• Utama
  • Arkib Berita Tahunan

Program ICT: Latihan Pengguna Mygovuc 2.0 Jabatan Mufti Negeri Perak

1 IPOH, 13 SEPTEMBER 2023 - Jabatan Mufti Negeri Perak telah menganjurkan program Latihan Pengguna MyGovUC 2.0 di Digital Hub Perak, Meru Raya Ipoh, Perak. Program Latihan Pengguna MyGovUC 2.0 yang diadakan bertujuan untuk memberikan latihan kepada pengguna dalam menggunakan sistem MyGovUC 2.0. Latihan ini diadakan untuk memastikan pengguna dapat menguasai sistem dengan baik dan memaksimalkan kegunaannya. Penceramah jemputan pada program ini adalah Mohd Fadhilizwandie Bin Sulong, yang merupakan pengurus projek MyGovUC Change Management di PERNEC Integrated Network SDB BHD (MyGovUCProject).

MyGovUC 2.0 adalah perkhidmatan yang disediakan oleh MAMPU. Perkhidmatan ini terbuka kepada semua agensi kerajaan di Malaysia. MyGovUC 2.0 adalah Perkhidmatan Komunikasi dan Kolaboratif Bersepadu yang diuruskan secara berpusat di MAMPU. Perkhidmatan ini menggabungkan saluran-saluran komunikasi seperti e-mel, persidangan video/audio, chat dan Sistem Pengurusan Profil Pengguna (UPMS). Kelebihan menggunakan perkhidmatan ini termasuklah:

1)Kemudahan akses: MyGovUC 2.0 boleh diakses melalui pelbagai peranti seperti desktop, laptop, dan telefon bimbit
2)Pelbagai saluran komunikasi: MyGovUC 2.0 menyediakan pelbagai saluran komunikasi seperti e-mel, persidangan dalam talian, perbualan secara berkumpulan, penghantaran fail bersaiz besar dan lain-lain lagi
3)Keselamatan: MyGovUC 2.0 dilaksanakan secara managed services oleh pembekal perkhidmatan dan berada dalam rangkaian kerajaan yang selamat
4)Penjimatan kos: MyGovUC 2.0 dilaksanakan sebagai langkah penjimatan kos bagi memastikan perkhidmatan komunikasi dan kolaboratif kerajaan diuruskan secara berpusat untuk kegunaan semua agensi di sektor awam.
Program ini berakhir pada jam 5 petang.

1 2 3

Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Program Lawatan Kerja Jabatan Mufti Negeri Perak ke Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

1 NEGERI SEMBILAN, 2 SEPTEMBER 2022 - Program Lawatan Kerja Jabatan Mufti Negeri Perak ke Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi membincangkan Enakmen Tariqat & Pelaksanaannya oleh Ketua Bahagian Tariqat Tasauwuf, AL Fadhil Ustaz Syaiful Nizam Bin Mohd Jan.

AL Fadhil Ustaz Syaiful Nizam menerangkan fungsi Bahagian Tariqat tasauwuf dalam menguruskan pendaftaran dan perakuan tariqat-tariqat di seluruh kawasan Negeri Sembilan. Bahagian Tariqat Tasauwuf JMKN NS juga menubuhkan anggota jilsah al turuq as sufiyyah yang terdiri daripada 5 orang pengkaji dan pengamal dalam membantu gerak kerja bahagian Tariqat & Tasauwuf JMKN NS. Perbincangan turut berkisar mengenai isu pemberhentian operasi beberapa tariqat yang menyeleweng daripada fahaman Islam sebenar mengikut garis panduan yang disediakan oleh pihak JMKN NS. Program berakhir pada jam 12:00 tengahari.

1 2 3

Sumber: Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Berita/Aktiviti : Kursus Amali Kiblat

1 BEHRANG, 5 September - Satu Kursus Amali Kiblat: Teori dan Praktikal anjuran bersama Institut Tanah Dan Ukur Negara (INSTUN), Behrang dan Jabatan Mufti Negeri Perak telah berakhir dengan jayanya semalam. Ia diadakan pada 2 hingga 4 September 2020 bermula Rabu hingga Jumaat. Kursus tersebut melibatkan seramai 25 orang peserta yang majoritinya terdiri daripada ahli Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak (PPIFIP) dan persendirian. Kursus 3 hari 2 malam ini melibatkan 3 orang penceramah utama terdiri dari pegawai INSTUN dan juga pegawai Jabatan Mufti Negeri Perak iaitu En. Mahruzaman Bin Misran, En. Fazili Anuar Bin Md Yusuf dan pegawai falak Jabatan Mufti S.F. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani.

"Pada hari pertama sesi teori dimulakan dengan tajuk Ilmu Falak Dan Perkembangannya yang disampaikan oleh En. Mahruzaman dengan peserta didedahkan dengan pengenalan ilmu falak secara umum. Sesi seterusnya adalah berkaitan dengan Teori Arah Kiblat : Perbandingan Kaedah Konvensional dan Moden Dalam Penentuan Arah Kiblat. Pada sesi ini para peserta didedahkan pula dengan ilmu dan kaedah penentuan arah kiblat tradisional dan moden.

Pada hari terakhir para peserta dikehendaki menyelesaikan tugasan latihan arah kiblat secara individu sebagai ujian kendiri tanda kefahaman berkaitan dengan ilmu pengukuran arah kiblat. Kursus ini telah berakhir dengan majlis penutup yang telah dirasmikan oleh pengarah INSTUN YBhg. Puan Norehan Binti Omar.

2 1 1

Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Keratan Akhbar : Keadaan Mufti Perak makin pulih

1 IPOH, 3 September - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pakar KPJ Ipoh, kini semakin pulih dan sudah dipindahkan ke wad biasa. Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan negeri, Mohd Akmal Kamarudin, perkembangan terkini itu dimaklumkan Jabatan Mufti Negeri Perak. Katanya, Harussani kini sedang dipantau rapi oleh Pakar Perubatan dan Neurologi hospital pakar berkenaan, Datuk Dr Zakaria Abdul Kadir.

"Keadaannya semakin bertambah baik dan beliau sudah boleh tindak balas serta faham apa yang kita cakap, tetapi masih belum mampu berinteraksi balik dengan kita. "Sebelah bahagian badannya sudah boleh digerakkan, beliau dipindahkan ke wad biasa beberapa hari lalu," katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Pematuhan Halal Negeri Perak 2020, di Dewan Saidina Omar Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), di sini hari ini.

Mohd Akmal berkata, lawatan atau ziarah sudah dibenarkan namun perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak hospital. "Jangkaan bila Mufti boleh daftar keluar dari hospital masih belum diketahui, sudah boleh melawat (Mufti) tetapi kena patuh SOP dan kalau boleh bagi peluang kepada Mufti untuk rehat secukupnya," katanya. Sebelum ini NSTP melaporkan, Harussani dimasukkan ke wad sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak, selepas mengalami serangan angin ahmar 23 Ogos lalu. Keadaan Harussani sebelum ini lemah pada bahagian badan sebelah kanan dan mengalami kesukaran untuk bercakap.

Sumber: Keratan Akhbar Berita Harian Online| Khamis, 3 September 2020 | 2:53pm

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/727525/keadaan-mufti-perak-makin-pulih

Program Latihan Team Building

tb TASIK BANDING, 7-8 September 2019 - Program Latihan Team Building berlangsung selama dua hari pada 7-8 September 2019 dengan jayanya. Program ini merupakan program tahunan dan buat pertama kali di Jabatan Mufti Negeri Perak bertujuan mengeratkan silaturrahim antara kakitangan dan pegawai jabatan. Ia diadakan di Royal Belum, Tasik Banding.

Program ini dikendalikan oleh dua orang fasilitator dari Aro Communications iaitu Puan Haryanni binti Harun dan Abdul Razak bin Osman. Program bermula dengan bacaan doa pada pukul 12.30 tengahari oleh Ustaz Ahmad Khairul Nizam bin Ahmad Tarmizdi. Ia diikuti dengan ucapan aluan dari SS Tuan Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak dan sesi pengenalan dengan fasilitator sebelum program diteruskan dengan jamuan makan tengahri. Program diteruskan lagi dengan aktiviti berkumpulan yang diaturkan oleh fasilitator tersebut. Selepas solat Asar, aktiviti diteruskan dengan lawatan ke Kampung Orang Asli pada jam 5.00 petang. Kira-kira 25 orang pegawai dan kakitangan menaiki bot yang disediakan untuk ke Kampung Orang Asli yang mengambil masa dalam 20minit dari Rumah Bot. Ini memberi peluang kepada kakitangan jabatan untuk mengenali cara kehidupan orang asli di sekitar tasik tersebut. Pada sebelah malam, diadakan solat jemaah Maghrib dan Kuliah Maghrib oleh SS Tuan Haji Zamri bin Hashim.

Pada keesokan hari, solat subuh berjemaah dan diikuti kuliah subuh oleh Ustaz Norhafizi b. Ahmad Rais, Penolong Pegawai Fatwa Jabatan Mufti Negeri Perak. Selepas itu, diteruskan dengan aktiviti berkumpulan di atas Rumah Bot sambil menuju ke kawasan untuk Jungle Tracking. Pada pukul 10.30, tiba di Taman Negeri Royal Belum untuk Jungle Tracking. Aktiviti tersebut mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sampai ke destinasi yang dituju. Kakitangan dan pegawai bersantai di tepi sungai sebelum bergerak balik ke Rumah Bot. Ini memberi peluang untuk menikmati kehijauan Royal Belum yang indah. Pada pukul 3.00 petang, aktiviti penutup diadakan di atas Rumah Bot sambil bergerak balik ke jeti bertolak balik ke Ipoh.

1 2 3

Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Inspektorat Khas Keselamatan Perlindungan

cgso IPOH, 10 - 11 SEPTEMBER - Inspektorat Khas Keselamatan Perlindungan berlangsung selama dua hari di Jabatan Mufti Negeri Perak. Program inspektorat keselamatan ini merupakan inspektorat pertama di Jabatan Mufti Negeri Perak

Program inspektorat ini telah dihadiri oleh seramai 4 orang Pegawai dan para pegawai yang terdiri daripada Tuan Haji Norazmi Bin Haji Abdullah, Pengarah Keselamatan Kerajaan Negeri Perak, Encik Mohd Nasran bin Mohd Noh, Encik Mohd Syakirin bin Ismail dan Puan Amira binti Aziz Seliman.

Program ni telah berlangsung selama dua hari bagi memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Inspektorat Khas Keselamatan Perlindungan ini berlangsung pada jam 8.45 pagi dan berakhir pada jam 5.30 petang. Selain daripada semakan dan perbincangan lawatan on site di bahagian unit yang berkaitan telah dilakukan supaya ianya mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

1 2 3

Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Anugerah Tokoh Ar-Ridzuan Sempena Sambutan Maal Hijrah 1439

LUMUT, 23 SEPTEMBER 2017- Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan, S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria telah menerima anugerah Tokoh Ar-Ridzuan sempena dengan Sambutan Maal Hijrah 1439H/2017M peringkat negeri Perak di Dewan Shariff, Pangkalan TLDM Lumut, semalam.

Pemilihan Tan Sri Harussani, 78, sebagai penerima anugerah ini adalah berdasarkan kepada sumbangan besar beliau kepada pembangunan Islam di negeri Perak.

Tan Sri menganggap anugerah ini sebagai satu ujian Allah untuk melihat sejauh mana keimanannya sebagai muslim sejati, sama ada akan menjadi bongkak atau sebaliknya.

Beliau menegaskan akan terus berpegang kepada prinsip berkata benar biarpun pahit.

 “Saya berpegang kepada prinsip berkata benar walaupun pahit dan perkara ini saya gunakan untuk menegur pemimpin bagi memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.

 “Katakan yang benar sekalipun pahit kerana yang benar tuhan akan tolong. Beri idea sejujurnya supaya negara ini dapat dibangunkan sebagai negara Islam yang unggul," katanya.

 Tan Sri telah menerima wang tunai RM10,000, pakej umrah, medal, sijil, plak dan hadiah iringan.

Turut menerima anugerah ialah bekas Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Abdul Aziz Mohd Yusuf. Beliau telah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah atas sumbangan dan jasa beliau dalam perundangan Islam di Negeri Perak.

Semua anugerah di Sambutan Maal Hijrah 1439H/2017M ini telah disampaikan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

 

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Taklimat Arkib Negeri Perak

IPOH, 6 SEPTEMBER 2017 – Satu Taklimat Arkib Negeri Perak bagi Pemusnahan Rekod Kewangan dan Perakaunan Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya diadakan semalam. Ianya bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan. Taklimat ini bertujuan untuk memberi penerangan berkaitan semakan pelupusan baucer kewangan kepada pegawai dan kakitangan dari Bahagian Pentadbiran dan Kewangan

Taklimat Arkib ini telah disampaikan oleh Cik Shahida, pegawai yang dijemput khas dari Arkib Negeri Perak. Pegawai dan kakitangan jabatan ini yang terlibat secara langsung ialah Pegawai Rekod Jabatan iaitu Cik Rafidah Binti Mohamed Daud dan Pembantu Rekod Jabatan iaitu En. Azizi Bin Ismail. 

Antara kakitangan lain yang terlibat ialah Pn. Salmah Binti Mohd. Jidi, En. Ahmad Faiz Bin Abdul Latiff, Pn. Mahanom Binti Mior Arbi dan Pn. Mariam Binti Mohamed Abdullah. Taklimat tersebut bermula pada jam 3.00 petang dan berakhir sekitar jam 4.30 petang.

 

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Penjelasan Isu Replika

timbalan

Sebagai sebuah jabatan yang diamanahkan untuk memberi nasihat dan panduan kepada kerajaan dan masyarakat, maka satu panduan dan nasihat diperlukan oleh salah sebuah kerajaan tempatan di negeri Perak dan tiada berkaitan dengan negeri lain telah diajukan kepada jabatan mufti perak untuk membina sebuah replika binatang di sebuah penempatan baru di tempat berkenaan.

 

Oleh kerana ia masih dalam cadangan maka saya menasihatkan agar tidak membina replika haiwan berkenaan secara sempurna berdasarkan hadith hadith sahih yang berkaitan kerana patung yang dibenarkan dalam Islam adalah untuk permainan kanak - kanak ataupun untuk tujuan pendidikan . Kalau pun cadangan itu mahu diteruskan maka hendaklah dibina tidak dengan sifatnya yang sempurna.

Isu nya adalah isu setempat di Perak dan tiada pun berkaitan dengan replika helang di Langkawi mahupun tugu negara tetapi isu ini telah digunakan oleh media - media yang terkenal dengan sikap prejudis kepada Islam dan agensinya telah memutarbelitkan dan mengalihkan dari isu sebenar . Tiada isu pun untuk merobohkan monumen berkenaan kerana ia di bawah kuasa pihak berkuasa negeri masing - masing.

Bagi pandangan saya jika monumen sedia ada tidak mahu dirobohkan masih menjadi kewajipan pihak berkuasa untuk memastikan bahawa perbuatan - perbuatan yang membawa kepada syirik tidak berlaku dan tidak lagi membina replika - replika binatang hidup yang sempurna . Bersesuaian dengan kehendak nas -nas yang ada , juga saranan qaedah sad az zar'iah dan kalaupun ada perbincangan ulama mengenai nya , maka keluar dari khilaf adalah lebih utama iaitu tidak lagi membina replika mahupun bangunan berhala di dalam sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama negara.

Hj Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

  • 1
  • 2