• Utama
  • Arkib Berita Tahunan

Larangan aktiviti politik di rumah ibadat

1 KUALA KANGSAR, 6 Januari 2023: Satu program Liqa' Fikri bersama Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Dan Mufti Negeri Perak telah berjaya dilaksanakan di Auditorium Universiti Sultan Azlan Shah. Salah satu intipati program tersebut adalah larangan ahli politik untuk menyampaikan ucapan atau mengadakan akiviti di masjid dan surau di Perak dilaksanakan bagi memastikan umat Islam tidak berpecah belah.

Mufti juga berkata rakyat perlu bersatu-padu untuk melupakan perbezaan politik itu ialah masjid dan surau sepertimana titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang ingin memelihara perpaduan, merapatkan semula hubungan maka dilarang politik kepartian di masjid dan surau.

Hadir sama pada program itu, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Datuk Nooh Gadot sebagai panel manakala Felo Pengajian Islam Oxford dan Ahli Lembaga Pengarah USAS, Datuk Afifi Al-Akiti sebagai moderator.

Sultan atau pemerintah berperanan sebagai ulil amri yang menjadi tonggak kepada usaha memelihara perpaduan negara.

Menurut ucapan Mufti Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah menitahkan larangan aktiviti politik di rumah ibadat untuk memastikan masjid dan surau menjadi medan penyatuan umat Islam. Beliau juga menekankan perbezaan dan itu pasti dilalui oleh mana-mana masyarakat Muslim. Namun selesai pilihan raya kita kena kembali kepada asal usul umat ini, kita mesti bersatu padu.
1 2 3

Jabatan Mufti Negeri Perak.

Berita Keratan Akhbar: Fatwa Perak haramkan ritual Raja Bomoh sejak 2015

1 IPOH - Kerajaan negeri Perak pernah mewartakan fatwa mengenai pengharaman upacara seorang individu dikenali sebagai Raja Bomoh di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 pada tahun 2015. Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri yang bersidang pada 17 hingga 19 September 2014 telah memutuskan bahawa amalan perbomohan yang dilakukan individu itu berlawanan dengan hukum syarak.

Beliau sehubungan itu berkata, umat Islam di negeri ini yang mengingkari fatwa berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang dikuatkuasakan di Perak. "Fatwa yang diwartakan menyebut sebarang upacara dan amalan perbomohan yang dilakukan oleh Raja Bomoh ini menggunakan objek tertentu atau tanpa menggunakan apa-apa objek sama ada untuk tujuan perubatan, perbomohan atau selainnya adalah berlawanan dengan hukum syarak dan haram. "Oleh demikian, umat Islam dilarang menyebar, mempromosikan fahaman dan ajaran, menghadiri apa-apa upacara yang dikaitkan dengan ajaran tersebut atau menyokong apa-apa aktiviti perbomohan sama ada secara langsung atau tidak langsung," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Beliau berkata, orang Islam di negeri ini juga dilarang menerbit, memuat naik atau memuat turun apa-apa terbitan berbentuk risalah, media sosial, rakaman audio atau filem berkaitan aktiviti individu terbabit. "Mana-mana orang Islam atau kumpulan yang menjadi ahli atau pengikutnya juga boleh dikenakan tindakan di bawah enakmen tersebut. "Umat Islam perlu menjauhi sebarang upacara khurafat demi menjaga akidah dan kemuliaan Islam," katanya.

Nama Raja Bomoh itu kembali disebut apabila videonya melakukan ritual kononnya untuk menolak musibah banjir di Dataran JPS, Teluk Intan tular di media sosial pada Rabu. Video berdurasi 25 minit yang tular di Facebook itu memperlihatkannya bersama seorang wanita dikenali sebagai 'Puteri Zaleha' membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir. Mereka menggunakan bahan-bahan seperti beras, kunyit, bunga dan daun-daun kayu. Turut kelihatan di hadapan mereka ialah surah Yasin dan kitab suci al-Quran. Susulan video tular itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah membuka kertas siasatan terhadap Raja Bomoh mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.

Di bawah seksyen itu, mereka yang mempersenda akan amalan atau upacara yang berkaitan agama Islam adalah suatu kesalahan yang boleh disabitkan dengan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya.

Sumber daripada akhbar Sinar Harian- Khamis | 06 Januari 2022 seperti di pautan berikut:-
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/181605/BERITA/Semasa/Fatwa-Perak-haramkan-ritual-Raja-Bomoh-sejak-2015 © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Berita/Aktiviti : Cerapan Rukyah Hilal Jamadilawal 1442H bersama INSTUN

1 SEGARI, 15 DISEMBER – Satu program cerapan (rukyah) anak bulan bersama telah berjaya dilaksanakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu, Segari. Cerapan anak bulan atau hilal Jamadilawal 1442H ini dilakukan oleh 4 orang pegawai Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Perak bersama dengan 5 orang pegawai dari Institut Tanah dan Ukur Negara, Tg. Malim (INSTUN).
Jabatan ini mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Sr. Haji Ahmad Azmi Bin Hashim, Ketua Bahagian Ukur dan Pemetaan, INSTUN berserta 5 orang pegawai di bawah pentadbiran beliau atas kerjasama dalam menjayakan program cerapan secara bersama ini walaupun dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan di Negeri Perak.

Namun hasil cerapan tersebut mendapati bahawa hilal tidak kelihatan kerana faktor langit berawan sepanjang cerapan diadakan. Diharapkan agar program cerapan bersama seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang bersama-sama INSTUN dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

1 3 4

Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Program Gerhana Bulan Penumbra

1 SEGARI - 11 JANUARI 2020 bersamaan 15 Jamadilawal 1441H: Satu program cerapan Gerhana Bulan Penumbra telah diadakan bermula jam 12.00 tengah malam hingga 4 pagi di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Segari.

Kehadiran peserta adalah di antara Pegawai dan Kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perak, Ahli Jawatankuasa Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak dan Ahli-ahli Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak. Di antara aturcara program adalah seperti Solat Maghrib berjemaah, Kuliah Maghrib, Taklimat Ringkas Gerhana Bulan Penumbra, Mesyuarat Penyelarasan Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak, Solat Isyak, Makan Malam, Cerapan Langit, Persiapan utk cerapan gerhana bulan penumbra, dan 4.00 pagi cerapan selesai dijalankan.

1 2 3

Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Majlis Penyampaian Watikah Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perak Sesi 2020

1 IPOH - 30 JANUARI 2020 5 Jamadil Akhir 1431H: Program ini dijayakan di sekolah menengah Agama Izuddin Shah Ipoh dan seramai 134 orang penerima anugerah telah hadir bagi menerima watikah tersebut. Majlis penyampaian tauliah mengajar agama Negeri Perak ini akan diadakan sebagai mengiktiraf pada penerima tauliah dan sebagai simbolik kepercayaan kepada mereka yang menyampaikan ilmu yang sahih dan berlandaskan hukum syarak.

Ia juga menepati tuntutan agama dan mendokong perintah Allah SWT iaitu menyampaikan ilmu. Program ini turut dihadiri oleh Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Hj Harussani Bin Hj Zakaria, Mufti Negeri Perak bersama-sama berapa orang jemputan khas. Majlis ini turut diserikan dengan Tausiah Khas yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Sohibus Samahah Datuk Paduka Syeikh Muhamad Baderudin Bin Haji Ahmad Mantan Mufti Negeri Kedah Darul Aman. Acara kemuncak bagi majlis ini adalah penyampaian watikah tauliah mengajar agama yang disempurnakan oleh Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Hj Harussani Bin Hj Zakaria, Mufti Negeri Perak.

2 3 1

Sumber: Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Majlis Cerapan Dan Solat Sunat Gerhana Matahari Sempena Gerhana Matahari Separa

1 PERAK - 26 DISEMBER 2019 bersamaan 29 Rabiulakhir 1441H: Cerapan Dan Solat Sunat Gerhana Matahari Sempena Gerhana Matahari Separa telah berakhir dengan jayanya semalam. Program ini bermula jam 10.00 pagi hingga 3.30 petang di beberapa lokasi seperti berikut:
  • (i) Masjid Sultan Idris Shah II & Dataran Dato’ Sagor, Ipoh, Perak
  • (ii) Maahad Tahfiz & Kemukjizatan Pondok Al-Quran Air Jernih, Gerik, Perak
  • (iii) Masjid At-Taqwa, Proton City, Tg Malim, Perak
  • Jalinan kolaborasi / kerjasama ini adalah bersama agensi-agensi seperti berikut:

  • (i) Jabatan Mufti Negeri Perak
  • (ii) Pejabat Agama Daerah Ipoh
  • (iii) Masjid Sultan Idris Shah II
  • (iv) Jabatan Ukur dan Pemetaan Perak (JUPEM)
  • (v) Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN)
  • 1 2 3

    Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

    Pengumuman Solat Sunat Gerhana Bulan

    gerhana Pada 31 Januari 2018 M / 15 Jamadil Awal 1439 H (Rabu) umat Islam di Perak dan di seluruh Malaysia akan melihat satu lagi petunjuk kebesaran Allah SWT iaitu peristiwa Gerhana Bulan Penuh.  Bagi negeri Perak kita akan dapat melihat peristiwa gerhana bulan ini ketika Bulan baru terbit di ufuk Timur. Ia dijangka akan berlaku bermula jam 7.48 malam hinggalah jam 11.11 malam ini. Kemuncak gerhana akan berlaku pada jam 9.27 malam, dan ketika itu kita akan melihat warna Bulan akan bertukar menjadi hitam kemerahan.

    Selari dengan saranan Nabi SAW ketika kita melihat gerhana, maka kita disunatkan untuk melakukan Solat Sunat Gerhana Bulan diiringi dengan khutbah. Perlaksanaan solat sunat ini dapat dibuat di antara jam 7.48 malam hinggalah jam 11.11 malam. Khutbah boleh didapati dalam laman web Jabatan Mufti Negeri Perak (http://mufti.perak.gov.my/images/perkhidmatan/info_rujukan/khutbah/khutbah_gerhana_jan18.pdf).

    Di samping melaksanakan solat dan mendengar khutbah kita juga disarankan untuk membanyak tasbih, tahmid, takbir dan istighfar sepanjang berlakunya gerhana. Semua ibadah ini dilakukan agar kita sedar bahawa kita hanyalah hamba kepada Allah SWT, yang dihidupkan sementara di muka bumi ini untuk kehidupan yang kekal di akhirat nanti.

    Sehungan dengan itu, Jabatan Mufti Negeri Perak akan mengadakan Majlis Solat Sunat dan Cerapan Gerhana Bulan Penuh bertempat di Masjid Muhammad al-Fateh, Taman Jati, Meru, Perak pada 31 Januari 2018 M (Rabu). Majlis ini akan dimulakan lebih awal pada jam 3.00 ptg dengan sesi sembang santai falak, pameran, cerapan Matahari dan jualan. Perlaksanaan solat sunat gerhana akan diadakan selepas Maghrib. Selepas Isyak pula, program cerapan gerhana bulan akan dijalankan. Pihak jabatan juga akan menyediakan beberapa teleskop dan penerangan mengenai gerhana pada malam tersebut kepada semua pengunjung. 

    Maka, Jabatan Mufti Negeri Perak menyarankan agar semua masjd, surau dan orang perseorangan dapat melaksanakan solat sunat gerhana yang jarang-jarang dapat dilaksanakan ini. Ia juga adalah kesempatan yang amat baik untuk kita dapat melihat peristiwa Gerhana Bulan Penuh yang sangat menarik untuk dicerap. Semua ini adalah untuk menyedarkan kita tentang kebesaran Allah SWT.

    Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

    Perhimpunan Bulanan Januari 2018

    perhimpunan pagi

    IPOH, 16 DISEMBER 2018 - Buat kali pertama dalam tahun 2018, perhimpunan bulanan semua kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perak telah diadakan dengan jayanya dan dihadiri oleh seluruh warga kerja jabatan. Perhimpunan dimulakan dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku dan alunan nasyid Asma'ulhusna serta diikuti dengan mendengar tausiah dari Mufti Perak, Tan Sri Dato Seri Dr Hj Harussani bin Hj Zakaria.

    Mufti Perak mengingatkan semua kakitangan agar menjaga hubungan silaturrahim dan sentiasa mengamalkan gerak kerja berpasukan bagi memastikan setiap usaha yang dilaksanakan akan lebih cemerlang. Beliau berkata, "pelbagai cabaran yang menggugat institusi agama kini sangat berleluasa, maka ia perlu ditangani dengan lebih aktif dan progresif. Juga isu-isu berkaitan kemaslahatan umat Islam perlu diambil pendekatan yang lebih sesuai dan berhemah mengikut perkembangan semasa agar ia mampu diterima dan menjadi contoh terbaik. Jangan sampai tanggungjawab yang kita galas ini, tidak kita laksanakan sebaiknya dan akan menjadi soalan yang tidak mampu kita jawab di hadapan Allah 'azza wa jalla di akhirat kelak."

    Mufti Perak turut mengulas berkenaan perayaan sambutan tahun baru 2018 yang diadakan baru-baru ini di segenap pelosok negara. Ujar beliau, "Zaman dahulu, paderi akan membunyikan loceng bagi menyatakan ketibaan tahun baru masihi dan ulama Islam terdahulu telah sepakat menyatakan sambutan tahun baru adalah merupakan budaya yang salah." Tambah beliau,"zaman kini pula, sambutan tahun baru disertai dengan program hiburan yang melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita secara terbuka mahupun tertutup. Ini akan menjurus kepada perbuatan yang salah dan mengundang perlakuan haram disisi agama Islam. Maka penganjuran juga akan turut menjadi haram."

    Perhimpunan kali ini juga menyaksikan penyampaian sumbangan daripada Kelab Kebajikan dan Sukan kepada kakitangan yang telah masuk ke hospital atas masalah kesihatan iaitu Ustazah Nadya bt Jamri dan kakitangan yang telah menimang cahaya mata iaitu Ustaz Mohd Tajuddin bin Che Din. Mufti Perak juga turut menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli jawatan kuasa MBJ untuk sesi yang lalu serta ucapan tahniah kerana telah melaksanakan tanggangjawab dengan cemerlang.

    Selain itu, makluman beberapa program jabatan bagi bulan Januari turut disampaikan oleh Encik Nor Azaman bin Mohd Rashid. Antara program tersebut ialah, Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada 4 Januari 2018 dan Rukyah Hilal Jamadilawal 1439H pada 17 Januari 2018.

    Selesai majlis perhimpunan, agenda diteruskan dengan Mesyuarat Jabatan yang telah dipengerusikan oleh Timbalan Mufti Negeri Perak, Ustaz Zamri bin Hashim.

    perhimpunan bulanan  
     perhimpunan bulanan  
    perhimpunan bulanan  

     Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

    Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

    muzakarah

    IPOH, 26 JANUARI 2016 – Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan bertemakan; ‘Raja; Payung Pelindung Agama’ yang berlangsung pada 24 Januari 2016 (Ahad) hingga 26 Januari 2016 (Isnin) telah berjalan dengan lancar dan jayanya. DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah merasmikan muzakarah tersebut di Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada hari Isnin, 25 Januari 2016.

    Muzakarah yang julung kalinya diadakan di bawah pemerintahan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ini diadakan di Amanjaya Convention Centre, Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya, telah disertai oleh kira-kira 150 orang peserta dari pelbagai latar belakang kerjaya dan tempat. Ia bermula pada petang Ahad dengan sesi pendaftaran peserta, seterusnya sesi pembentangan Pra Muzakarah pada sebelah malam yang disampaikan oleh Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Mat Rofa Bin Ismail dari Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia.
    Muzakarah diteruskan pada pagi Isnin dengan Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dihadiri oleh kira-kira 1000 orang. Turut hadir DYMM Raja Permaisuri Perak, DYTM Raja Muda Perak dan DYTM Raja Puan Besar Perak, DYAM Raja DiHilir Perak dan DYAM Raja Puan Muda Perak, YAB Menteri Besar Perak dan isteri, serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak. Majlis perasmian bermula dengan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran oleh AF ustaz Radzi Qamarulhailan, diikuti dengan ucapan aluan SS Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria, dan titah perasmian oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Selesai titah perasmian, majlis perasmian bersambung dengan pembentangan kertas kerja 1 oleh Y.Bhg. Professor Emiritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dari Fakulti Sejarah, Universiti Malaya yang bertajuk; ‘Sorotan Kesultanan Melayu Memayungi Agama, Negara dan Rakyat.

    Pada sebelah petang diadakan pembentangan kertas kerja 2 oleh Y.Bhg. SS Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohammad, Mufti Negeri Kelantan. Kertas kerja ini bertajuk; ‘Aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah: Teras Kemantapan Berakidah. Muzakarah berhenti rehat selepas sesi soal jawab. Sesi muzakarah seterusnya pada sebelah malam iaitu Bicara Intelek yang disampaikan oleh 2 orang panel iaitu SS Mufti Negeri Kedah Dato’ Paduka Syeikh Baderuddin Bin Hj. Ahmad dan Y.Bhg. Dr. Yusri Bin Mohamad, Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM).
    Pembentangan kertas kerja 3 diteruskan pada pagi hari Selasa. Ianya disampaikan oleh Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Abdul Halim El Muhammady dari Research Centre For Traditional and Contemporary Islam, Bangi, yang membawakan tajuk: ‘Mazhab Syafie Wadah Perpaduan Ummah dan Penyeragaman Amalan Syariah di Malaysia. Muzakarah diikuti dengan Pembentangan Resolusi oleh Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) diwakili oleh Y.Bhg. Prof. Dr. Jamil bin Hashim, dan berakhir dengan Majlis Perasmian Penutup pada tengah hari tersebut. Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Drs. Mohd Nizar bin Zakaria, Exco Kerajaan Negeri Perak.

    Keberangkatan tiba DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke Muzakarah.
    DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli merasmikan Muzakarah.
    Penyerahan Resolusi Muzakarah oleh SS Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria kepada YAB Dato’ Drs. Mohd. Nizar Bin Zakaria, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

    Para peserta memberi tumpuan ketika sesi pembentangan kertas kerja.

    Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.