• Utama
  • Arkib Berita Tahunan

Kursus Penerapan Modul Tarbiah Kepemimpinan Al-Fatih

fateh ULU KINTA,19 April 2019 – Kursus Penerapan Modul Tarbiah Kepemimpinan Al-Fatih Peringkat Negeri Perak anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak telah diadakan dengan jayanya. Ia telah diadakan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), Tanjung Rambutan selama 3 hari dan berakhir semalam. Program berlangsung bermula 16 April sehingga 18 April 2019.

Objektif kursus ini ialah memberi penerapan modul kepimpinan yang telah dirangka kepada pemimpin-pemimpin untuk diaplikasikan di sekolah masing-masing. Ia juga bertujuan mempertingkatkan kemahiran, kebijaksanaan, kepemimpinan dan karismatik diri bagi merealisasikan keunggulan kepimpinan di masa hadapan.

Seramai 84 orang peserta telah hadir menyertai kursus ini. Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar dari peserta al-fatih Siri 1. Para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti solat berjemaah, ice-breaking, latihan dalam kumpulan (LDK), sukan memanah, serta mendengar kuliah dan ceramah oleh pakar-pakar jemputan.

Antara penceramah yang dijemput untuk kursus ini ialah Tuan Haji Ahmad Azam Bin Abdul Rahman dari Union of NGOs Of The Islamic World Gombak, Saudara Jufitri Joha - Presiden Majlis Belia Malaysia dan Ustaz Ashraf Bin Ismail, JAIPk.

Diharapkan agar program ini dapat memberi kesan positif dan impak yang besar kepada para peserta seterusnya mereka dapat mengaplikasikan nilai-nilai kepemimpinan Islam di negara ini.

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Majlis Anugerah Tauliah 2018

tauliah

IPOH, 9 APRIL 2018 – Majlis Anugerah Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak bagi tahun 2018 telah berlangsung dengan sangat meriah semalam. Majlis bersifat tahunan ini telah diadakan di Dewan Al-Ghazali, Tingkat 2, Kompleks Islam Darul Ridzuan bermula 8.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari.

Pada kali ini seramai 99 orang telah dijemput untuk menerima watikah Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak setelah berjaya dalam peperiksaan bertulis dan temuduga yang telah diadakan pada tahun lalu. Penyampaian watikah tauliah telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Wan Mohd Zahid Bin Mohd Noordin.

Tetamu kenamaan yang turut hadir ke majlis ini ialah YABhg. S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak, YBhg. Dato’ Dr. Amiruddin Bin Muhamed, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, YBhg. S.F. Dato’ Haji Mohd Yusop Bin Haji Husin, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), serta Ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran pasangan atau keluarga bagi setiap para penerima watikah.

Sebelum penyampaian watikah tauliah, S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak telah menyampaikan tausiyah kepada semua tetamu khususnya para penerima watikah. Beliau telah menasihatkan agar para guru tauliah berperanan dalam memberi penjelasan kepada masyarakat demi mempertahankan kedudukan agama Islam yang telah diserang dari segenap penjuru oleh musuh-musuh Islam. Majlis diikuti dengan tausiyah oleh YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Wan Mohd Zahid Bin Mohd Noordin, Yang Dipertua MAIPk. Majlis berakhir sekitar jam 12.00 tengah selepas sesi fotografi bagi para penerima watikah tauliah.

msnms02 msnms03 msnms01


Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, JMNPk

Kursus Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja di INTURA

mpk SUNGAI PETANI, 24 APRIL 2017 – Bahagian Pentadbiran dan Kewangan Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara Kampus Wilayah Utara (INTURA) telah mengadakan Kursus Manual Prosedur Kerja (MPK) dan Fail Meja. Kursus ini diadakan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sungai Petani selama tiga hari dan berakhir semalam. Semua pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perak terlibat sebagai peserta kursus ini.

Kursus ini bertujuan membuat pengemaskinian dan penambahbaikan kepada MPK jabatan serta fail meja semua pegawai dan kakitangan jabatan. Ia bagi memastikan penambahbaikan kualiti kecekapan dan keberkesanan fungsi serta tugas jabatan kepada pelanggan. Fasilitator yang bertanggungjawab mengendalikan kursus ini ialah En. Sahrul Nizam Bin Jaafar, Penolong Perunding Latihan, Unit Penyampaian Perkhidmatan, INTURA.

Sepanjang kursus ini beliau telah membentangkan tajuk kandungan penyediaan, dokumentasi, kaedah penyediaan, serta auditan MPK dan fail meja. Matlamat kursus ini tercapai dengan bertambahnya fungsi atau senarai tugas jabatan dalam MPK. Fail meja semua pegawai dan kakitangan kini dapat dikemaskini berdasarkan MPK jabatan yang terkini. Kursus ini berakhir dengan jayanya dan diharapkan dapat memberi motivasi dan semangat kepada semua pegawai dan kakitangan untuk terus memberi perkhidmatan yang cemerlang.

mpk mpk

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Majlis Anugerah Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak 2017

penyampaian tauliah

IPOH, 17 APRIL 2017 – Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengadakan Majlis Anugerah Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak bagi tahun 2017 semalam. Majlis yang diadakan secara tahunan ini telah diadakan dengan jayanya di Dewan Al-Ghazali, Tingkat 2, Kompleks Islam Darul Ridzuan bermula pukul 8.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari.

Seramai 81 orang yang telah berjaya dalam peperiksaan bertulis dan temuduga lisan tahun lalu telah dijemput bagi menerima watikah tauliah pada majlis kali ini. Watikah tauliah telah ditandatangani dan disampaikan sendiri oleh Yang Dipertua (YDP)  Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Wan Mohd Zahid Bin Mohd Nordin.

Turut hadir ke majlis ini ialah YABhg. S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak, YBhg. S.F. Dato’ Haji Mohd Yusop Bin Haji Husin, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan S.F. Tuan Haji Asad Bin Awang Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, serta Ketua-ketua Penolong Pengarah JAIPk. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran ahli keluarga bagi para penerima watikah.

Sebelum penyampaian watikah, S.S. Tan Sri Mufti Perak dan YDP MAIAMP telah memberikan tausiyah dan ucapan nasihat kepada semua tetamu terutamanya para penerima watikah. Majlis berakhir sekitar jam 11.00 pagi dengan sesi fotografi diadakan bagi para penerima watikah tauliah, diikuti jamuan makan tengah hari.

 

penyampaian tauliah penyampaian tauliah

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Perhimpunan Bulanan Jabatan Mufti Bil.2/2017

himpun IPOH, 4 APRIL 2017 – Perjumpaan bulanan anggota Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya diadakan buat kali keduanya pada tahun ini. Kehadiran S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak yang sebelum ini tidak dapat hadir pada perjumpaan yang lalu, memeriahkan lagi perjumpaan kali ini. Pada jam 9.00 pagi semua pegawai dan kakitangan termasuk pelajar-pelajar latihan industri berbaris menghadap Tan Sri Mufti dan menyanyikan lagu Negaraku dan nasyid Asma’ul-Husna. Seterusnya, Tan Sri Mufti dijemput untuk menyampaikan tausiyyah dan nasihat kepada semua warga jabatan.

Antara amanat yang ditekankan beliau ialah perlunya kita sebagai umat Islam menangani dan menghadapi cabaran aqidah yang pelbagai. Terbaru isu berkaitan individu yang menimbulkan teori bahawa Tuhan wujud melalui getaran, dan isu beberapa orang ahli politik negara yang ingin meminda akta 164 – Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976, yang jika berjaya dipinda akan menyebabkan; jika berlaku penceraian;- anak daripada perkahwinan mereka tidak boleh didaftarkan sebagai agama Islam sekiranya tidak mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak, ia tertakluk kepada keinginan anak itu apabila dia telah mencapai umur lapan tahun.

Selesai tausiyyah, pengacara menjemput Penolong Pegawai Tadbir, Puan Norizah Binti Mohamad Nordin bagi menyampaikan taklimat berkaitan aktiviti dan program jabatan sepanjang bulan April. Antara aktiviti dan program penting yang akan diadakan pada bulan ini ialah Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak pada 15 April, Bengkel Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja pada 21-23 April, dan Peperiksaan Tauliah pada 29-30 April. Perjumpaan bulanan ini diakhiri dengan jamuan makan pada kira-kira jam 11.00 pagi.

himpun

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Peperiksaan Tauliah Mengajar Agama Perak 2016

exam tauliah IPOH, 24 APRIL 2016 – Peperiksaan Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak bagi tahun 2016 telah berakhir dengan jayanya pada hari ini. Peperiksaan yang merupakan program tahunan Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak telah berlangsung pada tahun ini selama 2 hari bermula hari Sabtu sehingga Ahad (23-24 April 2016). Peperiksaan kali ini diadakan di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan, melibatkan sebanyak 7 subjek iaitu Hadith, Feqah, Tauhid, Tasawuf, Sirah, Tafsir, dan juga Aliran Pemikiran Semasa yang merupakan subjek baru yang diperkenalkan pada tahun 2014. Seramai 144 orang calon baru yang memohon telah dipanggil untuk menduduki peperiksaan bertulis ini manakala 122 orang lagi merupakan calon yang mengulang dari pelbagai subjek.
Menurut Ketua Pengawas Peperiksaan, A.F. Ustaz Ahmad Khairul Nizam Bin Ahmad Tarmizdi, beliau berpuas hati dengan perjalanan peperiksaan pada kali ini, katanya; “Alhamdulillah, peperiksaan pada tahun ini berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang kontroversi peniruan dan kelewatan berlaku”. Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kesemua 9 orang pengawas lain yang turut membantu, tambah beliau; “tanpa kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada para pengawas peperiksaan tidak mungkin peperiksaan ini dapat berjalan dengan baik”.

Sebanyak 4 subjek diadakan peperiksaan pada hari Sabtu bermula pada jam 9.00 pagi sehingga jam 5.30 petang, manakala 3 lagi subjek bersambung pada esoknya bermula pada waktu yang sama dan berakhir pada jam 3.30 petang. Peperiksaan pada kali ini menyaksikan sebanyak 80 peratus calon yang baru telah hadir menduduki kesemua subjek peperiksaan.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.

Cerapan Hilal Rejab 1437H

SEGARI, 8 APRIL 2016 – Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak, telah menerima kunjungan pelajar Sek. Men. Islam Tahfiz Al-Amin, Chenderong Balai, Teluk Intan dan Sekolah Maahad Al-Yahyawiyah, Padang Rengas, Kuala Kangsar untuk bersama-sama melaksanakan sesi cerapan hilal Rejab 1437H di Baitulhilal, Pantai Pasir Panjang, Segari.

Program bermula dengan sesi taklimat berkenaan Penentuan Awal Bulan Hijri yang telah disampaikan oleh A.F Ustaz Mohamad Faizal iaitu Pegawai di Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak. Sesi taklimat ini telah memberi ruang dan peluang kepada para pelajar dan guru pengiring mengetahui dengan lebih terperinci tentang kaedah atau prosedur dalam menentukan awal bulan hijri. Sesi soal-jawab juga telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Malah, para pelajar juga diberi peluang untuk menggunakan peralatan khas semasa sesi melihat anak bulan berlangsung.

"Kami telah membawa beberapa peralatan seperti Teleskop Orion, Kamera, NEX-3N, Teleskop Celestron C90, Teodolite Topcon dan Total station Topcon. Selain itu, kita telah mendapat kerjasama seorang pegawai dari Institut Tanah Dan Ukur Negara (INSTUN) iaitu En. Mahruzzaman b Misran yang turut membawa beberapa peralatan untuk sesi cerapan hilal pada kali ini," ujar Ustazah Fatimah bt Ayoub dari Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Sesi cerapan bermula pada jam 7.00 petang dengan cuaca yang agak cerah dan sedikit berawan. Namun, pada saat matahari mula terbenam, awan tebal telah melindungi matahari dari pandangan. Sungguhpun begitu, para pelajar dan guru begitu teruja kerana berpeluang menggunakan peralatan-peralatan yang telah disediakan. Semua yang hadir telah berpeluang melihat anak bulan Rejab yang mula kelihatan pada jam 7.42 malam pada ketinggian bulan 8° 28’ 13’’ dan azimuth 278° 47’ 26’’  dengan menggunakan Teleskop Orion 120mm dan Teleskop Celestron C90.

Selepas solat maghrib, program diteruskan dengan sesi cerapan langit dengan menggunakan teleskop. Para pelajar dan guru sekali lagi berpeluang melihat keindahan alam ciptaan Allah ketika planet Musytari (Jupiter) kelihatan di langit sebelah Timur. "Kami amat teruja dan amat berharap agar aktiviti yang sebegini akan selalu diadakan bagi mempromosikan ilmu falak di kalangan masyarakat," kata salah seorang guru pengiring.

Aktiviti yang telah dihadiri dengan lebih kurang 50 orang pelajar dan guru pengiring ini berakhir pada jam 10.00 malam dan mereka amat berpuas hati dengan sesi cerapan hilal ini.


LAPORAN DATA HILAL REJAB 1437H

LOKASI

DATA

MAKLUMAT CERAPAN

PERALATAN

Baitul Hilal,

Pantai Pasir Panjang.

Tarikh : 8 April 2016M

30 Jamadil Akhir 1437H

Mula Kelihatan : 7:42 pm

Altitud : 8 :28:13

Azimut : 278:47:26

Umur : 23 j 42m

1. Teleskop Orion, 120 mm (4.7 inci),

Eyepiece : 25 mm,

Tripod : Mini ioptron.

(Hilal kelihatan)

2. Kamera, NEX-3N + Celestron C90

90 mm.

(Hilal Kelihatan)

3. Teodolite Topcon & Total station Topcon ( Hilal tidak kelihatan)

 Umur Bulan : 24 j 59 m

Altitud : 12:54:17

J/Lengkung : 13:25:48

Ijtimak : 7 April 2016

(19:24)

Laut : Air Pasang

Angin : Utara ke Selatan

Koordinat :

100:34:55 T

04:21:43 U

Data : 7:42 pm

Altitud : 8 :53:44

Azimut : 278:47:45

Jarak Bulan – Bumi : 357703.86 km

Beza Data & Cerapan:

Alttitud : 0:25:31

Azimut : 0:0:21


Sesi Cerapan Hilal Bersama Pegawai dan Pelajar
Hilal Rejab 1437H Yang Dirakam Pada Jam 7.54 malam
Sebahagian pelajar lelaki dan guru pengiring yang menghadiri program cerapan ini.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.

Bengkel Training of Trainers (TOT): Pengamalan Tarekat Di Negeri Perak Darul Ridzuan

KUALA KANGSAR, 5 APRIL 2016 – Jabatan Mufti Negeri Perak, dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), dan Pejabat Agama Daerah Kuala Kangsar telah menganjurkan satu program Bengkel Training of Trainers (TOT): Pengamalan Tarekat Di Negeri Perak Darul Ridzuan.

Bengkel tersebut bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kefahaman yang mendalam tentang amalan tarekat yang benar serta memperjelaskan isu-isu berkaitan dengannya yang sering menjadi kontroversi di kalangan kelompok masyarakat. Ia diadakan selama dua hari pada 4-5 April 2016 iaitu pada hari Isnin dan Selasa, bertempat di Pejabat Agama Daerah Kuala Kangsar.

Bengkel ini dihadiri oleh kira-kira 50 orang peserta yang terdiri dari guru-guru tauliah, pegawai-pegawai mahkamah, dan pegawai-pegawai dari institusi agama negeri dan daerah. Antara pembentang-pembentang yang dijemput ialah Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Mohd Syukri Yeoh Abdullah, Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), S.F. Dr. Haji Ahmad Husni bin Haji Hasan, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Kesemua sesi pembentangan diadakan pada hari Isnin.

Pada hari kedua, diadakan sesi perbincangan Isu-isu Tasauf bersama dengan A.F. Dr. Mohd. Faizal Bin Abdul Khair dan A.F. Dr. Mohd Fuad Bin Mokhtar dari Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS), Kuala Kangsar. Bengkel ini diakhiri dengan sesi dialog bersama Mufti Negeri Perak, S.S. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani bin Haji Zakaria, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Y.Bhg. Dato’ Haji Mohd Yusop Bin Husin, dan Ketua Hakim Syarie, Y.A.A. Tuan As’ari Bin Haji Mohd Yazid.

Bengkel ini berakhir pada jam 1.00 petang hari Selasa dan berjalan dengan lancar dan jayanya.
Para peserta fokus mendengar pembentangan yang disampaikan
Pembentangan oleh S.F. Dr. Haji Ahmad Husni bin Haji Hasan bertajuk Analisis Tarekat-tarekat Terpilih Di Negeri Perak

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.

  • 1
  • 2