LENGGONG, 10 Januari - Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong telah menganjurkan Karnival Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong (STARULe) Peringkat Negeri Perak. Program ini melibatkan penyertaan seramai 320 pelajar dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Perak telah dijemput dalam salah satu pengisian slot yang dianjurkan. Program bermula pada pukul 10.30 pagi dan berakhir pada pukul 12.30 tengah hari. Ceramah bertajuk “Sembang Santai Ilmu Falak” telah disampaikan oleh Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Ketua Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak. Ceramah ini turut disertakan dengan sesi soal jawab bersama para pelajar daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 4. Selepas sesi ceramah, program diteruskan dengan aktiviti cerapan matahari yang melibatkan penglibatan Ustaz Mohd Tajuddin Bin Che Din, Penolong Unit Cerapan dan Kiblat, bersama-sama dua pelajar latihan industri iaitu Mohamad Rashidi Bin Mohamed Zubir dan Umar Abdul Aziz Bin Azhar. Peralatan yang digunakan adalah teleskop Coronado PST, Orion 100ED, dan teodolit Leica. Instrumen tambahan seperti Solarscope dan mizwalah juga digunakan sebagai bahan pameran untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif kepada para pelajar. Program ini bukan sahaja berjaya meningkatkan pemahaman pelajar mengenai ilmu falak, tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk mendalami pengetahuan secara praktikal melalui aktiviti cerapan. |
Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.