
|
KUALA KANGSAR, 30 SEPTEMBER 2016 – Program Penjelasan Fatwa dan Pemurnian Aqidah Negeri Perak 2016 anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak dan Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Kangsar telah berjalan dengan lancar dan baik. Ia merupakan siri yang ketiga sejak program ini mula diadakan pada bulan Julai. Ia bertujuan untuk memberi penjelasan tentang fatwa-fatwa berkaitan aqidah yang menyelewang serta menerapkan aqidah ahli sunnah wal jamaah yang tulen kepada orang ramai. Kali ini Masjid Ridzwaniah yang merupakan masjid Daerah Kuala Kangsar dipilih sebagai lokasi program.
|
Penceramah jemputan pada kali ini ialah SF Tuan Guru Haji Suaid Bin Din, seorang pesara guru dan sekarang menjadi Mudir Asrama Anak-anak Yatim Maahad Darul Salam. Beliau juga merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Dalam ceramah ini beliau menceritakan sejarah kedatangan Islam ke Tanah Melayu yang dibawa oleh para ulama’ dengan pegangan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ceramah berakhir pada kira-kira jam 9.45 malam dan diikuti dengan jamuan ringan kepada penceramah dan ahli jawatankuasa program selesai solat Isyak berjemaah.
|
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

|
Sebagai sebuah jabatan yang diamanahkan untuk memberi nasihat dan panduan kepada kerajaan dan masyarakat, maka satu panduan dan nasihat diperlukan oleh salah sebuah kerajaan tempatan di negeri Perak dan tiada berkaitan dengan negeri lain telah diajukan kepada jabatan mufti perak untuk membina sebuah replika binatang di sebuah penempatan baru di tempat berkenaan.
|
Oleh kerana ia masih dalam cadangan maka saya menasihatkan agar tidak membina replika haiwan berkenaan secara sempurna berdasarkan hadith hadith sahih yang berkaitan kerana patung yang dibenarkan dalam Islam adalah untuk permainan kanak - kanak ataupun untuk tujuan pendidikan . Kalau pun cadangan itu mahu diteruskan maka hendaklah dibina tidak dengan sifatnya yang sempurna.
Isu nya adalah isu setempat di Perak dan tiada pun berkaitan dengan replika helang di Langkawi mahupun tugu negara tetapi isu ini telah digunakan oleh media - media yang terkenal dengan sikap prejudis kepada Islam dan agensinya telah memutarbelitkan dan mengalihkan dari isu sebenar . Tiada isu pun untuk merobohkan monumen berkenaan kerana ia di bawah kuasa pihak berkuasa negeri masing - masing.
Bagi pandangan saya jika monumen sedia ada tidak mahu dirobohkan masih menjadi kewajipan pihak berkuasa untuk memastikan bahawa perbuatan - perbuatan yang membawa kepada syirik tidak berlaku dan tidak lagi membina replika - replika binatang hidup yang sempurna . Bersesuaian dengan kehendak nas -nas yang ada , juga saranan qaedah sad az zar'iah dan kalaupun ada perbincangan ulama mengenai nya , maka keluar dari khilaf adalah lebih utama iaitu tidak lagi membina replika mahupun bangunan berhala di dalam sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama negara.
Hj Zamri Hashim Timbalan Mufti Negeri Perak
|
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.
Saya ingin merujuk kepada tindakan Joint Action Group on Gender Equality (JAG) iaitu Kumpulan Bertindak Bersama bagi Kesaksamaan Gender dan Gender Equility Initiative (GEI) iaitu Inisiatif Kesaksamaan Gender yang telah memberikan anugerah bagi kategori ‘Penghinaan Intelektual’kepada saya dan anugerah seumpamanya kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di satu program Majlis Anugerah Aiyot Wat Lah! anjuran mereka.
Menurut laporan sebuah portal liberal, kategori ‘Penghinaan Intelektual’itu dianugerahkan kepada pihak yang membuat ulasan tidak logik, tidak rasional dan palsu sama sekali. Ia adalah rentetan dari kenyataan saya pada April tahun lalu mengenai “ konsep rogol dalam perkahwinan tidak wujud kerana isteri tidak boleh menolak kehendak seks suami kecuali datang bulan, sakit dan melahirkan anak ”. Saya juga ada mengatakan “ Nabi Muhammad juga berkata isteri mesti patuh walaupun di atas belakang unta ”. Berikut adalah jawapan saya kepada pihak berkenaan berkaitan isu ini:
- Saya berpandangan bahawa tindakan yang dilakukan oleh mereka dengan kerelaan sendiri telah menyerlahkan tahap kejahilan yang maksimum dalam Hal yang berkaitan dengan Agama Islam, perbezaan antara nas syarak, pandangan ulama’ serta pendekatan pengurusan hal ehwal Islam. Lebih parah lagi bilamana kenyataan ini disebarkan secara terbuka yang boleh menimbulkan kecelaruan terhadap masyarakat.
- Tindakan golongan ini dan mereka yang senada dengan mereka bertujuan menjarakkan masyarakat daripada agama dan menganggap agama itu satu kongkongan. Oleh itu, keghairahan mereka dengan memburuk-burukkan ulama’ dan institusi agama adalah prinsip asas golongan liberalis yang cuba dipaksa pakai kepada umat Islam di Malaysia.
- Keadaan ini lebih jelas apabila “trend” memburuk-buruk tokoh dan institusi agama digiatkan dan seringkali berlaku tindakan mereka mengambil kenyataan atau ucapan terpilih tanpa melihat kepada skop yang sebenar dan lebih luas. Pada hemat saya tindakan ini ternyata berniat jahat.
- Secara asasnya, saya menerima keterbukaan dalam berfikir, berkata dan berkelakuan, namun kita punya keterikatan syarak yang memandu akal manusia. Tindakan mereka juga seperti mengajak orang lain bersifat terlalu terbuka namun, mereka sendiri bersikap jumud dan sering mendahulukan logik akal, rasional daripada panduan nas syarak.
- Kenyataan saya berkaitan ‘isteri tidak boleh menolak kehendak suami walaupun di atas belakang unta’adalah bersumberkan keterangan hadis yang bermaksud:
“ Daripada Abdillah bin Abi Aufa, ia berkata, Ketika Mu’az datang dari Syam ia bersujud kepada Nabi SAW. Nabi SAW lalu bertanya pada Mu’az, apa yang kamu lakukan ini? Mu’az menjawab; ketika aku sampai Syam, aku menyaksikan penduduk Syam sujud kepada para pimpinan dan pendeta mereka, aku menyukai hal itu dan kami akan laksanakan terhadap engkau. Rasulullah kemudian bersabda: Jangan kamu lakukan hal itu, sesungguhnya jika aku ( boleh ) memerintahkan seseorang bersujud kepada selain Allah SWT, pasti aku perintahkan seorang isteri sujud kepada suaminya. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam genggamannya, seorang isteri dianggap belum memenuhi kewajiban terhadap Allah sebelum ia menunaikan kewajiban terhadap suaminya, sehingga jika saja seorang suami meminta isterinya ketika isterinya itu berada di atas punggung unta, isterinya tidak boleh menolak ”.Hadis Riwayat Ibnu Majah (kitab nikah no. 1843) dan Imam Ahmad (no. 18591). Ini menunjukkan tatacara yang sarat dengan kesopanan serta panduan Syarak dalam kehidupan berkeluarga bertujuan mewujudkan keintiman dan kasih sayang antara pasangan.
Saya menegaskan bahawa adalah wajar kenyataan dan tindakan terbuka yang menghina ulama’ dan institusi agama dihentikan bagi membina kerukunan antara pelbagai agama dan kaum di negara ini. Di samping itu, ia adalah bagi memelihara ketinggian agama Islam dan meletakkannya sejajar dengan kedudukannya sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3. Agama bagi Persekutuan; (1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
TAN SRI DATO’ SERI (DR.) HAJI HARUSSANI BIN HAJI ZAKARIA
Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.
TELUK INTAN, 30 OGOS 2016 – Program ‘Executive Talk’ Jabatan Mufti Negeri Perak Bil.2/2016 telah terlaksana dengan lancar semalam. Ia adalah program rasmi anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak yang diadakan 2 hingga 3 kali setiap tahun. Pada kali ini program ini dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Teluk Intan dan Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak. Venue yang terpilih untuk program ini yang merupakan kali kedua bagi tahun ini adalah Dewan Bandaran Teluk Intan. |
Penganjur telah menjemput S.F. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak bagi menyampaikan pembentangan pertama yang bertajuk; ‘Cabaran Umat Islam Masa Kini’. Beliau menekankan perlunya umat Islam berhati-hati dengan ancaman-ancaman pemikiran moden seperti liberalism dan pluralisme yang menggugat ketinggian agama Islam.
Selesai pembentangan pertama, program diikuti dengan pembentangan kedua oleh S.F. Prof. Dr. Jamil Bin Hashim, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang juga merupakan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Sultan Azlan Shah. Pada kali ini beliau membentangkan tajuk; ‘Peranan Asatizah Dalam Menghadapi Cabaran Ummah’. Menurut beliau para asatizah iaitu guru-guru agama memainkan peranan yang sangat penting dalam mempertahankan agama Islam dalam menghadapi cabaran dan ancaman yang pelbagai.
Seramai kira-kira 500 peserta yang hadir untuk program ini terdiri daripada Guru-guru Pendidikan Islam (GPI), guru-guru agama dan wakil-wakil dari jabatan kerajaan. Program bermula sekitar jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 12.30 selepas sesi dialog di mana para peserta diberi ruang untuk mengajukan soalan dan pandangan kepada panel-panel pembentang.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.
 |
KUALA TERENGGANU, 15 OGOS 2016 – Jabatan Mufti Negeri Perak bersama dengan Jabatan Mufti Negeri Terengganu telah mengadakan satu program kerjasama iaitu Liqa’ Mahabbah antara kedua-dua jabatan tersebut. Program yang julung-julung kali diadakan ini telah diadakan di sini bermula pada hari Jumaat, 12 Ogos hingga Ahad, 14 Ogos 2016 dengan seramai 45 orang ahli rombongan dari Jabatan Mufti Perak termasuk pegawai, dan kakitangan jabatan serta ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah berangkat ke Kuala Terengganu. |
Rombongan yang menaiki bas dan 3 buah kereta bertolak dari Jabatan Mufti Negeri Perak sekitar jam 9.30 pagi dan berhenti di Kem Sri Banding untuk makan tengah hari dan solat Jumaat di surau diri Jumaat Kem749. Makan tengah hari telah ditaja oleh Perajurit. Perjalanan diteruskan dan selamat tiba di Hotel Grand Puteri pada jam 8.00 malam, diikuti dengan makan malam.
Keesokan paginya program diteruskan dengan lawatan ke Desa Murni Batik dan Pasar Payang. Pada sebelah malam, diadakan satu forum Bicara Mufti yang bertempat di Masjid Kristal Kuala Terengganu. Ahli-ahli panel forum tersebut terdiri daripada Y.Bhg. SS Tan Sri Dato’ Seri Hj. Harussani bin Hj. Zakaria, Mufti Negeri Perak, Y. Bhg. Tuan Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak, dan SF Ustaz Mohd Zaki Bin Mat Yakim dari Jabatan Mufti Negeri Terengganu sebagai moderator. Selesai forum tersebut, seluruh rombongan dari Perak dijamu dengan hidangan makan malam yang istimewa iaitu steamboat.Kemudian pihak tuan rumah telah membawa ahli rombongan ke Taman Tamadun Islam dengan menaiki Cruise,iaitu kenderaan khas di situ sebelum pulang ke hotel.
Pada hari Ahad, Majlis Ramah Mesra antara pegawai dan kakitangan kedua-dua jabatan diadakan di Jabatan Mufti Negeri Terengganu. Kedua-dua mufti mewakili jabatan masing-masing telah dijemput bagi menyampaikan sepatah dua kata seterusnya memperkenalkan pegawai dan kakitangan, sebelum membincangkan beberapa perkara dan isu yang berkaitan hal ehwal agama Islam di Negara ini. Selesai sesi pertemuan tersebut, ahli rombongan dari Perak bertolak pulang dan selamat tiba di Ipoh kira-kira jam 11.00 malam. Tan Sri Mufti negeri Perak berharap agar program kerjasama seperti ini dapat diadakan lagi pada akan datang bagi menjalin dan mengeratkan lagi silaturrahim antara institusi-institusi Islam.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.
KUALA KANGSAR, 3 OGOS 2016 – Satu Bengkel Kewajipan Zakat Perniagaan Ke Atas Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Perak telah diadakan di bilik mesyuarat Masjid Ridzuwaniah, Kuala Kangsar. Bengkel yang bermula pada jam 9 pagi sehingga 4 petang itu adalah rentetan dari permintaan oleh Ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang memohon agar isu ini dibincangkan dan dibuat kajian terperinci oleh Jawatankuasa Kajian dan Penyelidikan sebelum dibincangkan semula di mesyuarat tersebut untuk mendapatkan keputusan sama ada perlu atau tidak mewajibkan zakat perniagaan ke atas syarikat atau entiti perniagaan yang berkaitan dengan kerajaan (GLC).
Bengkel bermula pada sebelah paginya dengan pembentangan berkaitan kategori-kategori syarikat atau entiti perniagaan oleh En. Ariff Bin Apandi, Pengurus Besar Bahagian Kewangan, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIPk). Setelah itu, bengkel diteruskan pada sebelah petang dengan sesi perbincangan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Kajian dan Penyelidikan. Turut hadir ke bengkel tersebut ialah Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak. Bengkel tersebut berakhir sekitar jam 4 petang selepas kajian selesai dan perbincangan berkaitan isu ini mendapat kata putus oleh ahli-ahli yang terlibat.
SEGARI, 5 JUN 2016 – Majlis Rukyah Hilal Ramadhan 1437H bersamaan 2016 masihi anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak telah diadakan dengan meriah. Program yang diadakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang ini merupakan program tahunan jabatan bagi memenuhi tuntutan agama yang menggariskan ukuran permulaan ibadah puasa Ramadhan dengan melihat anak bulan Ramadhan. |
Lebih kurang 500 orang tetamu telah menghadiri majlis kali ini. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah YAA Tuan Asa’ari Bin Hj. Mohd Yazid, Ketua Hakim Syarie dan Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, YDH Toh Seri Bijaya Lt. Kol.(B) Dato’ Shaharudin bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, YDH Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal Bin Hj. Ahmad, Orang Besar Jajahan Mu’allim, Slim River, YDH Toh Muda Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Encik Meor Roslan Bin Dato’ Seri Hj. Meor Ahmad Rashidi, Orang Besar Jajahan Hulu Perak, Gerik, selain SS Mufti Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Hj. Harussani Bin Hj. Zakaria selaku Pengerusi Jawatankuasa Rukyah Hilal Ramadhan 1437H. |
Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil yang dipimpin oleh SS Tuan Hj. Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak, diikuti dengan Ceramah Khas Ramadhan. Majlis kali ini memilih SF Ustaz As’ad Bin Awang sebagai penceramah jemputan. Beliau yang merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kini masih berkhidmat sebagai Pensyarah di Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh. Selesai ceramah, agenda yang seterusnya ialah Taklimat Kedudukan Anak Bulan Ramadhan yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak iaitu AF Ustaz Mohd. Faizal Bin Jani, sebelum acara melihat anak bulan di tapak rukyah yang disediakan pada jam 7.00 petang. |
Setelah Tan Sri Mufti Perak melakukan rukyah, makluman kenampakan anak bulan dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sekitar jam 7.45 malam melalui telefon bergerak yang telah disediakan oleh Telekom Malaysia (TM). Pada tahun ini anak bulan Ramadhan tidak kelihatan di sini. Kemudian Tan Sri Mufti mengumumkan bahawa anak bulan tidak kelihatan melalui pembesar suara yang disediakan. Solat fardhu Maghrib secara berjemaah dilaksanakan bersama-sama dengan para tetamu, diikuti dengan jamuan makan malam. |
Solat sunat Tarawikh juga dilaksanakan selesai solat Isyak apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan di televisyen bahawa puasa bermula pada esok hari. Solat Tarawikh telah diadakan sebanyak 20 rakaat sebagai menurut titah DYMM Tuanku Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang telah menyarankan agar semua masjid dan surau di negeri Perak melaksanakan ibadah Tarawikh 20 rakaat. Imam dan bilal telah dipilih dan disediakan oleh Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Manjung. |
Program berakhir dengan minum malam yang telah disediakan oleh penganjur selepas solat sunat Tarawikh. Tan Sri Mufti Perak sangat berpuas hati dengan kehadiran para tetamu dan kelancaran majlis ini dan berharap agar prestasi ini dapat dikekalkan malah ditambahbaik pada masa akan datang. |
 |
 |
 |
 |
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.