Majlis Rukyah Hilal Syawal 1438H

SEGARI, 26 JUN 2017 – Program Majlis Rukyah Hilal Syawal 1438H bersamaan 2017M telah berjaya diadakan pada hari Sabtu yang lalu. Program ini merupakan program tahunan Jabatan Mufti Negeri Perak bertujuan membuat penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri, iaitu pada 1 Syawal setiap tahun Hijri. Ia diadakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu, Segari bermula jam 5.30 petang.

Program ini buat julung-julung kalinya telah dihadiri oleh YB. Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Antara tetamu kehormat yang turut hadir ialah Y.A.A. Dato’ Haji Asa’ari Bin Haji Mohd Yazid, Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Y.D.H. Toh Seri Bijaya Lt. Kol (B) Dato’ Shaharudin Bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, Orang-orang Besar Jajahan Negeri Perak serta Ketua-ketua Jabatan sekitar daerah Manjung.

Program bermula dengan Majlis Bacaan Tahlil selepas solat Asar, diikuti dengan Taklimat Kedudukan Hilal Syawal yang disampaikan oleh S.F. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak. Selepas itu program diteruskan dengan aktiviti rukyah hilal iaitu melihat anak bulan dengan menggunakan peralatan yang disediakan. Ia bermula sekitar jam 6.45 petang. Tetamu-tetamu kehormat serta hampir 300 orang awam yang hadir berpeluang menggunakan peralatan-peralatan tersebut.

Pada jam 7.48 malam, S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak mengumumkan bahawa anak bulan atau hilal Syawal telah tidak kelihatan di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu. Ianya berpunca dari faktor awan yang tebal. Program diakhiri dengan jamuan makan malam selepas solat Maghrib.

Laporan Rukyah Hilal Syawal Bagi Tahun 1438H / 2017M
Tarikh : 29 Ramadan 1438H / 24 Jun 2017M (SABTU)
Masa : 5.30 Petang
Tempat : Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Segari.
Kehadiran Jemputan: Hampir 300 orang hadir.
YB. Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Ketua Hakim Syariah Negeri Perak Orang-Orang Besar Jajahan, Ketua-Ketua Jabatan Daerah Manjung serta wakil Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Rukyah Hilal Syawal Pegawai-Pegawai Agama dan orang awam. Majlis bermula 5.30 ptg hingga 8.30 mlm.

5.30 ptg : Ketibaan para tetamu
5.45 ptg : Ketibaan Dif-dif jemputan
             : Tahlil
             : Taklimat Kedudukan Hilal Syawal Oleh:
               Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.
6.45 ptg : Aktiviti Rukyah Dimulakan
             : Pengumuman Kenampakan Hilal Oleh:
               S.S. Tuan Hj. Zamri b. Hashim. Timbalan Mufti Negeri Perak
             : Solat Maghrib
             : Makan Malam
             : Majlis Bersurai Pada jam 6.45 petang, sesi cerapan Hilal Syawal dimulakan.

Pengumuman kenampakan hilal di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu telah diumumkan oleh S.S Tuan Hj. Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak setelah hilal terbenam pada jam 7.48 mlm.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Perhimpunan Bulanan Jabatan Mufti Bil.5/2017

perhimpunan bulanan

IPOH, 22 JUN 2017 – Perhimpunan bulanan Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya diadakan buat kali ke-5 pada tahun ini. Ianya melibatkan semua pegawai dan kakitangan jabatan seramai 29 orang termasuk ketua jabatan iaitu S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria. Turut terlibat ialah seorang pelajar latihan industri dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).

 

Perhimpunan kali ini diadakan di Bilik Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP) kerana faktor bulan puasa. Seperti biasa perhimpuanan bermula dengan nyanyian lagu Negaraku dan alunan nasyid Asma’ Al-Husna. Bagi memberkati majlis, A.F. Ustaz Ahmad Khairul Nizam telah dijemput bagi memimpin bacaan doa. Ia diikuti dengan Tausiyyah yang disampaikan oleh S.S. Tan Sri Mufti.

Sempena dengan bulan Ramadan, S.S. Tan Sri Mufti memilih untuk berbicara berkaitan dengan nikmat-nikmat yang Allah telah kurniakan kepada hamba-hambaNya dan menasihatkan semua agar bermuhasabah dengan kekurangan dan kelemahan diri dalam menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat-nikamtNya.

Perhimpunan kali ini merupakan yang terakhir buat Penolong Pegawai Tadbir, Pn. Norizah Binti Mohamad Nordin yang akan bertukar disebabkan kenaikan pangkat. Beliau telah dijemput memberikan ucapan perpisahan dan menerima cenderamata kenangan dari jabatan. Sebelum bersurai, turut diadakan sesi perkenalan dengan pelajar latihan industri serta penyerahan sumbangan Aidilfitri oleh Kelab Kebajikan dan Sukan jabatan kepada semua pegawai dan kakitangan.

perhimpunan bulanan perhimpunan bulanan

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Majlis Rukyah Hilal Ramadhan 1437H

SEGARI, 5 JUN 2016 – Majlis Rukyah Hilal Ramadhan 1437H bersamaan 2016 masihi anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak telah diadakan dengan meriah. Program yang diadakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang ini merupakan program tahunan jabatan bagi memenuhi tuntutan agama yang menggariskan ukuran permulaan ibadah puasa Ramadhan dengan melihat anak bulan Ramadhan.

Lebih kurang 500 orang tetamu telah menghadiri majlis kali ini. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah YAA Tuan Asa’ari Bin Hj. Mohd Yazid, Ketua Hakim Syarie dan Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, YDH Toh Seri Bijaya Lt. Kol.(B) Dato’ Shaharudin bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, YDH Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal Bin Hj. Ahmad, Orang Besar Jajahan Mu’allim, Slim River, YDH Toh Muda Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Encik Meor Roslan Bin Dato’ Seri Hj. Meor Ahmad Rashidi, Orang Besar Jajahan Hulu Perak, Gerik, selain SS Mufti Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Hj. Harussani Bin Hj. Zakaria selaku Pengerusi Jawatankuasa Rukyah Hilal Ramadhan 1437H.

Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil yang dipimpin oleh SS Tuan Hj. Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak, diikuti dengan Ceramah Khas Ramadhan. Majlis kali ini memilih SF Ustaz As’ad Bin Awang sebagai penceramah jemputan. Beliau yang merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kini masih berkhidmat sebagai Pensyarah di Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh. Selesai ceramah, agenda yang seterusnya ialah Taklimat Kedudukan Anak Bulan Ramadhan yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak iaitu AF Ustaz Mohd. Faizal Bin Jani, sebelum acara melihat anak bulan di tapak rukyah yang disediakan pada jam 7.00 petang.

Setelah Tan Sri Mufti Perak melakukan rukyah, makluman kenampakan anak bulan dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sekitar jam 7.45 malam melalui telefon bergerak yang telah disediakan oleh Telekom Malaysia (TM). Pada tahun ini anak bulan Ramadhan tidak kelihatan di sini. Kemudian Tan Sri Mufti mengumumkan bahawa anak bulan tidak kelihatan melalui pembesar suara yang disediakan. Solat fardhu Maghrib secara berjemaah dilaksanakan bersama-sama dengan para tetamu, diikuti dengan jamuan makan malam.

Solat sunat Tarawikh juga dilaksanakan selesai solat Isyak apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan di televisyen bahawa puasa bermula pada esok hari. Solat Tarawikh telah diadakan sebanyak 20 rakaat sebagai menurut titah DYMM Tuanku Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang telah menyarankan agar semua masjid dan surau di negeri Perak melaksanakan ibadah Tarawikh 20 rakaat. Imam dan bilal telah dipilih dan disediakan oleh Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Manjung.

Program berakhir dengan minum malam yang telah disediakan oleh penganjur selepas solat sunat Tarawikh. Tan Sri Mufti Perak sangat berpuas hati dengan kehadiran para tetamu dan kelancaran majlis ini dan berharap agar prestasi ini dapat dikekalkan malah ditambahbaik pada masa akan datang.

rukyah

rukyah

rukyah

rukyah
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.
  • 1
  • 2