• Utama
  • Arkib Berita Tahunan

Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1444H / 2023M

1 SEGARI, 22 MAC 2023: Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) telah menganjurkan Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1444H / 2023M.
1 2 3

Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Kursus Kemahiran Komunikasi Dan Bahasa Badan Persuasif

1 IPOH, 10 Mac 2023: Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) telah menganjurkan Kursus Kemahiran Komunikasi Dan Bahasa Badan Persuasif yang dihadiri oleh 18 orang panel dan 5 orang staf Jabatan Mufti Negeri Perak dikendalikan oleh Dr Syed Faizal Sitheek Rahman dan Dr Syafiqah Nadhirah Binti Iskandar dari Syed Faizal Training & Consultant

Kursus ini dianjurkan bertujuan melatih dan membimbing kemahiran komunikasi, ilmu pengaruh dan bahasa badan para panel dalam runding cara aqidah atau sesi Istitabah terhadap pemohon yang memohon pengisytiharan bukan lagi beragama Islam di Mahkamah Syariah Negeri Perak.

Semoga usaha ini sedikit sebanyak membantu para panel menjalankan dakwah atau sesi Istitabah dengan lebih efektif dan progresif pada masa akan datang, InshaAllah.

Bengkel tiga hari ini dihadiri 15 penyelaras sumber maklumat dari pelbagai bahagian JMNPk. Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dalam penyelarasan tugas setiap bahagian bagi menghasilkan bahan-bahan terbitan yang berkualiti.
1 2 3

Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Lawatan kerja Jabatan Mufti Negeri Perak ke IPSI, Pulau Pinang

1 PULAU PINANG, 16 MAC 2022 – Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengadakan lawatan kerja ke Islamic Propagation Society International (IPSI) Pulau Pinang pada 16 Mac 2022. Rombongan ini seramai 17 orang ini telah diketuai oleh Timbalan Mufti Perak, Dato’ Haji Zamri bin Hashim. Tujuan lawatan kerja ini diadakan adalah untuk mendapat pendedahan berkaitan proses perlaksanaan Istitabah dan pemelukan Islam disamping mempelajari pengalaman dan inspirasi dalam pengurusan kerja-kerja dakwah kepada pelancong-pelancong bukan Islam.

Rombongan diberi taklimat mengenai sejarah, aktiviti dan kejayaan IPSI yang telah beroperasi sejak 1995 oleh Dato’ Haji Kamarudin Abdullah yang merupakan Pengasas dan Presiden IPSI. Di samping itu, rombongan turut dibawa melawat premis IPSI yang terdiri daripada 4 tingkat mempunyai mini perpustakaan, kedai buku, auditorium, pejabat, kelas, bilik kaunseling, taman dan surau.

Dato Haji Kamarudin Abdullah menegaskan "Antara rahsia kejayaan IPSI ialah kami menekankan aspek istiqamah dalam gerak kerja dan menjaga kualiti kerja dengan slogan 'Jannah Class' di samping keberkatan sumbangan infaq masyarakat Islam yang ikhlas daripada pelbagai peringkat memberi kekuatan kepada kami untuk tidak berputus asa dalam kerja-kerja dakwah kepada non-Muslim. Ini adalah amanah yang besar kepada kami." Rombongan mengakhiri lawatan dengan sesi makan tengah hari serta fotografi bersama Dato’ Haji Kamarudin dan seterusnya bertolak ke balik ke Ipoh pada jam 2.00 petang.

1 2 3

Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Ijtima Sanawi Hai ah Al-Ulama

SUNGKAI, 21 dan 22 Februari 2022: Satu program Ijtima' Sanawi Hai'ah Al-Ulama' telah diadakan bertempat di Felda Residence Hot Spring, Felda Sg. Klah, Sungkai, Perak.

Objektif program adalah seperti berikut:

  1. Meminimumkan perbezaan pemikiran, kefahaman dan pendekatan di kalangan para anggota Hai'ah al-Ulama'
  2. Membantu Jabatan Mufti Negeri Perak dalam menyedia dan menganalisa maklumat berkaitan perancangan, matlamat dan hala tuju;
  3. Restorasi kedudukan ulama menerusi pemerkasaan pelbagai pendekatan secara berhikmah dalam mendepani isu semasa umat Islam.

Sasaran yang dikenalpasti adalah di kalangan para ilmuan dan cendekiawan yang dikenali dan dimaklumi sebagai seorang yang berkepakaran dalam pelbagai disiplin ilmu Syarak. Sejumlah 37 Orang anggota Haiah telah dipilih untuk menghadiri Ijtima' Sanawi Hai'ah Al-Ulama

Bidang kepakaran / kluster yang ditetapkan merangkumi Tafsir, Hadis, Akidah, Tasawwuf, Fiqh, Aliran Pemikiran Semasa, Tarbiah dan Hal Ehwal Wanita. Manakala para penceramah/pembentang/pembentang resolusi adalah terdiri daripada:

  1. S.F. Prof. Dr. Yahya bin Mat Som
  2. S.S. Prof. Dr. Jamil Bin Hashim
  3. S.F. Prof. Dr. Azmil bin Hashim
  4. S.F. Prof. Madya Dr. Mohamed Fairooz bin Abdul Khir
  5. S.F. Dr. Azmil bin Zainal Abidin
  6. S.F. Dr. Zulhilmi Bin Mohamed Nor
  7. S.F. Dr. Muhammad Ayman al-Akiti
  8. S.F. Dr. Mohamad Rizal bin Mohamed Nor

Jemputan Khas Majlis Penutup terdiri daripada:

  1. YAA Tuan Haji Ab Rahman Thobroni Bin Haji Mohd Mansor
  2. SS. Dato' Hj. Zamri bin Hashim
  3. YBhg. Tuan Mohd Asri Bin Mohamad Ghazali

Impak Pelaksanaan program meliputi Pembentukan Resolusi, Perancangan aktiviti/program 2022 – 2025, Pengwujudan Sekretariat, Lantikan Ketua dan Penolong bagi setiap Kluster.

Sumber Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Kursus Pengenalan Dunia Falak Peringkat Negeri Perak Tahun 2020

1 Tanjung Malim, 13 Mac - Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) dengan jayanya telah mengadakan Kursus Pengenalan Dunia Falak Peringkat Negeri Perak Tahun 2020 yang berakhir semalam. Ia diadakan di Pusat Kecemerlangan Ukur Geodetik INSTUN, Tanjung Malim bermula Isnin.

Objektif kursus ini ialah memupuk minat para pelajar kepada ilmu falak, sebagai pendedahan ilmu falak kepada pelajar terutama dalam konteks ibadah iaitu arah kiblat, waktu solat dan takwim, dan memberi peluang kepada mereka mengenali dan menggunakan peralatan falak moden seperti teleskop, teodolit dan kamera.

Peserta terdiri daripada 40 orang pelajar dari 14 buah sekolah menengah di negeri Perak termasuk Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan sekolah-sekolah persendirian.

Manakala pembentang kursus adalah dari para pegawai INSTUN dan Jabatan Mufti Negeri Perak. Modul-modul kursus yang dibentangkan ialah Pengenalan Ilmu Falak, Pengenalan Waktu Solat, Penentuan Arah Kiblat, Pengendalian Peralatan Cerapan serta Cerapan Langit Malam.

Semoga para peserta dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman ini dalam mempraktikkan teori ilmu falak di sekolah dan di luar.

2 1 3

Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

1 IPOH, 25 FEBRUARI 2020 – Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan sekali lagi telah berjaya menganjurkan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada tahun ini. Ia telah berlangsung pada 24 dan 25 Februari, di Casuarina Convention Centre, Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya, Ipoh. Muzakarah ini merupakan program tahunan Kerajaan Negeri Perak yang diurusetiakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak. Muzakarah pada kali ini adalah kali kedua diadakan bertaraf antarabangsa setelah diangkat ke peringkat antarabangsa pada tahun 2018. Tema yang telah diangkat pada kali ini ialah, ‘Menjulang Kemuliaan Umat: Sejarah, Wawasan Dan Harapan’. DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli bagi merasmikan muzakarah tersebut pada Isnin, 24 Februari 2020.

Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berlangsung pada hari pertama dengan dihadiri oleh kira-kira 1000 orang. Turut berkenan hadir DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, DYTM Raja Muda Perak, DYTM Raja Puan Besar Perak, DYAM Raja DiHilir Perak serta DYAM Raja Puan Muda Perak. Majlis diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh A.F. Ustaz Mohd Kamaruzzaman Bin Daud. Beliau memperdengarkan bacaan ayat berkaitan kepemimpinan sesuai dengan tema muzakarah, iaitu Surah Ali Imran ayat 33 hingga 37. Majlis diikuti dengan ucapan alu-aluan SS Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria, seterusnya Titah DiRaja oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Majlis diteruskan dengan pembentangan kertas kerja utama oleh YBhg. Dr. ‘Ali Muhyiddin Al-Qarah Daghi, Setiausaha Kesatuan Ulama’ Sedunia, Qatar. Beliau membentangkan kertas kerja utama yang juga merupakan tema muzakarah iaitu ‘Menjulang Kemuliaan Umat: Sejarah, Wawasan Dan Harapan’.

Pembentang-pembentang kertas kerja pada muzakarah kali ini ialah YBhg. Datuk Dr. Mohd Daud Bin Bakar, Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Zainal Bin Kling, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA, S.S. Datuk Ustaz Hj. Bungsu @ Aziz Bin Hj. Jaafar, Mufti Negeri Sabah serta YBhg. Dato’ Zainul Rijal bin Abu Bakar, peguambela dan peguamcara. Turut diadakan ialah Forum Eksekutif yang mengulas dan mengupas tema muzakarah. Ahli panel forum terdiri daripada YBhg. Prof Dato’ Teo Kok Seong, Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, YBhg. Prof. Dr. Sivamurugan Pandian dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM dan YBhg. Tan Sri Musa Bin Tan Sri Haji Hassan, Mantan Ketua Polis Negara. Selain itu, turut diadakan Multaqa Ulama’ dan Cendiakawan Islam pada Isnin malam bagi membincangkan deklarasi yang mendokong tema agar Kemuliaan Umat Islam di negara ini dijunjung kembali. Seramai 21 orang ulama’ dan cendiakawan Islam telah dijemput bagi memberi idea dan buah fikiran dalam pembentukan deklarasi tersebut.

Muzakarah berakhir dengan majlis perasmian penutup pada Selasa. Majlis telah dirasmikan oleh wakil kepada Menteri Besar Perak iaitu Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Pada majlis tersebut, Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), YBhg. Prof. Dr. Hj. Jamil Bin Hashim telah membentangkan deklarasi yang dibentuk hasil Multaqa Ulama’ dan Cendiakawan Islam.

2 3 1
2 3 1
2 3 1

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak.

Viral di Turki: Kursus Penerapan Modul Tarbiah Kepemimpinan Al-Fatih Peringkat Negeri Perak

Kursus Penerapan Modul Tarbiah Kepemimpinan Al-Fatih Peringkat Negeri Perak Bil.2/2019 anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama JAIPk dan Yayasan Ammar Al-Fatih. Aktiviti nyanyian lagu tema kursus bertajuk La ilahe illAllah oleh peserta telah mendapat perhatian rakyat Turki apabila video tersebut telah di"tweet" oleh ustaz Av.Ali Kurt, Setiausaha Agong Unions of NGO's of Islamic World.

Penyanyi asal lagu tema tersebut, Omer Karaoglu juga telah mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas nyanyian dan penghayatan para peserta terhadap lagu beliau. Berikut adalah lirik dan terjemahan lagu tersebut.

Klik pautan berikut untuk maklumat lanjut: https://twitter.com/AvAliKurt/status/1110886454329307137?s=08

Kursus Penerapan Modul Tarbiah Kepemimpinan Al-Fatih Bil.2 / 2019

fateh ULU KINTA, 28 MAC 2019 – Kursus Penerapan Modul Tarbiah Kepemimpinan Al-Fatih Peringkat Negeri Perak anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak telah diadakan dengan jayanya. Ia telah diadakan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), Tanjung Rambutan selama 3 hari dan berakhir semalam. Ia merupakan kursus siri yang kedua untuk tahun ini.

Objektif kursus ini ialah memberi penerapan modul kepimpinan yang telah dirangka kepada pemimpin-pemimpin peringkat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) untuk diaplikasikan di kampus masing-masing. Ia juga bertujuan mempertingkatkan kemahiran, kebijaksanaan, kepemimpinan dan karismatik diri bagi merealisasikan keunggulan kepimpinan di masa hadapan.

Seramai 68 orang peserta telah hadir menyertai kursus ini. Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar dari Persatuan Pendidikan Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim (UPSI), wakil pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Politeknik Ungku Omar (PUO). Para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti solat berjemaah, ice-breaking, latihan dalam kumpulan (LDK), sukan memanah, serta mendengar kuliah dan ceramah oleh pakar-pakar jemputan.

Antara penceramah yang dijemput untuk kursus ini ialah Tuan Haji Ahmad Azam Bin Abdul Rahman dari Union of NGOs Of The Islamic World Gombak, Tuan Haji Harith Fadzilah Bin Abd Halim, Timbalan Pengarah JAIPk dan Ustaz Mohd Dzohiri Bin Abdul Samad, Pegawai dari Bahagian Dakwah, JAIPk.

Diharapkan agar program ini dapat memberi kesan positif dan impak yang besar kepada para peserta seterusnya mereka dapat mengaplikasikan nilai-nilai kepemimpinan Islam dalam kampus IPTA dan IPTS negara ini.


 

 

 

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Program Karnival Mahabbah Institusi Agama

pemukiman SEBERANG PERAK, 10 MAC 2017 – Program Karnival Mahabbah Institusi Agama sempena Pemukiman YAB Menteri Besar Perak di Daerah Perak Tengah telah diadakan dengan sangat meriah. Program yang yang berakhir pada tengah hari tadi merupakan program bulanan Kerajaan Negeri Perak di mana YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd. Kadir, Menteri Besar Perak dan agensi-agensi agama ‘turun padang’ untuk memberikan perkhidmatan masing-masing ke daerah-daerah di seluruh Negeri Perak.

Terdapat pelbagai kaunter perkhidmatan dan khemah pameran di sekitar Masjid Al-Ansar, FELCRA Seberang Perak, lokasi program kali ini. Antara agensi yang terlibat menyediakan kaunter perkhidmatan dan pameran ialah Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak (JKSMPk), Bahagian Penyelidikan serta Bahagian Pendidikan dari Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Selain itu, Klinik Dr. Zambry turut dibuka untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang hadir.

Pada jam 11.00 pagi, diadakan Tausiyyah Ahlul Ilmi oleh YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Bin Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri diikuti dengan Taujihat oleh YAB Menteri Besar Perak. Program berhenti pada jam 1.00 tengahari untuk beri laluan kepada para hadirin menunaikan solat fardhu Jumaat yang diimami oleh YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Bin Dusuki. Program diakhiri dengan ‘Kenduri Rakyat’ iaitu jamuan makan kepada para hadirin selesai solat Jumaat.

Terdahulu pada petang Khamis turut diadakan perlawanan persahabatan futsal dan badminton antara institusi-institusi agama Negeri Perak dan penduduk sekitar bertujuan mengeratkan silaturrahim antara kakitangan agensi-agensi dan orang awam. Perlawanan tersebut diadakan dengan format pertandingan dan pasukan badminton Jabatan Mufti Negeri Perak telah muncul naib juara setelah tewas dengan penduduk setempat di final.

Program pemukiman YAB Menteri Besar Perak yang seterusnya telah dijadualkan di Daerah Manjung pada bulan April nanti.

pemukiman pemukiman

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Perhimpunan Bulanan Jabatan Mufti Bil.1/2017

perhimpunan IPOH, 24 FEBRUARI 2017 – Buat julung-julung kalinya perjumpaan bulanan bagi semua anggota Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya diadakan. Ia bermula sekitar jam 10.00 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku dan nasyid Asma’ul-Husna.

Perjumpaan ini diteruskan dengan tausiyyah dan nasihat yang disampaikan oleh S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak bagi mewakili S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak selaku ketua jabatan, yang tidak dapat hadir atas masalah kesihatan.

Selepas itu, S.S. Timbalan Mufti turut menyampaikan taklimat ringkas berkaitan aktiviti-aktiviti jabatan sepanjang bulan Februari dan Mac, diikuti dengan pemilihan jawatankuasa Kelab Sukan dan Kebajikan Jabatan Mufti Negeri Perak yang baru. Perjumpaan bulanan ini diakhiri dengan jamuan makan tengahari pada kira-kira jam 12.00 tengahari. Perjumpaan sebegini telah dijadualkan pada setiap bulan dan perjumpaan yang seterusnya akan diadakan pada 3 April 2017.

 

pemukiman
 Para kakitangan sedang tekun mendengar amanat dari Timbalan Mufti Perak.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

  • 1
  • 2