 |
IPOH, 11 MEI 2016 – Buat pertama kalinya pada tahun ini telah diadakan ‘Perjumpaan Tan Sri Mufti Bersama Pegawai Dan Kakitangan Di Jabatan Mufti Negeri Perak. Perjumpaan yang diadakan di Bilik Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tingkat 5, Kompleks Islam Darul Ridzuan, bermula jam 9.00 pagi itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama seluruh anggota kakitangan jabatan, selain untuk berkongsi pandangan dan pendapat serta berbincang permasalahan dan penyelesaiannya berkaitan hal ehwal para pekerja dan peranan masing-masing demi kebaikan dan kepentingan jabatan. |
Selepas menikmati jamuan sarapan yang disediakan, program dimulakan dengan mendengar ucapan aluan dan amanat daripada mufti Perak yang juga selaku ketua jabatan iaitu SS Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Hj. Harussani Bin Hj. Zakaria. Banyak pengalaman yang telah dikongsikan oleh beliau kepada pegawai serta kakitangan jabatan khususnya berkaitan perkembangan kerjaya beliau dari awal remaja sehingga menjawat jawatan sebagai mufti kini.
Program diteruskan dengan sesi interaksi bersama Tan Sri Mufti, Pegawai Kanan dan semua kakitangan jabatan. Pelbagai soalan dan pertanyaan telah diajukan kepada Tan Sri Mufti khususnya dan mendapat respon yang baik oleh beliau. Salah seorang pegawai, Fatimah Binti Ayob telah memberi nasihat dan peringatan agar semua anggota jabatan dapat bermuhasabah dan berubah kepada yang lebih baik sekaligus dapat mencerminkan imej yang baik selaras dengan nama baik jabatan.
Selesai sesi interaksi, para pegawai dan kakitangan telah menandatangani Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi tahun 2016 di hadapan Tan Sri Mufti. Kesemua dokumen yang telah ditandatangani oleh pegawai dan kakitangan kemudiannya dibawa ke Tan Sri Mufti untuk ditandatangani oleh beliau.
Sesi perjumpaan ini berakhir dengan penyampaian cenderamata kepada kakitangan yang akan bertukar pada 16 Mei ini, iaitu En. Azizan Bin Mokhtar. Beliau akan bertukar ke Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Agama Islam Perak. Seterusnya penyampaian cenderamata kepada pegawai dan kakitangan yang menyambut hari lahir pada bulan April, Mei dan Jun iaitu Pn. Pahiyah Binti Idarmawi, En. Zainuddin Bin Muhammad, En. Azwawi Bin Abdul Aziz dan Tan Sri Mufti sendiri. Turut diraikan ialah kakitangan yang baru menerima cahaya mata iaitu pasangan En. Azwawi Bin Abdul Aziz dan Pn. Nurul Asma Binti Ramly.
Perjumpaan ini berjalan dengan lancar dan sangat meriah. Ia disudahi dengan jamuan makan tengahari yang telah disediakan oleh pihak pentadbiran jabatan. |
 |
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.
 |
IPOH, 24 APRIL 2016 – Peperiksaan Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak bagi tahun 2016 telah berakhir dengan jayanya pada hari ini. Peperiksaan yang merupakan program tahunan Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak telah berlangsung pada tahun ini selama 2 hari bermula hari Sabtu sehingga Ahad (23-24 April 2016). Peperiksaan kali ini diadakan di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan, melibatkan sebanyak 7 subjek iaitu Hadith, Feqah, Tauhid, Tasawuf, Sirah, Tafsir, dan juga Aliran Pemikiran Semasa yang merupakan subjek baru yang diperkenalkan pada tahun 2014. Seramai 144 orang calon baru yang memohon telah dipanggil untuk menduduki peperiksaan bertulis ini manakala 122 orang lagi merupakan calon yang mengulang dari pelbagai subjek. |
Menurut Ketua Pengawas Peperiksaan, A.F. Ustaz Ahmad Khairul Nizam Bin Ahmad Tarmizdi, beliau berpuas hati dengan perjalanan peperiksaan pada kali ini, katanya; “Alhamdulillah, peperiksaan pada tahun ini berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang kontroversi peniruan dan kelewatan berlaku”. Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kesemua 9 orang pengawas lain yang turut membantu, tambah beliau; “tanpa kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada para pengawas peperiksaan tidak mungkin peperiksaan ini dapat berjalan dengan baik”.
Sebanyak 4 subjek diadakan peperiksaan pada hari Sabtu bermula pada jam 9.00 pagi sehingga jam 5.30 petang, manakala 3 lagi subjek bersambung pada esoknya bermula pada waktu yang sama dan berakhir pada jam 3.30 petang. Peperiksaan pada kali ini menyaksikan sebanyak 80 peratus calon yang baru telah hadir menduduki kesemua subjek peperiksaan. |
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.
 |
SEGARI, 8 APRIL 2016 – Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak, telah menerima kunjungan pelajar Sek. Men. Islam Tahfiz Al-Amin, Chenderong Balai, Teluk Intan dan Sekolah Maahad Al-Yahyawiyah, Padang Rengas, Kuala Kangsar untuk bersama-sama melaksanakan sesi cerapan hilal Rejab 1437H di Baitulhilal, Pantai Pasir Panjang, Segari. |
Program bermula dengan sesi taklimat berkenaan Penentuan Awal Bulan Hijri yang telah disampaikan oleh A.F Ustaz Mohamad Faizal iaitu Pegawai di Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak. Sesi taklimat ini telah memberi ruang dan peluang kepada para pelajar dan guru pengiring mengetahui dengan lebih terperinci tentang kaedah atau prosedur dalam menentukan awal bulan hijri. Sesi soal-jawab juga telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Malah, para pelajar juga diberi peluang untuk menggunakan peralatan khas semasa sesi melihat anak bulan berlangsung.
"Kami telah membawa beberapa peralatan seperti Teleskop Orion, Kamera, NEX-3N, Teleskop Celestron C90, Teodolite Topcon dan Total station Topcon. Selain itu, kita telah mendapat kerjasama seorang pegawai dari Institut Tanah Dan Ukur Negara (INSTUN) iaitu En. Mahruzzaman b Misran yang turut membawa beberapa peralatan untuk sesi cerapan hilal pada kali ini," ujar Ustazah Fatimah bt Ayoub dari Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.
Sesi cerapan bermula pada jam 7.00 petang dengan cuaca yang agak cerah dan sedikit berawan. Namun, pada saat matahari mula terbenam, awan tebal telah melindungi matahari dari pandangan. Sungguhpun begitu, para pelajar dan guru begitu teruja kerana berpeluang menggunakan peralatan-peralatan yang telah disediakan. Semua yang hadir telah berpeluang melihat anak bulan Rejab yang mula kelihatan pada jam 7.42 malam pada ketinggian bulan 8° 28’ 13’’ dan azimuth 278° 47’ 26’’ dengan menggunakan Teleskop Orion 120mm dan Teleskop Celestron C90.
Selepas solat maghrib, program diteruskan dengan sesi cerapan langit dengan menggunakan teleskop. Para pelajar dan guru sekali lagi berpeluang melihat keindahan alam ciptaan Allah ketika planet Musytari (Jupiter) kelihatan di langit sebelah Timur. "Kami amat teruja dan amat berharap agar aktiviti yang sebegini akan selalu diadakan bagi mempromosikan ilmu falak di kalangan masyarakat," kata salah seorang guru pengiring.
Aktiviti yang telah dihadiri dengan lebih kurang 50 orang pelajar dan guru pengiring ini berakhir pada jam 10.00 malam dan mereka amat berpuas hati dengan sesi cerapan hilal ini.
LAPORAN DATA HILAL REJAB 1437H
LOKASI
|
DATA
|
MAKLUMAT CERAPAN
|
PERALATAN
|
Baitul Hilal,
Pantai Pasir Panjang.
|
Tarikh : 8 April 2016M
30 Jamadil Akhir 1437H
|
Mula Kelihatan : 7:42 pm
Altitud : 8 :28:13
Azimut : 278:47:26
Umur : 23 j 42m
|
1. Teleskop Orion, 120 mm (4.7 inci),
Eyepiece : 25 mm,
Tripod : Mini ioptron.
(Hilal kelihatan)
2. Kamera, NEX-3N + Celestron C90
90 mm.
(Hilal Kelihatan)
3. Teodolite Topcon & Total station Topcon ( Hilal tidak kelihatan)
|
Umur Bulan : 24 j 59 m
Altitud : 12:54:17
J/Lengkung : 13:25:48
Ijtimak : 7 April 2016
(19:24)
|
Laut : Air Pasang
Angin : Utara ke Selatan
|
Koordinat :
100:34:55 T
04:21:43 U
|
Data : 7:42 pm
Altitud : 8 :53:44
Azimut : 278:47:45
Jarak Bulan – Bumi : 357703.86 km
|
Beza Data & Cerapan:
Alttitud : 0:25:31
Azimut : 0:0:21
|
|
 |
Sesi Cerapan Hilal Bersama Pegawai dan Pelajar |
 |
Hilal Rejab 1437H Yang Dirakam Pada Jam 7.54 malam |
 |
Sebahagian pelajar lelaki dan guru pengiring yang menghadiri program cerapan ini. |
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.
 |
KUALA KANGSAR, 5 APRIL 2016 – Jabatan Mufti Negeri Perak, dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), dan Pejabat Agama Daerah Kuala Kangsar telah menganjurkan satu program Bengkel Training of Trainers (TOT): Pengamalan Tarekat Di Negeri Perak Darul Ridzuan. |
Bengkel tersebut bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kefahaman yang mendalam tentang amalan tarekat yang benar serta memperjelaskan isu-isu berkaitan dengannya yang sering menjadi kontroversi di kalangan kelompok masyarakat. Ia diadakan selama dua hari pada 4-5 April 2016 iaitu pada hari Isnin dan Selasa, bertempat di Pejabat Agama Daerah Kuala Kangsar.
Bengkel ini dihadiri oleh kira-kira 50 orang peserta yang terdiri dari guru-guru tauliah, pegawai-pegawai mahkamah, dan pegawai-pegawai dari institusi agama negeri dan daerah. Antara pembentang-pembentang yang dijemput ialah Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Mohd Syukri Yeoh Abdullah, Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), S.F. Dr. Haji Ahmad Husni bin Haji Hasan, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Kesemua sesi pembentangan diadakan pada hari Isnin.
Pada hari kedua, diadakan sesi perbincangan Isu-isu Tasauf bersama dengan A.F. Dr. Mohd. Faizal Bin Abdul Khair dan A.F. Dr. Mohd Fuad Bin Mokhtar dari Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS), Kuala Kangsar. Bengkel ini diakhiri dengan sesi dialog bersama Mufti Negeri Perak, S.S. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani bin Haji Zakaria, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Y.Bhg. Dato’ Haji Mohd Yusop Bin Husin, dan Ketua Hakim Syarie, Y.A.A. Tuan As’ari Bin Haji Mohd Yazid.
Bengkel ini berakhir pada jam 1.00 petang hari Selasa dan berjalan dengan lancar dan jayanya. |
 |
Para peserta fokus mendengar pembentangan yang disampaikan |
 |
Pembentangan oleh S.F. Dr. Haji Ahmad Husni bin Haji Hasan bertajuk Analisis Tarekat-tarekat Terpilih Di Negeri Perak |
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.
 |
KUALA KANGSAR, 31 MAC 2016 – Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar menjadi venue bagi Program Executive Talk Jabatan Mufti Negeri Perak kali pertama tahun ini. Program Executive Talk ini merupakan program anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak yang diadakan setiap tahun di lokasi-lokasi yang berbeza dalam Negeri Perak.
|
Pada edisi kali ini, penganjur telah menjemput A.F. Ustaz Syed Mohd Bakri Bin Syed Ishak dari Program Pencetus Ummah (P.U.) 2015 bagi menyampaikan ceramah 1 yang bertajuk; ‘Bangkitlah Wahai Dai’, Masyarakat Memerlukan Anda’. Selesai ceramah 1, program diikuti dengan ceramah 2 oleh S.S. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria, mufti negeri Perak. Pada kali ini beliau menyampaikan ceramah bertajuk; ‘Hala Tuju Dakwah Masa Kini, Di Manakah Anda?’.
Bercakap mengenai dakwah masa kini, Mufti Negeri Perak, S.S. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria menegaskan; “apa yang penting ialah perpaduan antara umat Islam di negara kita tidak kira sama ada berbeza politik atau pandangan”.
Kira-kira 500 orang peserta yang dijemput telah hadir bagi menjayakan program ini. Antara peserta yang hadir ialah seramai 300 orang Guru Pendidikan Islam (GPI), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar selain guru-guru KAFA, guru-guru tauliah, penghulu-penghulu daerah dan mukim, serta imam-imam masjid sekitar daerah Kuala Kangsar. Turut hadir Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Tuan Haji Mior Muhammad Jamil Bin Mior Zakaria dan Pegawai Tadbir Agama Kuala Kangsar, A.F. Ustaz Tuan Haji Burhanuddin Bin Md Dali.
Setelah selesai kedua-dua ceramah, sesi soal jawab berlangsung. Beberapa soalan telah dikemukakan oleh para peserta dan dijawab oleh S.S. Mufti Negeri Perak dan Timbalan Mufti Negeri Perak, Tuan Haji Zamri Bin Hashim. Program berakhir dengan jamuan makan pada jam 1.00 tengah hari.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.
 |
IPOH, 9 MAC 2016 – Program Jom Teropong Gerhana Matahari Separa bertempat di Masjid Saidina Abu Bakar, Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta hari ini dilihat berjaya mencapai sasaran untuk menanam rasa minat orang ramai kepada ilmu falak dan sikap cakna mereka kepada fenomena alam.
|
Program Bahagian Falak ini adalah program kerjasama antara Jabatan Mufti Negeri Perak dan Jawatankuasa Masjid Saidina Abu Bakar, Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta. Ia bermula dengan Solat Sunat Gerhana Matahari diikuti dengan khutbah gerhana oleh imam Masjid Saidina Abu Bakar, seterusnya taklimat dan cerapan gerhana matahari.
Kira-kira 200 orang yang terdiri dari ahli Kem Pasukan Gerakan Am, pelajar sekolah, dan orang awam telah hadir bagi menyaksikan fenomena gerhana matahari separa yang jarang berlaku ini. Orang ramai menyaksikan fenomena ini dengan peralatan-peralatan yang telah disediakan oleh Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.
Menurut Ketua Bahagian Maktabah, AF ustaz Mohamad Khairul Anuar Bin Mat Isa; ‘program berjaya dilaksanakan dengan baik dengan sambutan menggalakkan oleh masyarakat setempat. Mudahan-mudahan program ini menjadi keinsafan kepada semua umat Islam tentang ciptaan Allah yang Maha Kuasa ini.’
Program berakhir setelah tamat gerhana sekitar jam 10.00 pagi dan diikuti dengan jamuan ringan buat para tetamu dan urusetia.
 |
Antara alat yang digunakan bagi membantu orang ramai menyaksikan fenomena gerhana matahari separa. |
 |
Telur dikatakan mudah didirikan akibat tarikan graviti yang lebih kuat ketika gerhana berlaku. |
 |
Para urusetia bergambar santai setelah selesai program. |
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.
 |
IPOH, 26 JANUARI 2016 – Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan bertemakan; ‘Raja; Payung Pelindung Agama’ yang berlangsung pada 24 Januari 2016 (Ahad) hingga 26 Januari 2016 (Isnin) telah berjalan dengan lancar dan jayanya. DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah merasmikan muzakarah tersebut di Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada hari Isnin, 25 Januari 2016.
|
Muzakarah yang julung kalinya diadakan di bawah pemerintahan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ini diadakan di Amanjaya Convention Centre, Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya, telah disertai oleh kira-kira 150 orang peserta dari pelbagai latar belakang kerjaya dan tempat. Ia bermula pada petang Ahad dengan sesi pendaftaran peserta, seterusnya sesi pembentangan Pra Muzakarah pada sebelah malam yang disampaikan oleh Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Mat Rofa Bin Ismail dari Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia.
Muzakarah diteruskan pada pagi Isnin dengan Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dihadiri oleh kira-kira 1000 orang. Turut hadir DYMM Raja Permaisuri Perak, DYTM Raja Muda Perak dan DYTM Raja Puan Besar Perak, DYAM Raja DiHilir Perak dan DYAM Raja Puan Muda Perak, YAB Menteri Besar Perak dan isteri, serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak. Majlis perasmian bermula dengan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran oleh AF ustaz Radzi Qamarulhailan, diikuti dengan ucapan aluan SS Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria, dan titah perasmian oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Selesai titah perasmian, majlis perasmian bersambung dengan pembentangan kertas kerja 1 oleh Y.Bhg. Professor Emiritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dari Fakulti Sejarah, Universiti Malaya yang bertajuk; ‘Sorotan Kesultanan Melayu Memayungi Agama, Negara dan Rakyat.
Pada sebelah petang diadakan pembentangan kertas kerja 2 oleh Y.Bhg. SS Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohammad, Mufti Negeri Kelantan. Kertas kerja ini bertajuk; ‘Aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah: Teras Kemantapan Berakidah. Muzakarah berhenti rehat selepas sesi soal jawab. Sesi muzakarah seterusnya pada sebelah malam iaitu Bicara Intelek yang disampaikan oleh 2 orang panel iaitu SS Mufti Negeri Kedah Dato’ Paduka Syeikh Baderuddin Bin Hj. Ahmad dan Y.Bhg. Dr. Yusri Bin Mohamad, Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM).
Pembentangan kertas kerja 3 diteruskan pada pagi hari Selasa. Ianya disampaikan oleh Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Abdul Halim El Muhammady dari Research Centre For Traditional and Contemporary Islam, Bangi, yang membawakan tajuk: ‘Mazhab Syafie Wadah Perpaduan Ummah dan Penyeragaman Amalan Syariah di Malaysia. Muzakarah diikuti dengan Pembentangan Resolusi oleh Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) diwakili oleh Y.Bhg. Prof. Dr. Jamil bin Hashim, dan berakhir dengan Majlis Perasmian Penutup pada tengah hari tersebut. Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Drs. Mohd Nizar bin Zakaria, Exco Kerajaan Negeri Perak.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.
Program Rukyah Hilal Zulhijjah 1436H
Pada hari Ahad bertarikh 13 September 2015 (bersamaan 29 Zulkaedah), Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengadakan satu program iaitu “Program Rukyah Hilal Zulhijjah 1436H, bertempat di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Segari. Ia bertujuan untuk menentukan tarikh permulaan bulan Zulhijjah sekaligus menetapkan tarikh Hari Raya Idul’adha yang jatuh 10 hari selepas itu iaitu pada 10 Zulhijjah. Tarikh awal Zulhijjah ditentukan dengan kaedah imkanur rukyah sebagaimana yang ditetapkan di Malaysia. Program ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang ilmu falak khususnya berkaitan kaedah rukyah (melihat) hilal.
Program ini telah dihadiri oleh kira-kira lima ratus orang tetamu yang hadir bermula jam 4.30 petang. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah:
1) Ketua Hakim Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak,
2) Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk),
3) Pegawai Daerah Manjung,
4) Orang Besar Jajahan Kinta
5) Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Perak
Pada jam 6.00 petang, program bermula dengan bacaan tahlil dan doa yang dipimpin oleh YBhg. S.S. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak. Selesai bacaan doa, program diteruskan dengan majlis taklimat rukyah hilal Zulhijjah 1436H. Taklimat disampaikan oleh Ustazah Fatimah binti Ayoub, Penolong Pegawai Falak Jabatan Mufti Negeri Perak. Program diteruskan dengan sesi rukyah atau melihat hilal di persisiran pantai. Sesi rukyah dilakukan oleh SS Mufti Negeri Perak pada jam 7.21 malam, diikuti dengan tetamu-tetamu kehormat yang lain. Setelah sesi rukyah dijalankan, SS Mufti menghubungi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-raja untuk memaklumkan keputusan rukyah, dengan menggunakan perkhidmatan telekomunikasi yang disediakan oleh Telekom Malaysia (TM). Para tetamu juga dibenarkan melakukan aktiviti melihat hilal dengan adanya alatan yang telah disediakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Program diteruskan dengan solat fardhu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh A.F. Ustaz Mohammad Khairul Anuar bin Mat Isa, Pegawai Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perak. Selesai solat maghrib, program diakhiri dengan jamuan makan malam. Alhamdulillah, dengan izin dan kehendak Allah program dapat berjalan dengan lancar. Semoga segala usaha baik ini mendapat keredhaan dan keberkatan dariNya. Amin.