 |
IPOH 29 & 30 OKTOBER 2022 - Peperiksaan Tauliah Mengajar (Agama Islam) Negeri Perak Tahun 2022 telah berlangsung di Kompleks Islam Darul Ridzuan selama 2 hari pada Sabtu dan Ahad. Peperiksaan pada kali ini telah melibatkan seramai 103 orang calon guru tauliah dengan pantauan pengawas seramai 11 orang warga Jabatan Mufti Negeri Perak. Peperiksaan telah berjalan lancar. |
Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak.
 |
SEGARI 27 SEPTEMBER 2022 - Program Rukyah Hilal Rabi’ul Awwal 1444h / 2022m bersama komuniti telah diadakan pada Selasa (27 September 2022 / 30 Safar 1444H) di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Segari.Terima kasih kepada guru-guru dan para pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran dan Akademik BAKIP (MATAQAB), Ipoh atas kerjasama dan kehadiran memeriahkan program ini. |
Peralatan yang digunakan untuk cerapan adalah seperti berikut:
Sharpstar 100 ED Telescope + Sony Alpha 7 iii
Leica Theodolite
Topcon Theodolite
Seramai 4 orang pegawai telah melakukan cerapan pada waktu seperti berikut:
Ijtimak : 5.54 pm (26.9.2022)
Umur Hilal: 38 jam 27 minit
Matahari terbenam : 7.11 pm
Bulan terbenam : 8.21 pm
Status Hilal: Telah mula kelihatan pada jam 8.03 malam.
Jabatan Mufti Negeri Perak.
 |
NEGERI SEMBILAN, 2 SEPTEMBER 2022 - Program Lawatan Kerja Jabatan Mufti Negeri Perak ke Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi membincangkan Enakmen Tariqat & Pelaksanaannya oleh Ketua Bahagian Tariqat Tasauwuf, AL Fadhil Ustaz Syaiful Nizam Bin Mohd Jan. |
AL Fadhil Ustaz Syaiful Nizam menerangkan fungsi Bahagian Tariqat tasauwuf dalam menguruskan pendaftaran dan perakuan tariqat-tariqat di seluruh kawasan Negeri Sembilan. Bahagian Tariqat Tasauwuf JMKN NS juga menubuhkan anggota jilsah al turuq as sufiyyah yang terdiri daripada 5 orang pengkaji dan pengamal dalam membantu gerak kerja bahagian Tariqat & Tasauwuf JMKN NS. Perbincangan turut berkisar mengenai isu pemberhentian operasi beberapa tariqat yang menyeleweng daripada fahaman Islam sebenar mengikut garis panduan yang disediakan oleh pihak JMKN NS. Program berakhir pada jam 12:00 tengahari.
Sumber: Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak.
 |
IPOH, 26 OGOS 2022 - Bengkel PIC Web ini telah berlangsung di bilik mesyuarat JMNPk pada jam 3:00 petang yang melibatkan semua PIC Web dan PIC Penerbitan daripada Bahagian Fatwa, Falak, Maktabah dan Pentadbiran. |
Bengkel ini diadakan pada hari Jumaat setiap bulan bagi membincangkan topik kandungan laman web yang perlu dikemaskini bagi mematuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak MAMPU dan PSUK. Bengkel ditangguhkan pada jam 4:40 petang.
Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.
 |
IPOH, 26 OGOS 2022 - Mufti Kerajaan Negeri Perak, SS Dato’ Hj Wan Zahidi bin Wan Teh telah hadir bersama kepimpinan Kerajaan Negeri Perak mengiringi DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan dalam Majlis Bacaan Yasin Sempena Hari Kebangsaan Tahun 2022 yang telah berlangsung di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Raja Musa Mahadi, Ipoh. |
Turut serta dari kalangan tenaga kerja Jabatan Mufti Negeri Perak di dalam majlis ini adalah SS Timbalan Mufti Negeri Perak bersama beberapa orang pegawai. Moga majlis ini membawa keberkatan dan rahmat khususnya untuk Negeri Perak dan seluruh Malaysia amnya.
Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.
 |
IPOH, 18 dan 19 Ogos 2022 - Seminar penggunaan TikTok telah diadakan selama 2 hari bertempat di Ballroom Tingkat 1, Hotel Casuarina @ Meru. Seminar ini merupakan sesi pembelajaran kepada pegawai-pegawai dan kakitangan jabatan ini dalam penyediaan bahan-bahan ilmiah yang berkualiti melalui aplikasi TikTok. |
Penceramah jemputan merupakan TikTokers terkenal di Malaysia iaitu Encik Azrul Affandi Sobry atau lebih dikenali dengan nama PenceritaTV. Beliau telah memberikan pendapat dan panduan bagaimana jabatan ini dapat menyediakan content element yang bermutu kepada pengguna-pengguna media sosial di TikTok. Ini merupakan platform baru bagi jabatan ini selain menggunapakai platform Facebook dan Instagram dalam menyebarkan ilmiah kepada pengguna-pengguna media sosial umumnya.
Semoga pendekatan baru ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat.
Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.
 |
IPOH - Jabatan Mufti Negeri Perak telah menganjurkan Bengkel Pelaksanaan “Job Description” Di Dalam Sistem HRMIS dimana bengkel yang dikoordinasikan oleh Bahagian Pentadbiran Dan Kewangan ini telah diadakan di Bilik Latihan Komputer, Hub Inovasi & Multimedia, Digital Perak Corporation Holdings pada 30 Mac 2022. Ianya dikhaskan kepada semua pegawai dan anggota Jabatan Mufti Perak yang dipertanggungjawabkan untuk mengimput data ke dalam modul yang berkaitan di dalam sistem HRMIS. 2 orang penceramah jemputan dari Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah mengendalikan bengkel pada kali ini. |
Objektif bengkel ini adalah bagi memantapkan peratusan input data dari semua pegawai dan anggota Jabatan Mufti Negeri Perak disamping mengenal pasti permasalahan dan cabaran dalam penggunaan sistem HRMIS yang sedia ada dari segi aspek modul, aplikasi, teknikal dan capaian.
Seramai 23 peserta terdiri daripada pegawai dan anggota dari jabatan ini telah mengikuti dan berjaya menamatkan bengkel pada kali ini dengan jayanya. Bengkel berakhir dengan sesi soal jawab di antara penceramah HRMIS dan peserta bengkel di dalam menyelesaikan segala kemusykilan berkaitan sistem HRMIS.
Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.
 |
PULAU PINANG, 16 MAC 2022 – Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengadakan lawatan kerja ke Islamic Propagation Society International (IPSI) Pulau Pinang pada 16 Mac 2022. Rombongan ini seramai 17 orang ini telah diketuai oleh Timbalan Mufti Perak, Dato’ Haji Zamri bin Hashim. Tujuan lawatan kerja ini diadakan adalah untuk mendapat pendedahan berkaitan proses perlaksanaan Istitabah dan pemelukan Islam disamping mempelajari pengalaman dan inspirasi dalam pengurusan kerja-kerja dakwah kepada pelancong-pelancong bukan Islam. |
Rombongan diberi taklimat mengenai sejarah, aktiviti dan kejayaan IPSI yang telah beroperasi sejak 1995 oleh Dato’ Haji Kamarudin Abdullah yang merupakan Pengasas dan Presiden IPSI. Di samping itu, rombongan turut dibawa melawat premis IPSI yang terdiri daripada 4 tingkat mempunyai mini perpustakaan, kedai buku, auditorium, pejabat, kelas, bilik kaunseling, taman dan surau.
Dato Haji Kamarudin Abdullah menegaskan "Antara rahsia kejayaan IPSI ialah kami menekankan aspek istiqamah dalam gerak kerja dan menjaga kualiti kerja dengan slogan 'Jannah Class' di samping keberkatan sumbangan infaq masyarakat Islam yang ikhlas daripada pelbagai peringkat memberi kekuatan kepada kami untuk tidak berputus asa dalam kerja-kerja dakwah kepada non-Muslim. Ini adalah amanah yang besar kepada kami." Rombongan mengakhiri lawatan dengan sesi makan tengah hari serta fotografi bersama Dato’ Haji Kamarudin dan seterusnya bertolak ke balik ke Ipoh pada jam 2.00 petang.
Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.
SUNGKAI, 21 dan 22 Februari 2022: Satu program Ijtima' Sanawi Hai'ah Al-Ulama' telah diadakan bertempat di Felda Residence Hot Spring, Felda Sg. Klah, Sungkai, Perak. |
Objektif program adalah seperti berikut:
- Meminimumkan perbezaan pemikiran, kefahaman dan pendekatan di kalangan para anggota Hai'ah al-Ulama'
- Membantu Jabatan Mufti Negeri Perak dalam menyedia dan menganalisa maklumat berkaitan perancangan, matlamat dan hala tuju;
- Restorasi kedudukan ulama menerusi pemerkasaan pelbagai pendekatan secara berhikmah dalam mendepani isu semasa umat Islam.
Sasaran yang dikenalpasti adalah di kalangan para ilmuan dan cendekiawan yang dikenali dan dimaklumi sebagai seorang yang berkepakaran dalam pelbagai disiplin ilmu Syarak. Sejumlah 37 Orang anggota Haiah telah dipilih untuk menghadiri Ijtima' Sanawi Hai'ah Al-Ulama
Bidang kepakaran / kluster yang ditetapkan merangkumi Tafsir, Hadis, Akidah, Tasawwuf, Fiqh, Aliran Pemikiran Semasa, Tarbiah dan Hal Ehwal Wanita. Manakala para penceramah/pembentang/pembentang resolusi adalah terdiri daripada:
- S.F. Prof. Dr. Yahya bin Mat Som
- S.S. Prof. Dr. Jamil Bin Hashim
- S.F. Prof. Dr. Azmil bin Hashim
- S.F. Prof. Madya Dr. Mohamed Fairooz bin Abdul Khir
- S.F. Dr. Azmil bin Zainal Abidin
- S.F. Dr. Zulhilmi Bin Mohamed Nor
- S.F. Dr. Muhammad Ayman al-Akiti
- S.F. Dr. Mohamad Rizal bin Mohamed Nor
Jemputan Khas Majlis Penutup terdiri daripada:
- YAA Tuan Haji Ab Rahman Thobroni Bin Haji Mohd Mansor
- SS. Dato' Hj. Zamri bin Hashim
- YBhg. Tuan Mohd Asri Bin Mohamad Ghazali
Impak Pelaksanaan program meliputi Pembentukan Resolusi, Perancangan aktiviti/program 2022 – 2025, Pengwujudan Sekretariat, Lantikan Ketua dan Penolong bagi setiap Kluster.
Sumber Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak.
 |
IPOH, 19 Januari 2022 – Bengkel dan Program Pengukuran Kiblat Di Rumah Kariah Masjid Abdul Rahman Auf telah diadakan dengan jayanya semalam. Ia merupakan program kerjasama antara Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk), Masjid Abdul Rahman Auf, Taman Rapat Koperasi (MAARUF) dan Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak (PPIFIP). Program ini bertujuan melatih ahli-ahli PPIFIP yang berminat untuk menjadi pengukur arah kiblat di rumah-rumah agar lebih berkemahiran dan berkelayakan dalam kerja-kerja pengukuran kiblat di lapangan. |
Program dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan sesi taklimat kepada ahli-ahli PPIFIP yang hadir. Taklimat telah disampaikan oleh AF. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Ketua Bahagian Falak, JMNPk. Para peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan yang diketuai oleh 3 orang fasilitator iaitu Yang Di Pertua PPIFIP dan pegawai-pegawai Falak JMNPk. Pengukuran kiblat telah dilakukan di 10 buah rumah sekitar kariah tersebut yang telah membuat permohonan iaitu:
(1) 3 buah rumah Taman Rapat Koperasi
(2) 1 buah rumah Taman Gunung View
(3) 2 buah rumah Taman Rapat Permai
(4) 4 buah rumah Taman Ampang
Program berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari setelah jamuan makan tengah hari. Adalah diharapkan program ini dapat memberi pengalaman yang berguna dan dapat mempertingkat kemahiran pengukuran arah kiblat di kalangan ahli PPIFIP sekaligus merancakkan lagi aktiviti pengukuran arah kiblat PPIFIP di Negeri Perak ini.
Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.