 |
SUNGAI PETANI, 24 APRIL 2017 – Bahagian Pentadbiran dan Kewangan Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara Kampus Wilayah Utara (INTURA) telah mengadakan Kursus Manual Prosedur Kerja (MPK) dan Fail Meja. Kursus ini diadakan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sungai Petani selama tiga hari dan berakhir semalam. Semua pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perak terlibat sebagai peserta kursus ini. |
Kursus ini bertujuan membuat pengemaskinian dan penambahbaikan kepada MPK jabatan serta fail meja semua pegawai dan kakitangan jabatan. Ia bagi memastikan penambahbaikan kualiti kecekapan dan keberkesanan fungsi serta tugas jabatan kepada pelanggan. Fasilitator yang bertanggungjawab mengendalikan kursus ini ialah En. Sahrul Nizam Bin Jaafar, Penolong Perunding Latihan, Unit Penyampaian Perkhidmatan, INTURA.
Sepanjang kursus ini beliau telah membentangkan tajuk kandungan penyediaan, dokumentasi, kaedah penyediaan, serta auditan MPK dan fail meja. Matlamat kursus ini tercapai dengan bertambahnya fungsi atau senarai tugas jabatan dalam MPK. Fail meja semua pegawai dan kakitangan kini dapat dikemaskini berdasarkan MPK jabatan yang terkini. Kursus ini berakhir dengan jayanya dan diharapkan dapat memberi motivasi dan semangat kepada semua pegawai dan kakitangan untuk terus memberi perkhidmatan yang cemerlang.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK
 |
IPOH, 17 APRIL 2017 – Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengadakan Majlis Anugerah Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak bagi tahun 2017 semalam. Majlis yang diadakan secara tahunan ini telah diadakan dengan jayanya di Dewan Al-Ghazali, Tingkat 2, Kompleks Islam Darul Ridzuan bermula pukul 8.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari.
Seramai 81 orang yang telah berjaya dalam peperiksaan bertulis dan temuduga lisan tahun lalu telah dijemput bagi menerima watikah tauliah pada majlis kali ini. Watikah tauliah telah ditandatangani dan disampaikan sendiri oleh Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Wan Mohd Zahid Bin Mohd Nordin. |
Turut hadir ke majlis ini ialah YABhg. S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak, YBhg. S.F. Dato’ Haji Mohd Yusop Bin Haji Husin, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan S.F. Tuan Haji Asad Bin Awang Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, serta Ketua-ketua Penolong Pengarah JAIPk. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran ahli keluarga bagi para penerima watikah.
Sebelum penyampaian watikah, S.S. Tan Sri Mufti Perak dan YDP MAIAMP telah memberikan tausiyah dan ucapan nasihat kepada semua tetamu terutamanya para penerima watikah. Majlis berakhir sekitar jam 11.00 pagi dengan sesi fotografi diadakan bagi para penerima watikah tauliah, diikuti jamuan makan tengah hari.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK
 |
IPOH, 4 APRIL 2017 – Perjumpaan bulanan anggota Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya diadakan buat kali keduanya pada tahun ini. Kehadiran S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak yang sebelum ini tidak dapat hadir pada perjumpaan yang lalu, memeriahkan lagi perjumpaan kali ini. Pada jam 9.00 pagi semua pegawai dan kakitangan termasuk pelajar-pelajar latihan industri berbaris menghadap Tan Sri Mufti dan menyanyikan lagu Negaraku dan nasyid Asma’ul-Husna. Seterusnya, Tan Sri Mufti dijemput untuk menyampaikan tausiyyah dan nasihat kepada semua warga jabatan. |
Antara amanat yang ditekankan beliau ialah perlunya kita sebagai umat Islam menangani dan menghadapi cabaran aqidah yang pelbagai. Terbaru isu berkaitan individu yang menimbulkan teori bahawa Tuhan wujud melalui getaran, dan isu beberapa orang ahli politik negara yang ingin meminda akta 164 – Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976, yang jika berjaya dipinda akan menyebabkan; jika berlaku penceraian;- anak daripada perkahwinan mereka tidak boleh didaftarkan sebagai agama Islam sekiranya tidak mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak, ia tertakluk kepada keinginan anak itu apabila dia telah mencapai umur lapan tahun.
Selesai tausiyyah, pengacara menjemput Penolong Pegawai Tadbir, Puan Norizah Binti Mohamad Nordin bagi menyampaikan taklimat berkaitan aktiviti dan program jabatan sepanjang bulan April. Antara aktiviti dan program penting yang akan diadakan pada bulan ini ialah Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak pada 15 April, Bengkel Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja pada 21-23 April, dan Peperiksaan Tauliah pada 29-30 April. Perjumpaan bulanan ini diakhiri dengan jamuan makan pada kira-kira jam 11.00 pagi.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK
 |
SEBERANG PERAK, 10 MAC 2017 – Program Karnival Mahabbah Institusi Agama sempena Pemukiman YAB Menteri Besar Perak di Daerah Perak Tengah telah diadakan dengan sangat meriah. Program yang yang berakhir pada tengah hari tadi merupakan program bulanan Kerajaan Negeri Perak di mana YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd. Kadir, Menteri Besar Perak dan agensi-agensi agama ‘turun padang’ untuk memberikan perkhidmatan masing-masing ke daerah-daerah di seluruh Negeri Perak. |
Terdapat pelbagai kaunter perkhidmatan dan khemah pameran di sekitar Masjid Al-Ansar, FELCRA Seberang Perak, lokasi program kali ini. Antara agensi yang terlibat menyediakan kaunter perkhidmatan dan pameran ialah Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak (JKSMPk), Bahagian Penyelidikan serta Bahagian Pendidikan dari Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Selain itu, Klinik Dr. Zambry turut dibuka untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang hadir.
Pada jam 11.00 pagi, diadakan Tausiyyah Ahlul Ilmi oleh YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Bin Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri diikuti dengan Taujihat oleh YAB Menteri Besar Perak. Program berhenti pada jam 1.00 tengahari untuk beri laluan kepada para hadirin menunaikan solat fardhu Jumaat yang diimami oleh YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Bin Dusuki. Program diakhiri dengan ‘Kenduri Rakyat’ iaitu jamuan makan kepada para hadirin selesai solat Jumaat.
Terdahulu pada petang Khamis turut diadakan perlawanan persahabatan futsal dan badminton antara institusi-institusi agama Negeri Perak dan penduduk sekitar bertujuan mengeratkan silaturrahim antara kakitangan agensi-agensi dan orang awam. Perlawanan tersebut diadakan dengan format pertandingan dan pasukan badminton Jabatan Mufti Negeri Perak telah muncul naib juara setelah tewas dengan penduduk setempat di final.
Program pemukiman YAB Menteri Besar Perak yang seterusnya telah dijadualkan di Daerah Manjung pada bulan April nanti.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK
 |
IPOH, 24 FEBRUARI 2017 – Buat julung-julung kalinya perjumpaan bulanan bagi semua anggota Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya diadakan. Ia bermula sekitar jam 10.00 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku dan nasyid Asma’ul-Husna. |
Perjumpaan ini diteruskan dengan tausiyyah dan nasihat yang disampaikan oleh S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak bagi mewakili S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak selaku ketua jabatan, yang tidak dapat hadir atas masalah kesihatan.
Selepas itu, S.S. Timbalan Mufti turut menyampaikan taklimat ringkas berkaitan aktiviti-aktiviti jabatan sepanjang bulan Februari dan Mac, diikuti dengan pemilihan jawatankuasa Kelab Sukan dan Kebajikan Jabatan Mufti Negeri Perak yang baru. Perjumpaan bulanan ini diakhiri dengan jamuan makan tengahari pada kira-kira jam 12.00 tengahari. Perjumpaan sebegini telah dijadualkan pada setiap bulan dan perjumpaan yang seterusnya akan diadakan pada 3 April 2017.
 |
Para kakitangan sedang tekun mendengar amanat dari Timbalan Mufti Perak. |
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK
 |
IPOH, 8 FEBRUARI 2017 – Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tahun ini telah berakhir dengan jayanya semalam. Muzakarah kali ini yang bertemakan; ‘Mengakar Kuat Umat Melayu, Menjulang Tinggi Islam’ telah berlangsung dari 5 - 7 Februari. DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan merasmikan muzakarah tersebut di Majlis Perasmian pada hari Isnin, 6 Februari 2017. |
Muzakarah yang diadakan di Amanjaya Convention Centre, Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya ini telah disertai oleh kira-kira 250 orang peserta dari pelbagai latar belakang kerjaya dan dari seluruh negara. Ia bermula pada malam Ahad dengan sesi pembentangan kertas kerja Pra Muzakarah yang disampaikan oleh Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Shamrahayu Binti Ab. Aziz, Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berlangsung pada hari kedua, dihadiri oleh kira-kira 1000 orang. Turut hadir DYTM Raja Muda Perak dan isteri, DYAM Raja DiHilir Perak dan isteri, YAB Menteri Besar Perak dan isteri, serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak. Majlis diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh AF ustaz Radzi Kamarul Hailan, diikuti dengan ucapan aluan SS Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria, dan titah perasmian oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Selesai titah perasmian, majlis bersambung dengan pembentangan kertas kerja utama oleh Y.Bhg. Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Bin Baharuddin dari Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Tajuk kertas kerja beliau ialah Adat, Adab dan Agama: Arus Perubahan Masyarakat Melayu.
Antara pembentang-pembentang kertas kerja sepanjang muzakarah ialah Y.Bhg. Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Ramlah Binti Adam dari Universiti Malaysia Perlis (UMP), Y.Bhg. Dato’ Wan Mohamad Bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Mantan Ketua Pengarah JAKIM, Y.Bhg. Dato’ Dr. A. Aziz Bin Deraman, Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan, dan Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Yusof Bin Othman dari UKM.
Pada hari ketiga diadakan bengkel muzakarah bagi membincangkan resolusi muzakarah. Bengkel dijalankan oleh Jawatankuasa Resolusi dari Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang diketuai oleh Dr. Mohd. Fuad Bin Mokhtar. Beliau juga telah membentangkan resolusi muzakarah di Majlis penutup muzakarah yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Bin Abd. Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.
 |
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli merasmikan Muzakarah. |
 |
Para peserta memberi tumpuan semasa pembentangan kertas kerja muzakarah. |
 |
YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Bin Abd. Kadir memberi ucapan semasa majlis penutup muzakarah. |
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK
 |
IPOH, 3 DISEMBER 2016 – Program Solidariti Rohingya & Kepedulian Ummah telah berjalan dengan lancar di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Raja Musa Mahadi semalam. Program anjuran bersama Jabatan Mufti Negeri Perak, Jabatan Agama Islam Perak, dan Jawatankuasa Masjid Sultan Azlan Shah ini bertujuan memberi kesedaran dan membuka mata seluruh umat Islam di negara ini khususnya di Negeri Perak tentang penderitaan yang dialami oleh saudara Islam etnik Rohingya di Myanmar.
|
Penceramah yang dijemput ialah Tuan Haji Mohd Azmi Bin Abdul Hamid, Pengerusi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Beliau merupakan seorang aktivis yang sangat berpengalaman dan telah banyak menyertai misi-misi kemanusiaan di seluruh dunia termasuk Palestin dan Myanmar. Dalam ceramahnya semalam, beliau telah menjelaskan asal usul etnik Rohingya dan Kesultanan Islam Arakan menurut sejarah, serta mendedahkan kezaliman yang berlaku terhadap mereka oleh kerajaan Myanmar.
Program ini dihadiri oleh kira-kira 300 orang termasuk dari etnik Rohingya yang telah berada di negara ini. Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Dato’ Haji Mohd Yusop Bin Haji Husin, Timbalan Mufti, Sahibus Samahah Tuan Haji Zamri Bin Hashim serta imam utama Masjid Sultan Azlan Shah, ustaz Syed Muzaffar Bin Syed Azlan selaku tuan rumah.
Selesai ceramah, tabung Solidariti Rohingya telah dilancarkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIPk), Dato’ Haji Mohd Yusop Bin Haji Husin dan kutipan telah dibuat oleh petugas-petugas. Setakat ini kutipan yang terkumpul ialah lebih kurang RM7000. |
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.
 |
KUALA KANGSAR, 23 NOVEMBER 2016 – Jabatan Mufti Negeri Perak telah menjayakan Program Wacana Tarekat Rohani dan Disiplin Ilmunya. Program yang diadakan di Pejabat Pentadbiran Agama Islam Kuala Kangsar, bermula pada jam 9.00 pagi itu adalah kesinambungan dari Program Training of trainers (TOT):Pengamalan Tarekat di Negeri Perak pada April yang lalu. Ia bertujuan member pendedahan kepada para peserta berkaitan tarekat yang murni serta salasilah kumpulan-kumpulan tarekat yang wujud di Malaysia.
|
Pembentang jemputan ialah Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Mohd. Syukri Yeoh Abdullah, Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau telah membentangkan 3 kertas kerja iaitu Disiplin Tarekat Rohani, Refleksi Sejarah Ilmu Tarekat Rohani Alam Melayu,dan Zawiyah Dalam Lipatan Sejarah Kenyataan Alam Melayu.Pembentangan dikendalikan oleh moderator dari pihak penganjur iaitu Ustaz Kamaruddin Bin Adam, Ketua Penolong Mufti dan Ustaz Ahmad Khairul Nizam Bin Ahmad Tarmizdi, Pegawai Hal Ehwal Islam.
Lebih 150 orang peserta yang hadir terdiri dari Guru-guru Pendidikan Islam (GPI) dari sekolah-sekolah di bawah pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar (PPD), pegawai-pegawai dari jabatan dan organisasi agama serta guru-guru tauliah. Program berakhir dengan majlis penutupan yang disempurnakan oleh Timbalan Mufti Negeri Perak, S.F. Tuan Haji Zamri Bin Hashim. Beliau berharap agar program seperti ini dapat diadakan lagi bersama pembentang tersebut. Menurut beliau, “Prof. Madya Dr. Mohd. Syukri Yeoh Abdullah merupakan seorang pakar dan ahli dalam bidang tarekat ini, justeru pelbagai input-input yang sukar didapati dapat ditadah serta pelbagai soalan kemusykilan yang ditimbulkan oleh peserta dapat diberi pencerahan yang baik oleh beliau”. |
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.