KUALA KANGSAR, 3 OGOS 2016 – Satu Bengkel Kewajipan Zakat Perniagaan Ke Atas Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Perak telah diadakan di bilik mesyuarat Masjid Ridzuwaniah, Kuala Kangsar. Bengkel yang bermula pada jam 9 pagi sehingga 4 petang itu adalah rentetan dari permintaan oleh Ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang memohon agar isu ini dibincangkan dan dibuat kajian terperinci oleh Jawatankuasa Kajian dan Penyelidikan sebelum dibincangkan semula di mesyuarat tersebut untuk mendapatkan keputusan sama ada perlu atau tidak mewajibkan zakat perniagaan ke atas syarikat atau entiti perniagaan yang berkaitan dengan kerajaan (GLC).
Bengkel bermula pada sebelah paginya dengan pembentangan berkaitan kategori-kategori syarikat atau entiti perniagaan oleh En. Ariff Bin Apandi, Pengurus Besar Bahagian Kewangan, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIPk). Setelah itu, bengkel diteruskan pada sebelah petang dengan sesi perbincangan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Kajian dan Penyelidikan. Turut hadir ke bengkel tersebut ialah Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak. Bengkel tersebut berakhir sekitar jam 4 petang selepas kajian selesai dan perbincangan berkaitan isu ini mendapat kata putus oleh ahli-ahli yang terlibat.
SEGARI, 5 JUN 2016 – Majlis Rukyah Hilal Ramadhan 1437H bersamaan 2016 masihi anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak telah diadakan dengan meriah. Program yang diadakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang ini merupakan program tahunan jabatan bagi memenuhi tuntutan agama yang menggariskan ukuran permulaan ibadah puasa Ramadhan dengan melihat anak bulan Ramadhan. |
Lebih kurang 500 orang tetamu telah menghadiri majlis kali ini. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah YAA Tuan Asa’ari Bin Hj. Mohd Yazid, Ketua Hakim Syarie dan Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, YDH Toh Seri Bijaya Lt. Kol.(B) Dato’ Shaharudin bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, YDH Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal Bin Hj. Ahmad, Orang Besar Jajahan Mu’allim, Slim River, YDH Toh Muda Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Encik Meor Roslan Bin Dato’ Seri Hj. Meor Ahmad Rashidi, Orang Besar Jajahan Hulu Perak, Gerik, selain SS Mufti Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Hj. Harussani Bin Hj. Zakaria selaku Pengerusi Jawatankuasa Rukyah Hilal Ramadhan 1437H. |
Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil yang dipimpin oleh SS Tuan Hj. Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak, diikuti dengan Ceramah Khas Ramadhan. Majlis kali ini memilih SF Ustaz As’ad Bin Awang sebagai penceramah jemputan. Beliau yang merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kini masih berkhidmat sebagai Pensyarah di Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh. Selesai ceramah, agenda yang seterusnya ialah Taklimat Kedudukan Anak Bulan Ramadhan yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak iaitu AF Ustaz Mohd. Faizal Bin Jani, sebelum acara melihat anak bulan di tapak rukyah yang disediakan pada jam 7.00 petang. |
Setelah Tan Sri Mufti Perak melakukan rukyah, makluman kenampakan anak bulan dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sekitar jam 7.45 malam melalui telefon bergerak yang telah disediakan oleh Telekom Malaysia (TM). Pada tahun ini anak bulan Ramadhan tidak kelihatan di sini. Kemudian Tan Sri Mufti mengumumkan bahawa anak bulan tidak kelihatan melalui pembesar suara yang disediakan. Solat fardhu Maghrib secara berjemaah dilaksanakan bersama-sama dengan para tetamu, diikuti dengan jamuan makan malam. |
Solat sunat Tarawikh juga dilaksanakan selesai solat Isyak apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan di televisyen bahawa puasa bermula pada esok hari. Solat Tarawikh telah diadakan sebanyak 20 rakaat sebagai menurut titah DYMM Tuanku Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang telah menyarankan agar semua masjid dan surau di negeri Perak melaksanakan ibadah Tarawikh 20 rakaat. Imam dan bilal telah dipilih dan disediakan oleh Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Manjung. |
Program berakhir dengan minum malam yang telah disediakan oleh penganjur selepas solat sunat Tarawikh. Tan Sri Mufti Perak sangat berpuas hati dengan kehadiran para tetamu dan kelancaran majlis ini dan berharap agar prestasi ini dapat dikekalkan malah ditambahbaik pada masa akan datang. |
 |
 |
 |
 |
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.
 |
IPOH, 11 MEI 2016 – Buat pertama kalinya pada tahun ini telah diadakan ‘Perjumpaan Tan Sri Mufti Bersama Pegawai Dan Kakitangan Di Jabatan Mufti Negeri Perak. Perjumpaan yang diadakan di Bilik Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tingkat 5, Kompleks Islam Darul Ridzuan, bermula jam 9.00 pagi itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama seluruh anggota kakitangan jabatan, selain untuk berkongsi pandangan dan pendapat serta berbincang permasalahan dan penyelesaiannya berkaitan hal ehwal para pekerja dan peranan masing-masing demi kebaikan dan kepentingan jabatan. |
Selepas menikmati jamuan sarapan yang disediakan, program dimulakan dengan mendengar ucapan aluan dan amanat daripada mufti Perak yang juga selaku ketua jabatan iaitu SS Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Hj. Harussani Bin Hj. Zakaria. Banyak pengalaman yang telah dikongsikan oleh beliau kepada pegawai serta kakitangan jabatan khususnya berkaitan perkembangan kerjaya beliau dari awal remaja sehingga menjawat jawatan sebagai mufti kini.
Program diteruskan dengan sesi interaksi bersama Tan Sri Mufti, Pegawai Kanan dan semua kakitangan jabatan. Pelbagai soalan dan pertanyaan telah diajukan kepada Tan Sri Mufti khususnya dan mendapat respon yang baik oleh beliau. Salah seorang pegawai, Fatimah Binti Ayob telah memberi nasihat dan peringatan agar semua anggota jabatan dapat bermuhasabah dan berubah kepada yang lebih baik sekaligus dapat mencerminkan imej yang baik selaras dengan nama baik jabatan.
Selesai sesi interaksi, para pegawai dan kakitangan telah menandatangani Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi tahun 2016 di hadapan Tan Sri Mufti. Kesemua dokumen yang telah ditandatangani oleh pegawai dan kakitangan kemudiannya dibawa ke Tan Sri Mufti untuk ditandatangani oleh beliau.
Sesi perjumpaan ini berakhir dengan penyampaian cenderamata kepada kakitangan yang akan bertukar pada 16 Mei ini, iaitu En. Azizan Bin Mokhtar. Beliau akan bertukar ke Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Agama Islam Perak. Seterusnya penyampaian cenderamata kepada pegawai dan kakitangan yang menyambut hari lahir pada bulan April, Mei dan Jun iaitu Pn. Pahiyah Binti Idarmawi, En. Zainuddin Bin Muhammad, En. Azwawi Bin Abdul Aziz dan Tan Sri Mufti sendiri. Turut diraikan ialah kakitangan yang baru menerima cahaya mata iaitu pasangan En. Azwawi Bin Abdul Aziz dan Pn. Nurul Asma Binti Ramly.
Perjumpaan ini berjalan dengan lancar dan sangat meriah. Ia disudahi dengan jamuan makan tengahari yang telah disediakan oleh pihak pentadbiran jabatan. |
 |
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.
 |
IPOH, 24 APRIL 2016 – Peperiksaan Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak bagi tahun 2016 telah berakhir dengan jayanya pada hari ini. Peperiksaan yang merupakan program tahunan Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak telah berlangsung pada tahun ini selama 2 hari bermula hari Sabtu sehingga Ahad (23-24 April 2016). Peperiksaan kali ini diadakan di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan, melibatkan sebanyak 7 subjek iaitu Hadith, Feqah, Tauhid, Tasawuf, Sirah, Tafsir, dan juga Aliran Pemikiran Semasa yang merupakan subjek baru yang diperkenalkan pada tahun 2014. Seramai 144 orang calon baru yang memohon telah dipanggil untuk menduduki peperiksaan bertulis ini manakala 122 orang lagi merupakan calon yang mengulang dari pelbagai subjek. |
Menurut Ketua Pengawas Peperiksaan, A.F. Ustaz Ahmad Khairul Nizam Bin Ahmad Tarmizdi, beliau berpuas hati dengan perjalanan peperiksaan pada kali ini, katanya; “Alhamdulillah, peperiksaan pada tahun ini berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang kontroversi peniruan dan kelewatan berlaku”. Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kesemua 9 orang pengawas lain yang turut membantu, tambah beliau; “tanpa kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada para pengawas peperiksaan tidak mungkin peperiksaan ini dapat berjalan dengan baik”.
Sebanyak 4 subjek diadakan peperiksaan pada hari Sabtu bermula pada jam 9.00 pagi sehingga jam 5.30 petang, manakala 3 lagi subjek bersambung pada esoknya bermula pada waktu yang sama dan berakhir pada jam 3.30 petang. Peperiksaan pada kali ini menyaksikan sebanyak 80 peratus calon yang baru telah hadir menduduki kesemua subjek peperiksaan. |
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.
 |
SEGARI, 8 APRIL 2016 – Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak, telah menerima kunjungan pelajar Sek. Men. Islam Tahfiz Al-Amin, Chenderong Balai, Teluk Intan dan Sekolah Maahad Al-Yahyawiyah, Padang Rengas, Kuala Kangsar untuk bersama-sama melaksanakan sesi cerapan hilal Rejab 1437H di Baitulhilal, Pantai Pasir Panjang, Segari. |
Program bermula dengan sesi taklimat berkenaan Penentuan Awal Bulan Hijri yang telah disampaikan oleh A.F Ustaz Mohamad Faizal iaitu Pegawai di Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak. Sesi taklimat ini telah memberi ruang dan peluang kepada para pelajar dan guru pengiring mengetahui dengan lebih terperinci tentang kaedah atau prosedur dalam menentukan awal bulan hijri. Sesi soal-jawab juga telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Malah, para pelajar juga diberi peluang untuk menggunakan peralatan khas semasa sesi melihat anak bulan berlangsung.
"Kami telah membawa beberapa peralatan seperti Teleskop Orion, Kamera, NEX-3N, Teleskop Celestron C90, Teodolite Topcon dan Total station Topcon. Selain itu, kita telah mendapat kerjasama seorang pegawai dari Institut Tanah Dan Ukur Negara (INSTUN) iaitu En. Mahruzzaman b Misran yang turut membawa beberapa peralatan untuk sesi cerapan hilal pada kali ini," ujar Ustazah Fatimah bt Ayoub dari Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.
Sesi cerapan bermula pada jam 7.00 petang dengan cuaca yang agak cerah dan sedikit berawan. Namun, pada saat matahari mula terbenam, awan tebal telah melindungi matahari dari pandangan. Sungguhpun begitu, para pelajar dan guru begitu teruja kerana berpeluang menggunakan peralatan-peralatan yang telah disediakan. Semua yang hadir telah berpeluang melihat anak bulan Rejab yang mula kelihatan pada jam 7.42 malam pada ketinggian bulan 8° 28’ 13’’ dan azimuth 278° 47’ 26’’ dengan menggunakan Teleskop Orion 120mm dan Teleskop Celestron C90.
Selepas solat maghrib, program diteruskan dengan sesi cerapan langit dengan menggunakan teleskop. Para pelajar dan guru sekali lagi berpeluang melihat keindahan alam ciptaan Allah ketika planet Musytari (Jupiter) kelihatan di langit sebelah Timur. "Kami amat teruja dan amat berharap agar aktiviti yang sebegini akan selalu diadakan bagi mempromosikan ilmu falak di kalangan masyarakat," kata salah seorang guru pengiring.
Aktiviti yang telah dihadiri dengan lebih kurang 50 orang pelajar dan guru pengiring ini berakhir pada jam 10.00 malam dan mereka amat berpuas hati dengan sesi cerapan hilal ini.
LAPORAN DATA HILAL REJAB 1437H
LOKASI
|
DATA
|
MAKLUMAT CERAPAN
|
PERALATAN
|
Baitul Hilal,
Pantai Pasir Panjang.
|
Tarikh : 8 April 2016M
30 Jamadil Akhir 1437H
|
Mula Kelihatan : 7:42 pm
Altitud : 8 :28:13
Azimut : 278:47:26
Umur : 23 j 42m
|
1. Teleskop Orion, 120 mm (4.7 inci),
Eyepiece : 25 mm,
Tripod : Mini ioptron.
(Hilal kelihatan)
2. Kamera, NEX-3N + Celestron C90
90 mm.
(Hilal Kelihatan)
3. Teodolite Topcon & Total station Topcon ( Hilal tidak kelihatan)
|
Umur Bulan : 24 j 59 m
Altitud : 12:54:17
J/Lengkung : 13:25:48
Ijtimak : 7 April 2016
(19:24)
|
Laut : Air Pasang
Angin : Utara ke Selatan
|
Koordinat :
100:34:55 T
04:21:43 U
|
Data : 7:42 pm
Altitud : 8 :53:44
Azimut : 278:47:45
Jarak Bulan – Bumi : 357703.86 km
|
Beza Data & Cerapan:
Alttitud : 0:25:31
Azimut : 0:0:21
|
|
 |
Sesi Cerapan Hilal Bersama Pegawai dan Pelajar |
 |
Hilal Rejab 1437H Yang Dirakam Pada Jam 7.54 malam |
 |
Sebahagian pelajar lelaki dan guru pengiring yang menghadiri program cerapan ini. |
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.
 |
KUALA KANGSAR, 5 APRIL 2016 – Jabatan Mufti Negeri Perak, dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), dan Pejabat Agama Daerah Kuala Kangsar telah menganjurkan satu program Bengkel Training of Trainers (TOT): Pengamalan Tarekat Di Negeri Perak Darul Ridzuan. |
Bengkel tersebut bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kefahaman yang mendalam tentang amalan tarekat yang benar serta memperjelaskan isu-isu berkaitan dengannya yang sering menjadi kontroversi di kalangan kelompok masyarakat. Ia diadakan selama dua hari pada 4-5 April 2016 iaitu pada hari Isnin dan Selasa, bertempat di Pejabat Agama Daerah Kuala Kangsar.
Bengkel ini dihadiri oleh kira-kira 50 orang peserta yang terdiri dari guru-guru tauliah, pegawai-pegawai mahkamah, dan pegawai-pegawai dari institusi agama negeri dan daerah. Antara pembentang-pembentang yang dijemput ialah Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Mohd Syukri Yeoh Abdullah, Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), S.F. Dr. Haji Ahmad Husni bin Haji Hasan, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Kesemua sesi pembentangan diadakan pada hari Isnin.
Pada hari kedua, diadakan sesi perbincangan Isu-isu Tasauf bersama dengan A.F. Dr. Mohd. Faizal Bin Abdul Khair dan A.F. Dr. Mohd Fuad Bin Mokhtar dari Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS), Kuala Kangsar. Bengkel ini diakhiri dengan sesi dialog bersama Mufti Negeri Perak, S.S. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani bin Haji Zakaria, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Y.Bhg. Dato’ Haji Mohd Yusop Bin Husin, dan Ketua Hakim Syarie, Y.A.A. Tuan As’ari Bin Haji Mohd Yazid.
Bengkel ini berakhir pada jam 1.00 petang hari Selasa dan berjalan dengan lancar dan jayanya. |
 |
Para peserta fokus mendengar pembentangan yang disampaikan |
 |
Pembentangan oleh S.F. Dr. Haji Ahmad Husni bin Haji Hasan bertajuk Analisis Tarekat-tarekat Terpilih Di Negeri Perak |
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.
 |
KUALA KANGSAR, 31 MAC 2016 – Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar menjadi venue bagi Program Executive Talk Jabatan Mufti Negeri Perak kali pertama tahun ini. Program Executive Talk ini merupakan program anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak yang diadakan setiap tahun di lokasi-lokasi yang berbeza dalam Negeri Perak.
|
Pada edisi kali ini, penganjur telah menjemput A.F. Ustaz Syed Mohd Bakri Bin Syed Ishak dari Program Pencetus Ummah (P.U.) 2015 bagi menyampaikan ceramah 1 yang bertajuk; ‘Bangkitlah Wahai Dai’, Masyarakat Memerlukan Anda’. Selesai ceramah 1, program diikuti dengan ceramah 2 oleh S.S. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria, mufti negeri Perak. Pada kali ini beliau menyampaikan ceramah bertajuk; ‘Hala Tuju Dakwah Masa Kini, Di Manakah Anda?’.
Bercakap mengenai dakwah masa kini, Mufti Negeri Perak, S.S. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria menegaskan; “apa yang penting ialah perpaduan antara umat Islam di negara kita tidak kira sama ada berbeza politik atau pandangan”.
Kira-kira 500 orang peserta yang dijemput telah hadir bagi menjayakan program ini. Antara peserta yang hadir ialah seramai 300 orang Guru Pendidikan Islam (GPI), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar selain guru-guru KAFA, guru-guru tauliah, penghulu-penghulu daerah dan mukim, serta imam-imam masjid sekitar daerah Kuala Kangsar. Turut hadir Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Tuan Haji Mior Muhammad Jamil Bin Mior Zakaria dan Pegawai Tadbir Agama Kuala Kangsar, A.F. Ustaz Tuan Haji Burhanuddin Bin Md Dali.
Setelah selesai kedua-dua ceramah, sesi soal jawab berlangsung. Beberapa soalan telah dikemukakan oleh para peserta dan dijawab oleh S.S. Mufti Negeri Perak dan Timbalan Mufti Negeri Perak, Tuan Haji Zamri Bin Hashim. Program berakhir dengan jamuan makan pada jam 1.00 tengah hari.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.