelamatkan nyawa atau hifz al-nafs. "Sesuatu vaksin tidak mudah untuk dihukumkan harus sekiranya tiada justifikasi yang kukuh," katanya yang turut terbabit secara langsung dalam pembangunan dan kajian klinikal fasa tiga vaksin COVID-19 bersama Kementerian Kesihatan (KKM). Mengulas mengenai hasutan golongan anti-vaksin yang bertopengkan agama, Dr Azizi menegaskan tuduhan mereka perlu dipatahkan dengan menggabungkan ilmu Islam dengan sains perubatan serta penjelasan lanjut perlu terus diberikan kepada semua pihak berkepentingan. Menceritakan pengalamannya yang terbabit secara langsung dengan pembangunan vaksin di tahap pra-klinikal dan kajian klinikal fasa 1 sejak 2007 bersama pasukan pakar vaksin dari Taiwan dan Amerika Syarikat (AS), ia meyakinkan beliau bahawa ilmu vaksin adalah suatu ilmu sains perubatan hasil daripada penemuan saintis lebih 300 tahun lalu serta bertepatan dengan Islam.

    "Teknik inokulasi yang sering dikaitkan dengan pencipta terawal vaksin oleh Edward Jenner 1796 iaitu seorang pakar bedah England. Sebaliknya didapati konsep vaksin ini telah lebih awal dibangunkan dalam dunia Islam Turki pada 1724 di mana pada waktu itu kanak-kanak di Turki telah divaksinkan dengan 'cowpox' untuk menghalang penyakit 'smallpox'. "Ilmu vaksin itu dibawa ke Eropah oleh isteri kepada duta Inggeris pada waktu itu. Justeru, kebencian kepada vaksin ini oleh pihak tertentu yang memusuhi atau juga dikenali sebagai golongan anti-vaksin tidak boleh dibiarkan kerana mereka akan membunuh ilmu sains yang telah terbukti memberi manfaat kepada alam sejagat sejak ratusan tahun," katanya.

    Sumber daripada akhbar Berita Harian Online, Selasa - 15 Februari 2021 di pautan berikut:- https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/786569/usah-biar-golongan-antivaksin-bunuh-ilmu-sains#.YCsTb9xUdik.whatsapp

    Kursus Penerapan Modul Tarbiah Kepemimpinan Al-Fatih Bil.1 / 2019

    fateh ULU KINTA, 15 FEBRUARI 2019 – Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Yayasan Ammar Al-Fatih telah menganjurkan Kursus Penerapan Modul Tarbiah Kepemimpinan Al-Fatih Peringkat Negeri Perak yang berakhir semalam. Ia diadakan selama 3 hari di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), Tanjung Rambutan. Kursus ini merupakan program berkala dan ia merupakan siri yang pertama untuk tahun ini.

    Kursus ini diadakan untuk memberi penerapan modul kepimpinan yang telah dirangka kepada pemimpin-pemimpin peringkat sekolah menengah dalam negeri Perak untuk diaplikasikan di sekolah masing-masing. Ia juga bertujuan mempertingkatkan kemahiran, kebijaksanaan, kepemimpinan dan karismatik diri bagi merealisasikan keunggulan kepimpinan dalam membentuk khaira ummahdi masa hadapan.

    Seramai 90 orang peserta telah hadir menyertai kursus ini. Mereka terdiri daripada ketua pelajar, penolong ketua pelajar, serta pengawas dari sekolah-sekolah di Daerah Kinta Utara dan Perak Tengah. Para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti solat berjemaah, qiamullail, ice-breaking,latihan dalam kumpulan (LDK), riadah, permainan kepimpinan (war-games), serta mendengar kuliah dan ceramah oleh pakar.

    Antara penceramah yang dijemput untuk kursus ini ialah Tuan Haji Ahmad Azam Bin Abdul Rahman dari Union of NGOs Of The Islamic World, Gombak, Tuan Haji Muhammad Bin Ismail dari Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), serta Ustaz Norhanizam Bin Mohamad Tajuddin mewakili Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

    Bagi memastikan kesan positif dan impak yang besar kepada pelajar dan sekolah, program susulan telah dirancang dan akan diadakan untuk peserta yang sama pada tahun ini juga.

    Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

    Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak

    fatwaIPOH, 17 JANUARI 2019 – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah diadakan semalam. Ia bertujuan membincangkan hukum-hakam bagi isu-isu yang diutarakan oleh pihak berautoriti yang memerlukan keputusan dan penjelasan hukum.

    Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Y.Bhg. SS. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria, pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Ahli-ahli jawatankuasa terdiri daripada Y.Bhg. SS. Tuan Haji Zamri Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak, Y.Bhg. Dato’ Haji Mohd Yusop Haji Husin, Pengarah JAIPk, Dato’ Haji Asad Awang, Tuan Haji Mohd Suaid Din, Prof. Madya Dr. Haji Ahmad Husni Haji Hassan, Prof. Dr. Jamil Hashim, Tuan Haji Md. Dali Ghazali, Prof. Madya Dr. Mohamed Fairooz Abdul Khir dan Prof. Madya Dr. Lukman Abdul Mutalib. Ia turut dihadiri oleh Tuan Haji Kamaruddin Adam sebagai setiausaha dan ustaz Ahmad Khairul Nizam Ahmad Tarmizdi sebagai urus setia mesyuarat.

    Mesyuarat bermula pada jam 10.00 pagi dan berakhir kira-kira jam 1.00 tengah hari. Pelbagai isu telah dibentang dan dibincangkan dengan teliti. Malah beberapa isu akan dibawa ke mesyuarat yang seterusnya. Ia adalah mesyuarat berkala yang diadakan 4 hingga 6 kali setiap tahun.

    fatwa

    fatwa

    Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

    Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah 2018

    msnms04 IPOH, 27 FEBRUARI 2018 – Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan sekali lagi telah berjaya menganjurkan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada tahun ini. Ia telah berlangsung bermula 25 hingga 27 Februari. Muzakarah ini merupakan program tahunan Kerajaan Negeri Perak yang diurusetiakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak. Sebagai menyahut saranan dan cadangan YAB Menteri Besar Perak, buat julung kalinya muzakarah ini telah dinaiktaraf ke peringkat antarabangsa. Tema yang telah diangkat pada kali ini ialah, ‘Kepemimpinan dan Kekhalifahan, Gagasan Konstruktif Ulama’ dan Umara’’. DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli bagi merasmikan muzakarah tersebut pada Isnin, 26 Februari 2018.

     

    Muzakarah ini telah diadakan di Amanjaya Convention Centre, Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya. Hampir 200 orang peserta dari pelbagai latar belakang kerjaya dan dari seluruh negara hadir bagi mengikuti muzakarah ini. Ia bermula dengan sesi pembentangan Pra-Muzakarah oleh Y.Bhg. Prof. Dato' Dr. Mohamad Redzuan Othman, Naib Canselor, Universiti Selangor (UNISEL) dengan tajuk: ‘Daulah Uthmaniyyah Dan Pengaruhnya Ke Atas Masyarakat Melayu’.

    Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berlangsung pada hari kedua dengan dihadiri oleh lebih 1000 orang. Turut berkenan hadir DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, DYTM Raja Muda Perak, serta YAB Menteri Besar Perak dan isteri. Majlis diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh ASP Mohd Sahran Bin Termizi. Beliau memperdengarkan bacaan ayat berkaitan kepemimpinan sesuai dengan tema muzakarah, iaitu Surah An-Nur ayat 54-55. Majlis diikuti dengan ucapan aluan SS Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria, dan Titah DiRaja oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Majlis diteruskan dengan pembentangan kertas kerja utama oleh Y.B. Pehin Datu Seri Maharaja Dato’ Paduka Seri Setia, Dr. Ustaz Hj Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan Brunei Darul Salam. Beliau membentangkan tajuk utama iaitu tema muzakarah.

    Pembentang-pembentang kertas kerja pada muzakarah kali ini ialah Y.Bhg. Tuan Haji Ahmad Azam bin Abdul  Rahman, Timbalan Setiausaha Agung Union Of NGOs Of The Islamic World, Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Amani Ali Elmetwaly Ali Ibrahim dari Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi, Pusat Pengajian UniMAP,Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Syukri Yeoh bin Abdullah, Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam Dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM,Y.Bhg. Prof. Emeritus Dato' Dr. Mahmood Zuhdi bin Ab Majid, Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Dakwah Negara, dan Y.Bhg. Prof Dato’ Teo Kok Seong, Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (KITA), UKM.

     Muzakarah berakhir dengan majlis perasmian penutup pada hari ketiga. Majlis telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Zamby Bin Abd. Kadir, Menteri Besar Perak. Pada majlis tersebut, Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), YBhg. Tan Sri Prof. Dr. Nordin Bin Kardi telah membentangkan resolusi muzakarah hasil dari semua pembentangan kertas kerja. Resolusi ini telah dibincang dan dihasilkan oleh Jawatankuasa Resolusi Muzakarah dari USAS.

     


    Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, JMNPk

    msnms02 msnms03 msnms01
    msnms05 msnms06 msnms07

    Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

    pemukiman IPOH, 8 FEBRUARI 2017 – Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tahun ini telah berakhir dengan jayanya semalam. Muzakarah kali ini yang bertemakan; ‘Mengakar Kuat Umat Melayu, Menjulang Tinggi Islam’ telah berlangsung dari 5 - 7 Februari. DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan merasmikan muzakarah tersebut di Majlis Perasmian pada hari Isnin, 6 Februari 2017.

    Muzakarah yang diadakan di Amanjaya Convention Centre, Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya ini telah disertai oleh kira-kira 250 orang peserta dari pelbagai latar belakang kerjaya dan dari seluruh negara. Ia bermula pada malam Ahad dengan sesi pembentangan kertas kerja Pra Muzakarah yang disampaikan oleh Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Shamrahayu Binti Ab. Aziz, Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

    Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berlangsung pada hari kedua, dihadiri oleh kira-kira 1000 orang. Turut hadir DYTM Raja Muda Perak dan isteri, DYAM Raja DiHilir Perak dan isteri, YAB Menteri Besar Perak dan isteri, serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak. Majlis diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh AF ustaz Radzi Kamarul Hailan, diikuti dengan ucapan aluan SS Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria, dan titah perasmian oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Selesai titah perasmian, majlis bersambung dengan pembentangan kertas kerja utama oleh Y.Bhg. Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Bin Baharuddin dari Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Tajuk kertas kerja beliau ialah Adat, Adab dan Agama: Arus Perubahan Masyarakat Melayu.

    Antara pembentang-pembentang kertas kerja sepanjang muzakarah ialah Y.Bhg. Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Ramlah Binti Adam dari Universiti Malaysia Perlis (UMP), Y.Bhg. Dato’ Wan Mohamad Bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Mantan Ketua Pengarah JAKIM, Y.Bhg. Dato’ Dr. A. Aziz Bin Deraman, Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan, dan Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Yusof Bin Othman dari UKM.

    Pada hari ketiga diadakan bengkel muzakarah bagi membincangkan resolusi muzakarah. Bengkel dijalankan oleh Jawatankuasa Resolusi dari Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang diketuai oleh Dr. Mohd. Fuad Bin Mokhtar. Beliau juga telah membentangkan resolusi muzakarah di Majlis penutup muzakarah yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Bin Abd. Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.

    muzakarah DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli merasmikan Muzakarah.  
    muzakarah Para peserta memberi tumpuan semasa pembentangan kertas kerja muzakarah.
    muzakarah YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Bin Abd. Kadir memberi ucapan semasa majlis penutup muzakarah.

    Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK