|
KUALA TERENGGANU, 11 DISEMBER 2017 – Program Liqa’ Mahabbah Jabatan-jabatan Mufti Zon Utara dan Zon Timur telah berakhir dengan jayanya semalam. Program dwi-tahunan ini merupakan program pertandingan sukan permainan luaran dan dalaman yang melibatkan pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan mufti negeri zon utara. Negeri Terengganu terpilih sebagai tuan rumah untuk edisi kali ini. Pada kali ini juga program ini telah dilebarkan penyertaannya ke negeri zon timur yang menyaksikan negeri Pahang menyertainya buat kali yang pertama. |
Terdapat 6 jenis sukan permainan yang dipertandingkan sepanjang 2 hari program ini iaitu badminton, futsal, ping pong, congkak, karom dan boling. Turut dipertandingkan ialah acara perbarisan kontinjen terbaik. Program membuka tirai pada pagi Sabtu lalu melalui acara pembukaan yang telah dirasmikan oleh S.S. Dato’ Dr. Haji Zulkifly Bin Haji Muda, mufti Negeri Terengganu. Ia diikuti dengan acara badminton, ping pong, congkak dan karom pada hari tersebut. Program bersambung dengan acara futsal dan boling pada keesokannya.
Tuan rumah iaitu jabatan Mufti Negeri Terengganu telah muncul johan keseluruhan dengan memenangi 2 pingat emas, 4 pingat perak dan 1 pingat gangsa. Manakala tempat kedua disandang oleh Jabatan Mufti Negeri Perak dengan mengumpul 2 pingat emas, 2 perak dan 2 gangsa. Turut menyertai program ini ialah Jabatan Mufti Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Pahang. Pingat emas kontinjen Perak adalah menerusi sukan badminton dan congkak, pingat perak menerusi sukan boling lelaki dan perempuan, manakala pingat gangsa menerusi sukan ping pong dan karom. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang terutamanya kontinjen Perak yang telah memberi tentangan sengit kepada kontinjen tuan rumah! Semoga berjumpa lagi pada tahun 2019.
|
|
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK
|
IPOH, 19 NOVEMBER 2017 – Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) dengan kerjasama Masjid Solatiah, Rapat Setia Baru telah mengadakan Program Penjelasan Fatwa dan Isu Semasa malam semalam. Objektifnya ialah sebagai penjelasan dan penerangan tentang fatwa, institusi fatwa dan peranannya. Program ini juga bertujuan mengupas isu-isu semasa yang berkaitan dengan umat Islam di negara ini serta hukum hakam yang berkaitan dengannya. |
Ahli panel bagi forum ini ialah S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak, dan S.F. Dato’ Haji Asad Bin Haji Awang, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Manakala moderator ialah S.F. Tuan Haji Kamaruddin Bin Adam, Ketua Penolong Mufti. Antara isu yang dibincangkan ialah isu perpaduan umat Islam di negara ini, isu aqidah yang menyeleweng serta isu perundangan yang mencakupi hal ehwal agama Islam.
Program ini telah mendapat perhatian yang baik dari kira-kira 200 orang jemaah yang hadir. Diharapkan program seperti ini dapat dianjurkan lagi di masjid-masjid dalam negeri Perak. |
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK
|
TANJUNG MALIM, 25 OKTOBER 2017 – Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) dengan kerjasama Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) dan Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah Muallim telah berjaya menganjurkan Kursus Penentuan Arah Kiblat semalam. Ia telah diadakan di Auditorium INSTUN dan diurus setiakan oleh Bahagian Falak JMNPk dan Bahagian Ukur dan Pemetaan INSTUN. Objektif kursus ini ialah untuk memberi pendedahan dan meningkatkan kefahaman kepada peserta kursus mengenai teori dan kaedah penentuan arah kiblat. |
Penceramah yang dipilih oleh penganjur ialah A.F. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Pegawai Falak dari Jabatan Mufti Negeri Perak. Kursus ini telah disertai oleh 100 orang peserta dari sekitar daerah Muallim yang terdiri dari Pegawai Masjid, Jawatankuasa Kariah, guru-guru sekolah, pegawai dan kakitangan jabatan atau agensi kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi awam serta orang awam.
Kursus ini telah mendapat perhatian dan sokongan yang memberansangkan daripada peserta serta meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Diharapkan kursus seumpama ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang. |
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK
|
LUMUT, 23 SEPTEMBER 2017- Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan, S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria telah menerima anugerah Tokoh Ar-Ridzuan sempena dengan Sambutan Maal Hijrah 1439H/2017M peringkat negeri Perak di Dewan Shariff, Pangkalan TLDM Lumut, semalam.
Pemilihan Tan Sri Harussani, 78, sebagai penerima anugerah ini adalah berdasarkan kepada sumbangan besar beliau kepada pembangunan Islam di negeri Perak.
|
Tan Sri menganggap anugerah ini sebagai satu ujian Allah untuk melihat sejauh mana keimanannya sebagai muslim sejati, sama ada akan menjadi bongkak atau sebaliknya.
Beliau menegaskan akan terus berpegang kepada prinsip berkata benar biarpun pahit.
“Saya berpegang kepada prinsip berkata benar walaupun pahit dan perkara ini saya gunakan untuk menegur pemimpin bagi memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.
“Katakan yang benar sekalipun pahit kerana yang benar tuhan akan tolong. Beri idea sejujurnya supaya negara ini dapat dibangunkan sebagai negara Islam yang unggul," katanya.
Tan Sri telah menerima wang tunai RM10,000, pakej umrah, medal, sijil, plak dan hadiah iringan.
Turut menerima anugerah ialah bekas Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Abdul Aziz Mohd Yusuf. Beliau telah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah atas sumbangan dan jasa beliau dalam perundangan Islam di Negeri Perak.
Semua anugerah di Sambutan Maal Hijrah 1439H/2017M ini telah disampaikan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
|
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK
|
IPOH, 6 SEPTEMBER 2017 – Satu Taklimat Arkib Negeri Perak bagi Pemusnahan Rekod Kewangan dan Perakaunan Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya diadakan semalam. Ianya bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan. Taklimat ini bertujuan untuk memberi penerangan berkaitan semakan pelupusan baucer kewangan kepada pegawai dan kakitangan dari Bahagian Pentadbiran dan Kewangan |
Taklimat Arkib ini telah disampaikan oleh Cik Shahida, pegawai yang dijemput khas dari Arkib Negeri Perak. Pegawai dan kakitangan jabatan ini yang terlibat secara langsung ialah Pegawai Rekod Jabatan iaitu Cik Rafidah Binti Mohamed Daud dan Pembantu Rekod Jabatan iaitu En. Azizi Bin Ismail.
Antara kakitangan lain yang terlibat ialah Pn. Salmah Binti Mohd. Jidi, En. Ahmad Faiz Bin Abdul Latiff, Pn. Mahanom Binti Mior Arbi dan Pn. Mariam Binti Mohamed Abdullah. Taklimat tersebut bermula pada jam 3.00 petang dan berakhir sekitar jam 4.30 petang.
|
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK
|
Pada 7-8 hb Ogos 2017M bersamaan 15 Zulkaedah 1438H (Isnin-Selasa), Gerhana Bulan Separa akan berlaku. Ia berlaku selari dengan waktu Bulan berada di fasa Bulan Penuh ketika dalam kedudukan Istiqbal. Gerhana kali ini dapat dilihat sepenuhnya dari Malaysia khususnya di negeri Perak. Ketika gerhana kali ini berlaku, kita akan mendapati cahaya bulan yang sepatutnya terang kelihatan akan kelihatan malap seolah dilindungi awan nipis. Namun, pada saat-saat kemuncak gerhana, bulan akan kelihatan lebih gelap di sebelah selatan permukaan Bulan seolah-olah dilindungi awan tebal. Pada ketika inilah kesan gerhana akan lebih mudah dikenal pasti. Malah pada keseluruhan gerhana ini, kita akan dapat menyaksikan gerhana dengan baik kerana ketika itu Bulan berada tinggi dari ufuk.
Berdasarkan data yang telah dihisab, Gerhana Bulan Separa dijangka akan berlaku bermula jam 11:50 pm pada malam 7hb Ogos. Namun pada permulaan gerhana ini, kesan gerhana sukar dilihat kerana Bulan baru memasuki bayang penumbra yang kurang gelap. Hanya pada jam 1:23 am hingga 3:18 am pada pagi 8hb Ogos, barulah kesan gerhana akan lebih jelas kelihatan setelah Bulan memasuki bayang Umbra yang lebih gelap. Kesan gelap gerhana akan paling jelas pada jam 2:20 am. Setelah itu gerhana masih berlaku, cuma kesan gerhana akan semakin hilang ketika ia memasuki fasa penumbra. Gerhana akan tamat pada jam 4:51 am.
|
Tempoh keseluruhan gerhana ini akan berlaku ialah 5 jam 0 m 53 saat dengan mengambil kira laluan Bulan merentasi bayang Penumbra dan Umbra. Namun kesan ketara gerhana pada bayang Umbra hanya dalam 1 jam 55 minit 14 saat.
Maka berdasarkan maklumat di atas, seluruh umat Islam khususnya di negeri Perak disarankan untuk melaksanakan solat sunat Gerhana Bulan. Waktu yang disarankan ialah dari jam 1:23 am hingga 3:18 am pada pagi 8hb Ogos. Di samping melaksanakan cerapan gerhana, umat Islam disarankan untuk memperbanyakkan zikir, tasbih, tahmid dan takbir. Ini kerana gerhana adalah bukti kebesaran Allah S.W.T yang sepatutunya diiringi rasa kekaguman dan kehambaan pada Kebesaran Allah S.W.T. Moga Allah S.W.T mempermudahkan segala urusan kita untuk mencerap gerhana bulan nanti.
Selamat menunaikan Solat Sunat Gerhana Bulan.
Ringkasan Waktu Solat Sunat Gerhana Bulan
Tarikh
|
Hari
|
Mula
|
Tamat
|
15 Zulkaedah 1438 H /
8 Ogos 2017M
|
Selasa
|
1:23 am
|
3:18 am
|
Muat turun Khutbah Gerhana DI SINI
|
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK
SUNGKAI, 21 JULAI 2017 – Program Pemukiman YAB Menteri Besar Perak diteruskan lagi dan kali ini ia diadakan di Daerah Muallim. Melalui portfolio Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Shasiah, YB Dato’ Drs. Mohd Nizar Bin Zakaria telah berlangsung Karnival Mahabbah Eidul Fitri YAB Menteri Besar Perak Bersama Institusi Agama dan Warga FELDA di Parlimen Tanjung Malim semalam bersempena dengan program pemukiman ini.
Kali ini Masjid Saidina Othman Ibnu Affan, Felda Gunung Besout 3 terpilih sebagai lokasi. Terdapat pelbagai kaunter perkhidmatan dan pameran disediakan oleh agensi yang terlibat seperti Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak (JKSMPk), serta beberapa bahagian dari Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Selain itu, Klinik Dr. Zambry turut dibuka untuk memberikan perkhidmatan kepada warga FELDA yang hadir.
Pada jam 11.00 pagi, YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak dijemput menyampaikan taujihat bersama kader JAIPk dan warga FELDA. Ia diikuti dengan penyampaian elaun kepada pengerusi dan pegawai-pegawai masjid serta penyampaian saguhati kepada bakal-bakal haji peneroka, petugas dan guru-guru sekolah di FELDA Besout 3. Program berakhir dengan Kenduri Rakyat iaitu jamuan makan sekitar jam 12.00 tengahari.
Pada sebelah petang pula diadakan sukan persahabatan futsal dan badminton antara institusi-institusi agama Negeri Perak serta penduduk sekitar. Ia diadakan di SMKA Slim River, bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim antara kakitangan agensi-agensi berkenaan serta orang ramai. Jabatan Mufti Negeri Perak telah muncul juara dalam acara badminton serta mendapat naib juara dalam acara futsal.
Program pemukiman YAB Menteri Besar Perak yang seterusnya telah dijadualkan di Daerah Batang Padang pada bulan September dan di Daerah Manjung Oktober nanti.
|
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK
SEGARI, 26 JUN 2017 – Program Majlis Rukyah Hilal Syawal 1438H bersamaan 2017M telah berjaya diadakan pada hari Sabtu yang lalu. Program ini merupakan program tahunan Jabatan Mufti Negeri Perak bertujuan membuat penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri, iaitu pada 1 Syawal setiap tahun Hijri. Ia diadakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu, Segari bermula jam 5.30 petang.
Program ini buat julung-julung kalinya telah dihadiri oleh YB. Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Antara tetamu kehormat yang turut hadir ialah Y.A.A. Dato’ Haji Asa’ari Bin Haji Mohd Yazid, Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Y.D.H. Toh Seri Bijaya Lt. Kol (B) Dato’ Shaharudin Bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, Orang-orang Besar Jajahan Negeri Perak serta Ketua-ketua Jabatan sekitar daerah Manjung.
Program bermula dengan Majlis Bacaan Tahlil selepas solat Asar, diikuti dengan Taklimat Kedudukan Hilal Syawal yang disampaikan oleh S.F. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak. Selepas itu program diteruskan dengan aktiviti rukyah hilal iaitu melihat anak bulan dengan menggunakan peralatan yang disediakan. Ia bermula sekitar jam 6.45 petang. Tetamu-tetamu kehormat serta hampir 300 orang awam yang hadir berpeluang menggunakan peralatan-peralatan tersebut.
Pada jam 7.48 malam, S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak mengumumkan bahawa anak bulan atau hilal Syawal telah tidak kelihatan di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu. Ianya berpunca dari faktor awan yang tebal. Program diakhiri dengan jamuan makan malam selepas solat Maghrib.
|
Laporan Rukyah Hilal Syawal Bagi Tahun 1438H / 2017M
Tarikh : 29 Ramadan 1438H / 24 Jun 2017M (SABTU)
Masa : 5.30 Petang
Tempat : Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Segari.
Kehadiran Jemputan: Hampir 300 orang hadir.
YB. Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Ketua Hakim Syariah Negeri Perak Orang-Orang Besar Jajahan, Ketua-Ketua Jabatan Daerah Manjung serta wakil Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Rukyah Hilal Syawal Pegawai-Pegawai Agama dan orang awam. Majlis bermula 5.30 ptg hingga 8.30 mlm.
5.30 ptg : Ketibaan para tetamu
5.45 ptg : Ketibaan Dif-dif jemputan
: Tahlil
: Taklimat Kedudukan Hilal Syawal Oleh:
Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.
6.45 ptg : Aktiviti Rukyah Dimulakan
: Pengumuman Kenampakan Hilal Oleh:
S.S. Tuan Hj. Zamri b. Hashim. Timbalan Mufti Negeri Perak
: Solat Maghrib
: Makan Malam
: Majlis Bersurai Pada jam 6.45 petang, sesi cerapan Hilal Syawal dimulakan.
Pengumuman kenampakan hilal di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu telah diumumkan oleh S.S Tuan Hj. Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak setelah hilal terbenam pada jam 7.48 mlm.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK
|
IPOH, 22 JUN 2017 – Perhimpunan bulanan Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya diadakan buat kali ke-5 pada tahun ini. Ianya melibatkan semua pegawai dan kakitangan jabatan seramai 29 orang termasuk ketua jabatan iaitu S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria. Turut terlibat ialah seorang pelajar latihan industri dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).
Perhimpunan kali ini diadakan di Bilik Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP) kerana faktor bulan puasa. Seperti biasa perhimpuanan bermula dengan nyanyian lagu Negaraku dan alunan nasyid Asma’ Al-Husna. Bagi memberkati majlis, A.F. Ustaz Ahmad Khairul Nizam telah dijemput bagi memimpin bacaan doa. Ia diikuti dengan Tausiyyah yang disampaikan oleh S.S. Tan Sri Mufti.
|
Sempena dengan bulan Ramadan, S.S. Tan Sri Mufti memilih untuk berbicara berkaitan dengan nikmat-nikmat yang Allah telah kurniakan kepada hamba-hambaNya dan menasihatkan semua agar bermuhasabah dengan kekurangan dan kelemahan diri dalam menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat-nikamtNya.
Perhimpunan kali ini merupakan yang terakhir buat Penolong Pegawai Tadbir, Pn. Norizah Binti Mohamad Nordin yang akan bertukar disebabkan kenaikan pangkat. Beliau telah dijemput memberikan ucapan perpisahan dan menerima cenderamata kenangan dari jabatan. Sebelum bersurai, turut diadakan sesi perkenalan dengan pelajar latihan industri serta penyerahan sumbangan Aidilfitri oleh Kelab Kebajikan dan Sukan jabatan kepada semua pegawai dan kakitangan.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK